1.0
PENDAHULUAN
Seni
dalam pendidikan terdiri daripada mata pelajaran Pendidikan Seni Visual,Seni
Muzik dan Seni Pergerakan. Mengikut Kamus Dewan Edisi baru, seni didefinisikan
sebagai karya ( sajak, lukisan, muzik dan lain-lain ) yang diciptakan dengan
bakat, kebolehan mencipta sesuatu yang indah. Secara tidak langsung mengakui
bahawa untuk menghasilkan sesuatu produk seni, bakat, kebolehan dan penghayatan
serta pemahaman yang jitu amat penting. Kebolehan adalah sesuatu yang mampu
dipelajari dan dibentuk manakala bakat pula adalah sesuatu yang berdiri dengan
sendiri hasil daripada kurniaan Ilahi. Kedua-dua ini saling berkait rapat di
dalam menghasilkan sesuatu produk seni yang mempunyai nilai estetika yang
tinggi.
Dipandang
daripada sudut agama, Imam Muslim melalui penulisan kitabnya, Kitab Al- Iman,
menjelaskan tentang kesenangan estetik dan konsep keindahan sebagai pertemuan
antara seseorang yang mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau objek yang
ditemui. Dalam erti kata lain, Muslim menjelaskan seni itu sebagai suatu bentuk
ilmu ( pengetahuan ) di mana seseorang yang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan
seni tersebut akan mencipta serta melahirkan manifestasi pemikiran dan
perasaannya terhadap sesuatu objek yang dihayatinya melalui karya-karya seni,
ataupun setidak-tidaknya akan menghargai keindahan objek serta karya tersebut,
sekiranya tidak mampu menghasilkan karya seni. Ini adalah kerana seni itu
sendiri mempunyai pertalian erat di antara penggiat dan khalayak seni itu
sendiri.
Menurut
Herbert Read ( buku, The Meaning of Arts ) pula seni adalah penghasilan rupa
bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik ( Art is
Expression ). Kesenangan estetik di sini adalah merujuk kepada konsep
kesenangan yang terhasil kesan oleh penghayatan terhadap keindahan seni visual.
Kepuasan, kenikmatan, kesukaan dan kegembiraan juga termasuk di dalam
kesenangan ini.
Selain
itu, seni dalam pendidikan juga memainkan peranan yang penting ke arah
perkembangan kanak-kanak melalui peningkatan daya persepsi, estetika dan
kreativitinya. Matlamatnya ialah untuk melahirkan individu yang berbudaya
dengan mengamalkan pertimbangan kesenian, berjiwa kreatif, inovatif, inventif
dan mempunyai jati diri yang tinggi. Penggabungan tiga jenis seni yang terdiri daripada
seni visual, seni muzik dan seni pergerakan akan membantu pembentukan insan
yang lebih bersifat holistik dan menyeluruh.
2.0 APLIKASI SENI DALAM PENDIDIKAN
Seni merupakan sesuatu yang subjektif untuk
digambarkan. Seni itu indah dan halus. Seni dalam pendidikan merupakan sesuatu
yang baru dan ianya menggabungkan tiga elemen penting. Elemen-elemen tersebut
ialah seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik.
Dalam seni visual ianya lebih melibatkan lukisan,
manakala seni pergerakan melibatkan penggunaan ruang dalam sesuatu aktiviti dan
seni muzik pula lebih kepada interpretasi seseorang terhadap muzik yang
didengari. Warna merupakan elemen yang penting dalam kehidupan. Tanpa warna
kehidupan akan menjadi tidak bermakna. Semestinya, kehidupan akan menjadi bosan
dan tidak menarik. Warna juga turut digunakan dalam seni dalam pendidikan iaitu
dalam komponen Pendidikan Seni Visual. Warna memainkan peranan yang penting
dalam menggambarkan sesebuah kebudayaan, emosi. dan maksud dalam karya seni
visual.
Irama merupakan elemen yang terdapat dalam seni
muzik. Irama dapat dinyatakan sebagai rentak yang berlaku secara berulang.
Sesuatu irama itu boleh dinikmati sewaktu kita mendengar muzik. Irama yang
menarik dalam sesuatu muzik akan mempengaruhi seseorang untuk mendengar muzik
tersebut berulang kali. Dalam kehidupan kita seharian, kita semestinya akan
menemui pelbagai irama. Sebagai contoh bunyi tapak kaki, bunyi degupan jantung,
bunyi titisan air di singki dan sebagainya. Semua ini merupakan irama yang
wujud di sekeliling kita tanpa kita sedari dan kebanyakan ianya berlaku setiap
masa.. Dalam pendidikan seni, irama digambarkan sebagai sesuatu susunan corak
yang berulang dan susunan sekata yang mewujudkan pergerakan.
