Tanggungjawab sistem pendidikan adalah untuk
menyediakan generasi muda dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran supaya
mereka dapat menghadapi alam dewasa. Dalam konteks menyediakan pendidikan yang
ideal, tujuan dan matlamat pendidikan negara pada abad ke 21 amat jelas sekali.
Kementerian Pendidikan telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh,
dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan perubahan sosialisasi
masyarakat hari ini. Salah satu unsur yang penting adalah memberikan peluang
pendidikan yang sama kepada semua pelajar tanpa mengambil kira budaya, kelas
sosial, kelompok etnik dan amalan atau cara hidup.
Dalam buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010 (KPM,
2001). Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan bahawa pembangunan pendidikan
dari Zaman Dasar Pembangunan hingga ke Zaman Dasar Wawasan Negara telah berjaya
mencapai banyak kemajuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan
pendidikan dan latihan perguruan. Strategi meningkatkan peluang pendidikan
berjaya mencapai sasarannya. Walau bagaimanapun, apa yang dilihat pada masa ini
masih terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan berkaitan dengan pencapaian Dasar
Pendidikan Kebangsaan, antaranya perkara berhubung sengan struktur pendidikan;
akses kepada pendidikan; ekuiti; kualiti tenaga pengajar; ketidakseimbangan
penyediaan infrastruktur; Pelaksanaan Program PPSMI; dan kurikulum yang
relevan. Ini selaras dengan pendapat Sufean (2004) yang menyatakan terdapat
banyak isu pendidikan yang boleh dikatagorikan iaitu pentadbiran, peringkat
pendidikan, teknologi pendidikan, organisasi sekolah dan keguruan.
Struktur
Pendidikan
Beberapa
isu berkaitan dengan struktur pendidikan antaranya termasuklah struktur
pendidikan menengah yang tidak selaras kurang menepati keperluan, misalnya:
- Bilangan
tahun persekolahan struktur pendidikan Malaysia tidak sama dengan
kebanyakan negara lain di dunia;
- Tidak
terdapat keseragaman dalam kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT)
disebabkan wujudnya pelbagai haluan;
- Kebanyakan
pelajar memilih untuk menamatkan persekolahan mereka selepas Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM); dan
- Skop
kurikulum Tingkatan 1 hingga 6 sangat luas.
Akses
Pendidikan
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM
telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and
Communication Technology (ICT) dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana,
pengisian dan latihan guru. KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan
pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan infrastruktur ICT. Namun
isu dan masalah yang menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam proses pengajaran
dan pembelajaran. Antara masalah tersebut adalah berkaitan dengan:
- pembekalan
komputer yang tidak seimbang antara sekolah bandar dan luar bandar;
- perisian
komputer untuk P&P yang sesuai sukar diperoleh;
- latihan
dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer di sekolah
yang kurang berkesan;
- penyenggaraan
komputer yang kurang memuaskan di sekolah; dan
- bilangan
guru terlatih dalam ICT yang belum mencukupi.
Justeru adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk
memastikan setiap sekolah akan memperoleh komputer menjelang usaha menjadikan
setiap murid dan guru celik ICT.
Ekuiti
Pendidikan
Dalam pelaksanaan Pembangunan Pendidikan 2001-2010, setiap institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan dipastikan mempunyai infrastruktur yang berkesan yang mencukupi dan berkualiti untuk pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum yang berkesan. Oleh itu, input pendidikan yang meliputi guru, peruntukan kewangan, bahan dan peralatan pengajaran serta program sokongan akan diagih secara adil ke semua sekolah bagi mengurangkan jurang perbezaan antara sekolah beruntung (advantaged school) dan sekolah kurang beruntung (disadvantaged school). (Sumber: Pembangunan Pendidikan 2001-2010, KPM).
Namun, setelah lebih kurang tujuh tahun pelaksanaan
program tersebut, masih terlalu banyak sekolah-sekolah di Malaysia yang belum
dapat menikmati kemudahan yang dijanjikan. Ini menyebabkan timbulnya beberapa
isu yang dikaitkan dengan ekuiti atau peruntukan yang disediakan oleh KPM tidak
mencukupi untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebagai
contoh, kementerian tidak menyediakan prasarana yang amat diperlukan, seperti
bilik darjah yang mempunyai kemudahan khusus, terutamanya sekolah-sekolah luar
bandar atau pedalaman. Selain itu, kemudahan lain seperti sumber pengajaran dan
pembelajaran dan kelengkapan buku teks juga masih berkurangan.
Tenaga
pengajar
Kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran turut
menjadi isu dalam pelaksanaan pendidikan pendidikan yang berkesan. Berdasarkan
statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan Pembangunan Pendidikan
(BPPDP) Kementerian Pelajaran Malaysia, pada tahun 2000 sebanyak 61.8 guru
terdiri daripada guru perempuan dan KPM menghadapi masalah menempatkan mereka
di sekolah luar bandar, khususnya di pedalaman dan pulau. Kebanyakan sekolah di
pedalaman dan pulau mendapat guru yang kurang berpengalaman atau kurang
latihan. Keadaan ini juga turut menyebabkan berlaku ketidaksepadanan (mismatch)
dalam pengagihan guru mengikut opsyen. Maka berlakulah keadaan di mana
kebanyakan guru yang mengajar di sekolah menjadi “bidan terjun”. Guru yang
bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains
dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar. Disebabkan kurang
pengalaman dan pengetahuan tentang subjek berkenaan maka kewibaan guru dalam
menyampaikan ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.
Program
PPSMI
Sejajar dengan matlamat ingin melahirkan pelajar yang
“bertaraf dunia”, KPM juga telah melaksanakan Program Pengajaran dan
Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Walau
bagaimanapun penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar subjek sains dan
matematik telah mendapat respon yang negatif daripada rakyat. Ini kerana
penggunaan bahasa asing bukan sahaja merosakan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai
bahasa ilmu, tetapi turut memusnahkan reputasi pelajar, khususnya di luar
bandar. Mereka belajar melalui medium yang mereka tidak faham. Komunikasi tidak
berkesan dalam pelajaran sudah tentu memberi kesan yang buruk.
Kesan
globalisasi
Selain daripada itu,
isu-isu berkaitan pendidikan juga turut melibatkan penggunaan internet. Era
dunia tanpa sempadan atau globalisasi telah memudahkan maklumat diperoleh
dengan cepat dan berkesan melalui internet atau laman-laman web dan sebagainya
melalui komputer. Implikasinya, isu-isu Moral semasa khususnya isu-isu yang
membabitkan nilai-nilai sosial menjadi begitu kompleks dan menjadi sukar untuk
diselesaikan. Fenomena ini disebabkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia
yang ingin diterapkan bercanggah dengan nilai-nilai di Barat atau negara-negara
maju yang lain yang mana mereka lebih mementingkan materialistik,
individualistik dan budaya kosmopolitan.
Sahsiah
Pelajar
Kualiti sahsiah
pelajar pada pelbagai peringkat pendidikan juga turut menjadi isu dan
dipersoalkan kerana masih terdapat sebilangan pelajar rendah yang naik ke
sekolah menengah, atau pelajar menengah rendah yang naik ke Tingkatan 4
memiliki kualiti sahsiah yang kurang baik. Hal ini berlaku pada kebanyakan murid tanpa mengira
kaum dan agama. Sebagai contoh, tabiat merokok di kalangan pelajar, gejala
vandalisme, melepak, ponteng sekolah dan sebagainya di kalangan pelajar sekolah
semakin menjadi-jadi.
Isu-isu lain dalam sistem pendidikan
Selain isu-isu yang dikemukakan di atas, terdapat
pelbagai lagi isu yang timbul berkenaan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan,
antaranya:
- Kepimpinan
sekolah masih tidak dapat berfungsi sepenuhnya sebagai pemimpin pengurusan
dan pemimpin pengajaran (instructional leadership) yang berkesan;
- Pengupayaan
kepada sekolah adalah terhad. Semua sekolah masih perlu mengikuti satu
sistem, prosedur dan pendekatan yang seragam dan tidak mengambil kira
kemampuan, keupayaan khusus dan potensi untuk sekolah melaksanakan dasar
dan program pendidikan sendiri;
- Layanan
yang sama diberi kepada semua sekolah walaupun pada realitinya sekolah
mempunyai keperluan, kekuatan dan kelemahan serta keupayaan yang berbeza;
- Keselamatan
di sesetengah sekolah masih belum terjamin sepenuhnya;
- Penandaarasan
bagi menjamin sekolah di Malaysia setanding dengan sekolah di negara maju
adalah terhad;
- Struktur
organisasi antara lapisan pentadbiran di KPM yang tidak setara menyebabkan
penyaluran dasar dan pelan pelaksanaan kurang sistematik dan berkesan;
- Sistem
penyampaian masih belum cekap dan berkesan khususnya daripada aspek
pemberian bantuan; dan
- Sistem
maklumat tidak menyeluruh dan tidak bersepadu.