i. Alat Pendidikan
Antara fungsi
kesusasteraan Melayu menurut Siti Hajar Abdul Aziz ialah sebagai
alat pendidikan. Pengalaman-pengalaman para pengarang ini diterjemahkan melalui
kisah-kisah yang ditulis oleh mereka yang terangkum didalamnya pelbagai bidang
ilmu seperti ekonomi, politik, sosiologi dan agama. Pengalaman mereka ini
dijadikan prosa atau puisi dan diadun dengan unsur-unsur pengajaran,moral atau
ilmu pengetahuan yang tinggi nilainya yang mana akan dapat dikutip oleh para
pembaca maka berlakulah pendidikan secara tidak langsung. Jadi dapat dilihat
dengan jelas bahawa kesusasteraan mampu menjadi bahan untuk pendidikan buat
masyarakat.
Di Negara kita
Malaysia Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah diperkenalkan sejak tahun
1957. Matlamatnya untuk membolehkan pelajar atau rakyat Malaysia khususnya
menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan,
kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta
akan tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai.
Dengan adanya pendidikan Kesusasteraan Melayu dapat mencerminkan masyarakat
kesenian yang kreatif, mampu mengkaji keindahan karya sastera dan menguasai
kemahiran berbahasa bahasa Melayu.
Peranan sastera
terutamanya sastera Melayu dapat membina insaniah dalam kehidupan manusia. Hal
ini amat bertepatan dengan konsep membina ‘modal insan’ yang diharap-harapkan
oleh pemimpin negara. Kita tidak mahu melahirkan satu bangsa seperti robot yang
tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan ketika bertindak atau mengambil
keputusan. Apa yang kita boleh lihat sekarang, ramai bijak pandai dalam bidang
sains dan teknologi tetapi sayang mereka gagal dalam usaha melahirkan pemimpin
yang bermoral, berjati diri dan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan. Pemimpin
yang tidak berjiwa seperti di atas, merupakan manusia yang hilang pertimbangan
ketika bertindak. Akibat daripada itu, masalah rasuah, keruntuhan moral
sehingga membawa kepada kemusnahan alam dan manyusahkan masyarakat. Justeru
mengembalikan nilai sejagat yang bersifat kemanusiaan sebenarnya terkandung
dalam sastera.
Di peringkat
sekolah Kesusasteran Melayu memainkan peranan sebagi satu cabang ilmu dan
senjata yang dapat meresapi dan berkembang dalam pelbagai disiplin ilmu sejajar
dengan konsep bahasa merentas kurikulum. Sementara itu di peringkat pengajian
tinggi pelajar didedahkan dengan teknik penulisan ilmiah, rencana dan penulisan
kreatif dan pelajar juga diberikan pengetahuan tentang dunia penerbitan dan
penyiaran selaras dengan matlamat pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem
pendidikan.
ii. Usaha Pengayaan Khazanh
Ilmu Dan Persuratan Bahasa Melayu
Selain itu, sastera
juga berperanan dalam usaha pengayaan khazanah ilmu dan persuratan bahasa
Melayu wajar dipertingkatkan kepada semua peringkat usia pembelajaran dan
pengajaran. Dengan cara ini, proses pembentukan jati diri dan cinta akan
khazanah negara dapat diatur, dilentur, dibentuk dengan sebaik-baik mungkin.
Proses pengayaan ini merupakan proses yang berterusan dan menjadi agenda utama
dasar pentadbiran negara.
Shahnon Ahmad
(1997:25) menyatakan bahawa kesusasteraan berperanan sebagai satu cabang
kesenian yang berteraskan cinta. Cinta di sini maksudnya cinta kepada keindahan
dan cinta kepada kebenaran. Karya kesusasteraan dicipta oleh para sasterawan
untuk membangunkan peribadi manusia supaya cinta akan keindahan dan cinta akan
kebenaran. A. Samad Said (1997: 35) pula menyatakan bahawa peranan sastera
sebagai rakman dan renungan interaksi insan seni dengan masyarakat dan masalah
mereka. Setiap karya yang tercipta, sedikit sebanyak mendekatkan insan seni itu
kepada sebahagian kecil cakerawala Tuhan yang luas, di samping menggarapkannya
dengan sesam makhluk yang sama-sama mencari dan sama-sama menikmati dan
sama-sama terhukum oleh getir-getar kehidupan. Oleh latar dan pengaruh itu,
sastera mestilah berkhasiat untuk batiniah dan minda manusia. Manakala Usman
Awang (1997:41) menjelaskan bahawa peranan sastera meliputi semua aspek
kehidupan manusia secara luas. Tiada sesiapapun yang boleh mendakwa bahawa dia
mempunyai monopoli terhadap budaya Malaysia. Budaya bersama ini hanya akan
lahir daripada penghidupan bersama semua rakyat bukan contoh angkuh daripada
sebilangan kecil golongan kaya dan istimewa.
iii. Nilai Pendidikan
Aripin Said dalam
Prosa Warisan (1996:25) menyatakan fungsi Kesusasteraan Melayu yang penting
dari aspek nilai pendidikan. Suasana kehidupan masyarakat dengan kepetahan
serta kebijaksanaan seorang penglipur lara telah lama berakhir. Suasana itu
bagaikan satu nostalgia. Apalagi apabila didapati sudah jarang atau sedikit
benar daripada kalangan anggota masyarakat masa kini yang sempat menyaksikan
suasana tersebut.