Kanak-kanak akan mula memahami sesuatu kemahiran
yang berbentuk irama sewaktu mereka melakukan aktiviti seperti melompat,
bergerak ke kiri dan ke kanan, menari, melukis corak dan sebagainya. Sebenarnya
irama dapat merangsang minda kanak-kanak untuk memberikan tumpuan apa yang
sedang dilakukan. Tanpa kehadiran muzik, sudah semestinya sesuatu aktiviti itu
menjadi hambar dan murid akan merasa cepat bosan. Selain itu, kehadiran Irama
dalam aktiviti yang dilakukan secara tidak langsung menarik minat kanak-kanak
untuk menyertai sesuatu aktiviti dengan lebih seronok dan bersemangat.
Kanak-kanak akan merasa lebih seronok melakukan aktiviti seperti melompat
sambil mengikut irama muzik.
Irama yang diaplikasikan dalam pengajaran akan
menjadikan pelajar banyak melakukan pergerakan dan secara tidak langsung,
elemen yang ketiga dipenuhi. Elemen-elemen seni dalam pengajaran ini menjadi
satu hubung kait yang kukuh dalam menjadikan pengajaran lebih efektif dan
kreatif. Kanak-kanak akan menjadi lebih terdorong untuk memahami sesuatu
perkara secara seronok. Kesimpulannya, guru perlu mengambil langkah dalam
memanipulasikan elemen seni dalam pengajaran supaya pengajaran mereka akan
menjadi lebih berkesan.
Menurut Kenneth M.Lansing ( 1973 ) dalam bukunya
Art, Artist dan Art Education menyatakan bahawa aktiviti pendidikan seni yang
wujud boleh berfungsi sebagai satu cabang komunikasi. Kebolehan guru dalam
menyampaikan pengajaran dan menggunakan kaedah yang betul akan dapat memenuhi keperluan.
Selain itu, guru perlulah memahami dan menghayati kurikulum dan menguasai
Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kemahiran guru dalam mengolah sukatan
pelajaran dengan menumpukan kepada perkembangan pengetahuan dan peningkatan
kemahiran tertentu dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan teknik yang
sesuai. Seni Dalam Pendidikan sebenarnya memberi peluang kepada kanak-kanak
untuk meneroka alam sekeliling mereka, yakni apa yang mereka lihat, sentuh,
bergerak dan berfikir dalam setiap aktiviti pembelajaran yang mereka lakukan.
Melalui cara ini, secara tidak langsung, ia mengajar murid
untuk menguruskan sumber imaginasi, kreativiti, pemikiran, serta emosi
dengan lebih efektif dan proaktif.
3.0 Aktiviti
Seni Dalam Pendidikan dapat meningkatkan perkembangan jasmani,
Emosi, rohani, intelek, sosial
dan estetika kanak-kanak.
3.1 Seni Visual
Sememangnya
tidak dapat disangkal lagi bahawa seni visual amat penting dalam perkembangan
kanak-kanak seperti perkembangan dari segi jasmani, emosi, rohani ,intelek,
nilai estetika dan sosial kanak- kanak . Pendidikan Seni Visual memainkan
peranan yang besar sekali dalam menjayakan matlamat Falsafah Pendidikan Negara
tersebut.
Dalam
Pendidikan Seni Visual, perkembangan kognitif ini sebenarnya mempunyai hubungan
dengan kemampuan seseorang murid itu berfikir termasuk kemampuan memahami,
menghafal, mengaplikasi dan menganalisis. Menurut Taksonomi Bloom (Sax 1980),
kemampuan kognitif adalah kemampuan berfikir secara hierarki yang terdiri dari
pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan evaluasi.
Penghasilan lukisan oleh murid- murid di
sekolah rendah mempunyai interpretasi yang berbeza dengan yang dihasilkan oleh
orang dewasa. Bagi mereka, hasil seni yang dihasilkan lebih berupa kepada hasil
luahan dan expresif. Di sekolah rendah, hasil seni yang dihasilkan oleh kanak-
kanak dapat digunakan untuk melihat bagaimana caranya mereka berfikir dan
menyelami perasaan mereka selain melihat dan menguji keupayaan perkembangan
kognitif mereka.
Jika kita
lihat contoh aktiviti dalam membentuk dan membuat binaan iaitu aktiviti membina
kad ucapan, jelas menunjukkan bahawa murid- murid dapat
mengaplikasikan apa yang telah difahami dalam menghasilkan kad ucapan dengan mewarna
kad tersebut. Murid mampu berfikir tentang proses kerja seterusnya sehinggalah
terhasilnya sebuah kad ucapan yang indah dan kreatif berdasarkan kemampuan
kognitif mereka sendiri. Ini menunjukkan bahawa, aktiviti- aktiviti seni yang
tersusun dan terancang dapat melahirkan murid yang mempunyai keupayaan
menyelesaikan masalah. Selain daripada itu, mereka juga akan mampu untuk
membuat penilaian dan bijak membuat keputusan.
Perkembangan
kognitif dalam proses kerja murid dalam menghasilkan karya seni adalah selaras
dengan matlamat membentuk generasi Malaysia yang imaginatif, inovatif dan
inventif. Dengan penghasilan karya- karya seni, murid dapat menghargai
keindahan alam sekitar, rasa kesyukuran kepada Tuhan di atas seni yang
dihasilkan dan meningkatkan keindahan seni yang dapat menyumbang kepada
pembangunan diri seperti yang dinyatakan dalam objektif kurikulum pendidikan
seni visual sekolah rendah yang ketiga iaitu meningkatkan pengetahuan, daya
kreativiti, inovasi, disiplin serta kemahiran dalam bidang seni visual yang
dapat diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya.
Dalam mata pelajaran pendidikan seni visual,
kanak- kanak diajar untuk mengawal dan melatih jasmani mereka dalam
menghasilkan karya seni. Ini kita dapat lihat dalam aktiviti seni dalam bidang
yang diajar seperti aktiviti melukis, menganyam, membentuk dan membuat binaan,
membuat corak dan pelbagai lagi.
Aktiviti-
aktiviti seni dalam ke empat- empat bidang banyak menggunakan kemahiran jasmani
dalam penghasilan seni. Kita ambil contoh aktiviti membina kad
ucapan. Melukis pada kad dengan teknik tulisan yang pelbagai dan dilukis
berbunga adalah menunjukkan perkembangan Psikomotor yang positif. Menurut
Ibrahim Hassan (2001) Pendidikan Seni Visual sekolah rendah memupuk pertumbuhan
kemahiran dalam pergerakan atau gerak balas yang boleh terbentuk melalui
aktiviti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan meningkatkan kualiti
koordinasi antara mata, tangan, otot dan mental.
Kerohanian dan emosi yang baik sangat penting dalam diri seseorang individu.
Kerohanian merupakan sesuatu yang berkaitan dengan sikap dan nilai dalam diri .
Dalam Pendidikan Seni Visual, aspek afektif ini mencakupi perasaan, minat,
sikap, emosi dan nilai. Dalam penghasilan karya, murid di sekolah rendah tidak
kira peringkat umur akan mempunyai perasaan terhadap sesuatu yang ingin
dihasilkan. Minat akan menjadi fokus utama jenis karya yang bakal dihasilkan.
Manakala emosi pula banyak mempengaruhi semasa proses kerja karya tersebut dan
nilai yang dapat ditunjukkan adalah nilai menghargai warisan, sahsiah yang baik
dan rasa kesyukuran. Ini jelas menunjukkan bahawa kerohanian ini menekankan kepada kepentingan emosi dan
perasaan.
Justeru itu, seseorang murid yang mempunyai
nilai kerohanian dan kestabilan emosi yang tinggi dalam Pendidikan Seni Visual
akan dapat dilihat menerusi berbagai tingkah laku. Antaranya adalah seperti,
pemerhatian murid tersebut terhadap mata pelajaran Pendidikan Seni Visual,
disiplinnya dalam menyediakan bahan seni yang diperlukan, mempunyai motivasi
yang tinggi terhadap mata pelajaran seni
dan penghargaan terhadap alam sekitar dan kesyukuran ditunjukkan dalam
karya yang dihasilkan. Fokus utama murid-murid dalam aktiviti-
aktiviti seni adalah meluahkan perasaan dalam karya dan memiliki motivasi yang
sangat tinggi sehingga tumpuan diberikan seratus peratus terhadap karya yang
ingin dihasilkan. Ini mempunyai perkaitan dengan matlamat Pendidikan Seni
Visual iaitu menghargai keindahan seni dan objektif kurikulum Pendidikan Seni
Visual menunjukkan penghargaan terhadap keindahan dan menjadikan bidang seni
visual sebagai prospek kerjaya.
Dalam Pendidikan Seni Visual, nilai
estetika pula merujuk kepada proses yang
berterusan dalam menghasilkan sesuatu yang baru dan asli. Murid- murid sekolah
rendah mempunyai nilai imaginatif yang tinggi tidak kiralah murid tersebut di tahap
satu mahupun di tahap dua. Masing- masing akan mempunyai kreativiti yang
berbeza dalam meluahkan penghasilan seni. Ini bermakna dalam pendidikan seni
visual, murid- murid mampu berfikir dengan kreatif dan kritis dalam
memperkembangkan hasil seni mereka.
Dalam Pendidikan Seni Visual, murid- murid di
sekolah dapat melibatkan diri dengan pelbagai proses kerja seni yang banyak
melibatkan aktiviti kreatif dan proses mengembangkan idea dalam diri
mereka. Projek seperti membuat kad ucapan dari bidang membentuk dan
membuat binaan dalam mata pelajaran pendidikan seni visual ini telah membantu
murid ini mengembangkan domain kreativitinya.
Aktiviti
menghasilkan kad ucapan seperti ini di dalam Pendidikan Seni Visual
mengutamakan proses dan hasilan akhir. Oleh yang demikian, proses kerja ini
menyuburkan budaya pemikiran kritikal murid di dalam menyelesaikan sesuatu
permasalahan. Selain itu, aktiviti pendidikan seni visual ini menggalakkan
eksplorasi dan eksperimentasi agar murid mempunyai pengalaman luas dalam bidang
penghasilan karya. Pendidikan Seni
Visual ini berupaya mengembangkan naluri ingin tahu secara eksplorasi menerusi
deria. Pemikiran kreatif dan kritis akan terus dijana melalui ekspresi diri
mereka.
Semua
yang telah dibincangkan di atas dalam domain kreativiti adalah sejajar dengan
matlamat Pendidikan Seni Visual dalam melahirkan generasi Malaysia yang
imaginatif, kritis, kreatif, inovatif dan inventif. Melalui karya seni mereka,
murid dapat berimaginasi, berfikir secara kreatif dan kritis, berdaya inovatif
dalam menghasilkan karya yang bermutu dan inventif.
Dalam pendidikan seni visual, murid diberi
peluang berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial. Interaksi dan
keupayaan bersosial ini dapat meningkatkan keyakinan diri murid-murid.
Aktiviti pendidikan seni visual seperti ini memberikan peluang kepada murid
untuk saling hormat- menghormati dan menjadi landasan untuk memupuk perasaan
bertoleransi. Dalam domain sosial pendidikan seni visual, semangat bekerjasama
di dalam aktiviti berkumpulan dapat dibentuk.
Perkembangan
sosial murid- murid secara positif dapat dibentuk dengan perkongsian ilmu
melalui gerak kerja berkumpulan dan apresiasi seni. Murid- murid bukan sahaja
berkongsi idea malah dapat menambah baik penghasilan seni mereka. Hubungan
sosial yang dibentuk di antara rakan sebaya semasa proses kerja seni yang
dijalankan secara tidak langsung dapat menyemai nilai menghormati, kerjasama
dan saling bantu-membantu. Perkembangan sosial yang berlaku adalah selaras
dengan matlamat dan objektif pendidikan visual
melahirkan social yang seimbang dan harmonis yang mempunyai nilai social
yang tinggi sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Rumusan
Konklusinya, seni dalam
pendidikan banyak meninggalkan kesan terhadap pendidikan dan mempunyai cabaran
dalam merealisasikannya. Walaupun begitu, seni dalam pendidikan jelas
menunjukkan ciri-ciri pendekatan yang efektif yang mampu meningkatkan
keberkesanan prestasi murid-murid di dalam bilik darjah. Sehubungan dengan itu,
guru perlu menjayakan seni dalam pendidikan dengan mengaplikasikannya dalam
setiap kali pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, perkembangan pendidikan di Malaysia yang semakin pesat ini
adalah hasil daripada minat ibu bapa yang tinggi terhadap perkembangan
pendidikan dan persekolahan anak-anak mereka baik di peringkat prasekolah,
pendidikan rendah, menengah dan juga di institusi pengajian tinggi. Kesedaran
tersebut adalah implikasi daripada kesedaran mengenai kepentingan pendidikan
bagi memajukan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan yang semakin sengit.
Oleh itu, peranan daripada pihak pendidik, ibu bapa, dan pelajar itu sendiri
amatlah penting bagi menghadapi liku kehidupan. Dalam erti kata yang lain,
penggunaan seni dalam pendidikan mungkin mampu mengurangkan kerisauan pihak
tertentu terhadap pendidikan negara Malaysia.
Akhir sekali, pihak perancang pendidikan perlu melihat isu-isu dan
cabaran yang berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif. Menyelesaikan
masalah secara runcitan dan memberi tumpuan kepada aspek tertentu dan
mengurangkan tumpuan kepada aspek lain yang akan menghalang pelaksanaan
pendidikan kita seperti pengaplikasian seni dalam pendidikan terutama bagi
memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri. Sehubungan itu, semua pihak
perlulah terbuka dalam menerima seni dalam pendidikan melalui pembelajaran hari
ini. Dalam erti kata yang lain, pendidik perlu bersatu padu dalam menggembleng
tenaga serta berusaha mengambil inisiatif dan langkah drastik bagi memenuhi
keperluan pendidikan sejagat selaras kehendak negara dalam memacu wawasan 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan