Rabu, 8 Januari 2014

Hak-hak orang bukan islam dari aspek ekonomi dalam negara islam

Perlindungan Takaful Ketika Tua dan Miskin

Islam di bawah naungan pemerintahan Islam memberi jaminan perlindungan hidup melalui skim takaful kepada orang bukan Islam dan tanggungan mereka kerana mereka adalah rakyat negara Islam dan negara bertanggungajawab ke atas rakyatnya.
Perlindungan tersebut terus dilaksanakan di zaman pemerintahan Khalifah Ar-Rasyidin dan selepas mereka.
Dalam perjanjian akad dzimmah yang ditulis oleh Saidina Khalid Al-Walid bagi penduduk Al-Hirah di Iraq yang terdiri dari golongan Nasrani, Saidina Khalid menyebutkan: “Mana-mana orang yang sudah tua dan tidak mampu untuk menjalankan pekerjaan atau ditimpa bencana ataupun dulunya kaya tetapi sekarang bergantung hidup kepada sedekah, maka aku lepaskan mereka dari tanggungan memberi jizyah dan diperuntukan sara hidup mereka dan anak-anak mereka daripada Baitulmal”.
Saidina Khalid menulis perkara ini kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan disaksikan oleh sebilangan daripada sahabat tanpa mendapat bantahan dari mereka. Maka perkara ini dianggap satu keputusan ijmak.
Dari apa yang disebutkan dapatlah diambil kesimpulan betapa Islam memberi jaminan sosial terhadap anggota masyarakat tidak kira sama ada Islam atau bukan Islam di mana tidak harus wujud dalam masyarakat seseorang yang tidak mendapat habuannya daripada makanan, pakaian, tempat tinggal atau rawatan. Menolak kemudaratan itu adalah suatu tuntutan agama sama ada ianya muslim atau dzimmi.

Tanggungjawab Orang-Orang Dzimmi

Setimpal dengan hak-hak yang dinikmati oleh orang dzimmi maka dikenakan ke atas mereka tanggungjawab yang perlu ditunaikan kepada negara. Tanggungjawab tersebutlah dapatlah disimpulkan seperti berikut:
i.   Membayar jizyah dan kharaj serta cukai perniagaan
ii.  Mematuhi undang-undang Islam di dalam bidang muamalat dan sebagainya
iii. Menghormati syiar-syiar Islam dan perassan orang-orang Islam

Jizyah dan Kharaj
Jizyah ialah cukai kepala (tahunan) pada kadar yang kecil daripada harta benda yang dikenakan ke atas lelaki yang baligh atau mampu mengikut keupayaan harta benda mereka. Golongan fakir miskin dikecualikan langsung daripada tanggungjawab ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Allah tidak memikul beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya”. Kadar yang dikenakan itu tidak ditetapkan. Hanya terpulang kepada ketentuan pihak pemerintah dengan mengambil kira kepentingan pembayar cukai dan juga kepentingan negara.
Kewajipan cukai jizyah ini adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak pula kepada hari kemudian dan mereka tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang benar iaitu orang-orang yang diberikan kitab kepada mereka sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk”.
Kharaj pula merupakan cukai tanah sekiranya kekal dalam milik mereka (orang-orang dzimmi) dan kadar cukai itu terserah kepada ketentuan pemerintah.
Perbezaan antara jizyah dan kharaj ialah jizyah akan gugur apabila orang dzimmi menganut Islam sedangkan kharaj tidak digugurkan
Kewajaran cukai kepada (jizyah) yang dikenakan ke atas orang dzimmi dapat difahamkan bahawa Islam mewajibkan ke atas orang-orang Islalm perkhidmatan tentera secara fardhu kifayah atau fardhu ain bagi mempertahankan negara yang bukan Islam, dikecualikan daripada perkhidmatan ini walaupun mereka hidup sebagai warganegara dalam pemerintahan Islam.
Jizyah selain daripada tanda kepatuhan orang-orang dzimmi kepada undang-undang ianya juga sebagai ganti perkhidmatan tentera yang diwajibkan ke atas orang-orang Islam.

Cukai Perniagaan
Cukai perniagaan dikenakan ke atas orang-orang dzimmi seperti mana yang dikenakan ke atas orang-orang Islam sekiranya perniagaan mereka berjumlah 200 dirham ataupun memiliki 20 misqal emas (walaupun kadar tersebut hanya mengambil kira keadaan pada ketika di mana nisbah itu ditentukan oleh para fuqaha’ di zaman itu).
Para fuqaha’ telah menetapkan 5% cukai dari hasil perniagaan ke atas saudagar dzimmi manakala 2 A½% ke atas saudagar Islam tetapi ketentuan itu tidak berlandaskan nas syar’i malah didasarkan kepada ijtihad mereka untuk mencapai maslahah umum di mana pada ketika itu kebanyakan orang-orang Islam sibuk dengan berjihad mempertahankan negara manakala bidang perniagaan dimonopol oleh orang-orang dzimmi. Maka para fuqaha’ mengurangkan cukai ke atas peniaga-peniaga Islam sebagai ransangan kepada mereka untuk menjalankan perniagaan.

Kaedah Percukaian Terhadap Warga Asing
Terdapat dua pendapat para fuqaha’ berhubung dengan kaedah percukaian terhadap warga asing yang masuk ke negara Islam. Para Ulama’ Hanafiah berpegang dengan kaedah bermuamalat secara serupa (Al-Muamalah bil mithli) iaitu kadar cukai yang dikenakan ke atas warga asing mengikut kadar yang dikenakan oleh negara warga asing kepada saudagar Islam yang masuk ke negara mereka.
Fuqaha’ dari mazhab Hanbali, Maliki, Syafii dan Ibadhah tidak berpegang dengan kaedah ini. Walaubagaimanapun, para fuqaha’ sepakat dengan kaedah (Al-Muamalah bil mithli) ini mengambil kira pertimbangan akhlak yang mulia. Oleh itu mereka berpendapat tidak harus dikenakan cukai terhadap barangan yang kurang daripada dua ratus dirham (kadar nasab zakat) tetapi sekiranya negara mereka mengenakan cukai ke atas orang Islam yang membawa masuk barangan perniagaan yang kurang daripada dua ratus dirham, maka kaedah tersebut diguna pakai.

Kaedah (Al-Muamalah bil mithli) ini adalah berdasarkan apa yang telah dilaksanakan oleh Saidina Umar Al-Khatab ketika beliau berkata kepada amil-amilnya : “Ambillah cukai daripada mereka seperti mana mereka mengambil daripada kita”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK)

  BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK) Sosiolinguistik mengkaji hubungan bahasa dan masyarakat, yang nengaitkan dua bidang yan...

klik