Jika kita menyorot
ke belakang dalam aliran kehidupan masyarakat Melayu terutamanya di
kampung-kampung, cerita-cerita rakyat dipertuturkan masih boleh didapati
sekitar tahun 1950-an serta pada awal tahun 1960-an. Pada waktu itu, masih
kedapatan seorang nenek atau seorang ibu yang sering bercerita atau menyanyikan
lagu-lagu rakyat sewaktu hendak menidurkan cucu atau anaknya. Orang tua-tua
masih mahu bercerita kepada anak cucunya tentang Batu Belah Batu Bertangkup,
Bawang Putin Bawang Merah, Puteri Walinong Sari dan sebagainya.
Terdapat dua hal
yang amat nyata dalam memperkatakan keistimewaan pencerita ini. Pertama,
terdapat tokoh-tokoh intelektual bangsa sebagai orang yang mahir dalam bidang
mereka. Tidak semua anggota masyarakat yang mendapat gelaran seorang penglipur
lara. Tidak semua anggota masyarakat yang mampu menghafal puluhan malah ratusan
puisi rakyat, dan kemudian dapat pula menyampaikan dengan cara yang menarik.
Mungkin dengan iringan sebuah rebab, sebuah rebana atau sebiji batil, dia mampu
memukau khalayaknya yang setia menunggu dari awal hingga akhir persembahan yang
diadakan. Mereka ialah cendekiawan bangsa yang lahir asuhan alam semesta.
Cerita-cerita yang
dipersembahkan pula bukan sahaja dapat mengasyikkan khalayak yang mendengar
tetapi kepelbagaian cerita tersebut dengan watak-watak tertentu menggambarkan
perwatakan manusia dalam masyarakat setempat. Lagu-lagu yang dinyanyikan
merupakan puisi-puisi yang indah. Dalam puisi tergambar keindahan alam dan
kehalusan budi yang diungkap dengan gaya yang menakjubkan.
Bertolak daripada
perkara-perkara itulah, nilai pendidikan yang murni dapat digarap daripada
cerita-cerita yang disebutkan itu. Dalam cerita Mat Jenin, misalnya,
khalayak diasuh supaya tidak menjadi seperti Mat Jenin yang hanya hidup
berangan angan. Falsafah yang tersembunyi di sebaliknya adalah untuk menjadi
kaya-raya perlu berusaha, bukan sekadar berangan angan. Jika terus
berangan-angan, bencana pula akan menimpa.
iv. Instrument Perpaduan
Menurut Timbalan
Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, sastera dijadikan
instrumen penting bagi mewujudkan semangat kekitaan atau `esprit de corp’ di
kalangan rakyat dalam usaha untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu
padu. Sastera negara menitikberatkan nilai perpaduan dan penghargaan kepada
satu bentuk budaya kebangsaan untuk dikongsi bersama sebagai pemangkin bagi
menyatupadukan rakyat. Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan “Sastera
kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dapat
memartabat dan memperkasakan lagi fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa perpaduan”
v. Kepuasan Estetik
Seterusnya,
kesusasteraan juga berfungsi untuk memberi kepuasan estetik. Penulis cerita
akan merasa tenteram dan damai apabila mampu menghasilkan sesuatu cerita yang
dapat menyentuh perasaannya. Bagi pembaca pula, dengan membaca karya yang
mempamerkan keindahan akan merasa satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan
dalam dirinya.
vi. Memberi Pengajaran
Selain itu,
kesusasteraan Melayu turut berfungsi untuk memberi pengajaran. Para sasterawan
melalui karya mereka akan memberi pengajaran melalui hasil karya kesusasteraan
mereka yang mana banyak menyingkap tentang nilai-nilai murni dalam
kehidupan. Sebagai contoh Seloka Pak Pandir dan Pantun Nasihat.
Karya-karya ini banyak menjadi rujukan buat masyarakat dalam menjalani kehidupan
harian.
vii. Alat Kawalan Sosial
Dalam Kehidupan Seharian
Menurut Aripin Said
dalam Prosa Warisan, Sastera secara umumnya dapat dikatakan menjadi alat
kawalan sosial dalam kehidupan seharian. Melalui cerita rakyat umpamanya,
anggota masyarakat diberitahu tentang perkara yang boleh dan tidak boleh
dilakukan. Misalnya, jika derhaka kepada ibu bapa, seseorang itu akan mendapat
malapetaka sebagaimana yang diterima oleh Si Tenggang. Jika berangan-angan
tinggi tanpa berusaha akan menjadi seperti Mat Jenin. Malah, anak-anak harus
bijak sebagaimana Sang Kancil dalam cerita-cerita binatang. Cerita rakyat juga
dirujuk untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan. Perlakuan yang baik
seperti yang terdapat dalam cerita rakyat dijadikan ikutan.
Dalam cerita-cerita
legenda pula, terdapat tokoh yang menjadi sanjungan satu-satu masyarakat.
Tokoh-tokoh tersebut mungkin sahaja tokoh agama, pahlawan, peneroka satu-satu
tempat atau seumpamanya. Melalui gambaran keistimewaan, tokoh dipaparkan
mempunyai semangat perjuangan yang gigih, mempunyai kekuatan yang luar biasa,
berjasa dan sebagainya. Kesemua ini dapat menanam semangat tidak putus asa
dikalangan pendengar selain menanamkan semangat cinta akan tanah air yang tidak
berbelah bahagi. Segala sikap, cara berfikir, pengorbanan watak dalam cerita
legenda itu cepat meresap di hati para pendengarnya.
Cerita legenda
dapat memberi sumbangan yang amat besar dalam kehidupan masyarakat dalam
membentuk anggota masyarakat menjadi manusia yang mempunyai wawasan dalam
hidupnya. Dalam hal ini juga, kita melihat setiap bangsa memang ada tokoh tokoh
tertentu yang mereka agungkan serta kagumi. Baik cerita mitos, cerita binatang,
cerita lipur lara, cerita legenda dan sebagainya itu kadangkala terlalu kental
berbaur dengan dongeng-dongeng tertentu. Namun yang harus diperhatikan, ada
segala nasihat dan teladan yang terdapat dalam cerita cerita tersebut.
Tukang-tukang cerita, selain bertindak untuk menyeronokkan hati khalayak yang
mendengar, juga menekankan nasihat. Ungkapan yang sering diulang atau dinyatakan
oleh tukang-tukang cerita, seperti "Jangan jadi seperti Si Tenggang"
atau "Sang Kancil itu cerdik dan bijak" atau "Kalau-rajin
bekerja mesti hidup senang" dan sebagainya.
Demikian cerita
rakyat dapat menentukan arah tindak tanduk masyarakat pada masa itu. Kesan yang
terlekat di hati mereka dengan mendengar cerita-cerita rakyat kekal dari mereka
masih kanak-kanak hingga kehidupan mereka pada hari tua. Kemudian cerita-cerita
tersebut bersambungan lagi kepada khalayak yang seterusnya.
Walaupun perkembangan masyarakat dipengaruhi oleh segala
macam perubahan namun nilai moral yang terdapat dalam cerita-cerita rakyat
tetap sesuai dengan anggota masyarakat itu baik dalam era mana sekalipun.
Pengalaman individu dalam masyarakat tersebut cepat sahaja diasosiasikan dengan
gambaran yang terdapat dalam cerita-cerita yang mereka dengar.
viii.Mengisi Masa Lapang
Malah, kesusasteraan Melayu juga berfungsi bagi memberi
hiburan. Kesusasteraan digunakan bagi mengisi masa lapang dan dijadikan hobi.
Karya-karya sastera seperti Seloka Pak Pandir bukan saja memberi pengajaran
tetapi juga menyeronokkan untuk dibaca. Malah jika pada zaman dahulu,
cerita-cerita rakyat akan diceritakan pada waktu-waktu lapang bagi
menghilangkan kebosanan dan anggota masyarakat dapat berkumpul pada malam hari
setelah sibuk mencari nafkah pada siangnya. Pada waktu malam itulah, mereka
berkumpul untuk berhibur sambil belajar melalui cerita rakyat.
Kesimpulan
Kesusasteraan Melayu dalam masyarakat Melayu lama
wujud bersama-sama bangsa Melayu itu sendiri. Kewujudan sastera Melayu itu
juga memperlihatkan segala-galanya itu digambarkan dengan cukup menarik.
Keindahan itu juga terlihat pada gaya bahasa. Melalui cerita-cerita sedemikian,
kita melihat kesinambungan budaya masa lalu dengan masa kini. Perkembangan
budaya tahap demi tahap dapat membentuk peradaban atau tamadun manusia dari
satu zaman ke satu zaman yang lainnya. Perkembangan budaya masa kini sebenarnya
diasaskan oleh budaya silam. Manusia sentiasa mencari kemajuan. Fungsi sastera
Melayu mewujudkan pemikiran yang bijaksana sentiasa memimpin manusia untuk
mencapai kemajuan yang sesuai untuk kesempurnaan hidup. Sehubungan ini,
pemikiran dahulunya dapat membentuk sosialisasi masyarakat dengan jelas.
Pemikiran yang dimaksudkan itu masih utuh dan murni walaupun diletakkan dalam
mana mana zaman yang sentiasa berubah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan