Jumaat, 31 Julai 2015

SASTERA RAKYAT DALAM MASYARAKAT MELAYU

1.0        PENDAHULUAN


Menurut Hashim Awang (1985), sastera tradisional juga dapat dikenali sebagai sastera rakyat yang lahir di kalangan masyarakat pada zaman lampau yang mengamalkan gaya hidup tradisional. Sastera tradisional telah menjadi warisan kepada generasi yang seterusnya. Sastera tradisional tidak mempunyai bentuk, plot, ciri, gaya dan teknik yang tertentu dan sastera tradisional bersifat kolektik. Sastera tradisional lahir sebagai bahan hiburan atau bahasa pertuturan untuk kehidupan seharian masyarakat tradisi (Ismail Hussein, 1965). Antara contoh sastera tradisional ialah pantun, syair, gurindam, cerita rakyat, teka-teki dan seloka.
Sastera Rakyat ialah sastera yang sepenuhnya telah dihasilkan oleh golongan rakyat jelata. Gubahannya adalah gubahan yang begitu menarik sekali dan memang menjadi kebanggaan golongan rakyat bawahan. Wujudnya Sastera Rakyat ini adalah semenjak sebelum masyarakat Melayu mengenali akan sistem tulisan. Orang Melayu pada ketika itu banyak menitikberatkan kelisanan dalam Sastera Rakyat. Kelisanan inilah yang akan menunjukkan kehebatan dan keunikan Sastera Rakyat itu sendiri. Orang Melayu hebat berfikir, menghafal, mentafsir, meluahkan dan mentafsirkan. Semuanya dalam lingkungan alam terkembang menjadi guru.

Penakik pisai siraut
Ambil galah batang lintabung
Selodang jadikan nyiru
Nang setitik jadikan laut
Nang sekepal jadikan gunung
Alam terkembang jadikan guru

Setiap bahan yang diperoleh disampaikan dari mulut ke mulut dan menjadi tanggungjawab mereka untuk diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Bila situasi ini berlaku maka terdapatlah tokok tambah dalam bahan yang disampaikan.

Setiap tokok tambah sebenarnya adalah menunjukkan kekreatifan orang-orang Melayu itu mengolah dan mentafsir sesuatu bahan yang diperolehnya. Harus diingat bahawa Sastera Rakyat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu adalah bersifat kolektif dan kepunyaan bersama. Masing-masing bertanggungjawab terhadap apa yang diceritakan. Setiap cerita tidak sunyi dari pengaruh alam sekeliling. Malahan jika tidak terdapat pengaruh alam sesuatu bahan Sastera Rakyat itu tidak menarik dan bersifat kering serta longgar. Orang Melayu pada ketika ini juga begitu mempercayai akan animisme dan masyarakat mereka bersifat tertutup. Tiada pengaruh dari luar. Orang Melayu pada zaman ini lebih suka dengan apa yang mereka miliki.

Setiap karya sastera pada ketika ini adalah milik bersama dan tiada tercatat nama pengarang, tarikh serta masanya. Tidak wujud langsung milik perseorangan. Kebanyakan Sastera Rakyat ini mudah difahami dan plotnya tidak berbelit-belit. Masyarakat ketika itu mementingkan akan mesej yang hendak disampaikan. Segala unsur estetiknya lahir kemudian. Kebanyakan Sastera Rakyat disampaikan oleh tukang-tukang cerita yang mahir serta berkebolehan seperti Tok Selampit di Kelantan, Awang Batil di Kedah, Mir Hassan dan Pawang Ana di Perak, Penglipur Lara di Pahang, Awang Kitang di Negeri Sembilan dan Tukang Kenterung di Jawa. Penyampaian yang dibuat oleh tokoh-tokoh ini begitu kreatif dan menarik sekali serta diiringi oleh alat-alat bunyi-bunyian iaitu rebana, seruling dan sebagainya.

Hasil daripada amalan animisme yang begitu kuat di kalangan orang-orang Melayu pada ketika itu telah melahirkan beberapa genre seperti mantera dan melalui mantera ini diwujudkan pula jampi, serapah, sembur, cuca dan sebagainya yang bertindak untuk menjaga keselamatan, kesejahteraan, maruah dan kehormatan orang-orang Melayu pada ketika itu. Lahirnya genre lain seperti teromba yang lebih bersifat undang-undang masyarakat yang begitu kuat diamalkan di Negeri Sembilan, Naning dan Minangkabau.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa teromba ini adalah genre yang terawal wujud dan di dalamnya terdapat pantun, mantera, syair, seloka, gurindam, peribahasa, terasul, pepatah-petitih, bidalan, ungkapan, teka-teki dan banyak lagi. Semuanya adalah bersifat berkias, menyindir dan menguji kefahaman khalayak Melayu pada ketika itu. Ramai yang tidak merasai bahawa kehebatan Melayu adalah terletak kepada genre seperti ini.


Genre seperti ini juga terdapat di dalam Prosa Melayu Klasik contohnya di dalam Hikayat Malim Deman, Sejarah Melayu dan sebagainya. Teromba juga masih diamalkan dalam masyarakat seperti  Adat Perpatih di Negeri Sembilan dan sebahagian di Melaka. Akan tetapi ianya tersebar di kalangan orang-orang Melayu di negeri-negeri lain di Malaysia ini.

2.0        SASTERA RAKYAT DALAM MASYARAKAT MELAYU

            2.1       Definisi Masyarakat Melayu

Kamus Dewan mendefinisikan Melayu sebagai suatu bangsa dan bahasa. Kata Malaya atau Malayu merupakan kependekan daripada kata hima alaya, yang menurut  kebiasaan himalaya membawa pengertian tempat salju (hima: salju, alaya: tempat).Kata Malaya dan Malayu bermaksud dataran tinggi, gunung atau pergu- nungan. Penduduk dari dataran tinggi atau penduduk pergunungan yang sering dikaitkan dengan kata Malaya yang bererti pergi ke mana-mana, mengembara dan berkelana.
Dari segi etimologi, perkataan "Melayu" itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit "Malaya" yang bermaksud "bukit" ataupun tanah tinggi. Ada juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan "Melayu" berasal dari "Sungai Melayu" di Jambi.
Istilah "Melayu" ditakrifkan oleh UNESCO pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar. Bagaimanapun menurut Perlembagaan Malaysia, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Dengan kata yang lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang Melayu adalah orang Melayu.
Istilah Malaya dvipa muncul dalam kitab Purana, sebuah kitab Hindu purba, yang ditulis sebelum zaman Gautama Buddha sehingga 500 Masihi. Dvipa bermaksud "tanah yang dikelilingi air" dan berdasarkan maklumat-maklumat yang lain dalam kitab itu, para pengkaji beranggapan bahawa Malaya dvipa ialah Pulau Sumatera.Istilah "Mo-lo-yu" juga dicatat dalam buku catatan perjalanan pengembara Cina pada sekitar tahun 644-645 Masihi semasa zaman Dinasti Tang. Para pengkaji bersependapat bahawa perkataan "Mo-lo-yo" yang dimaksudkan itu ialah kerajaan yang terletak di Jambi di Pulau Sumatera, serta juga Sriwijaya yang terletak di daerah Palembang.
Di Malaysia, orang Melayu didefinisikan menurut perlembagaan dalam perkara 160(2). Menurut perkara ini, orang Melayu ditakrifkan sebagai:

-       Seorang yang beragama Islam
-       Bertutur bahasa Melayu
-       Mengamalkan adat istiadat Melayu
             2.2      Konsep Masyarakat Melayu
                       
Masyarakat menurut definisi kamus dewan (2005) ialah kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Individu, keluarga dan kumpulan-kumpulan kecil merupakan anggota sesebuah masyarakat. Jaringan erat wujud dalam kalangan anggota tersebut, khususnya melalui hubungan bersemuka. Daripada pergaulan ini, terbina pola hubungan sosial yang berulang sifatnya seperti kegiatan gotong royong, bersama-sama merayakan sesuatu perayaan melalui rumah terbuka, berkumpul menyambut pembesar yang datang berkunjung, menghadiri kenduri majlis perkahwinan, membantu mereka yang ditimpa malapetaka atau menziarahi jiran yang sakit tenat atau yang telah meninggal dunia.  Begitu juga boleh ditafsirkan dengan masyarakat Melayu .Kekerapan pergaulan ini membina satu kesepaduan dalam masyarakat tersebut sebagai satu unit sosial. Dalam konteks Malaysia, hubungan harmonis antara pelbagai kumpulan etnik dapat membina sebuah masyarakat Malaysia yang teguh.
 Masyarakat Melayu pula mempunyai budayanya yang tersendiri yang terbentuk daripada hubungan rapat sesama anggotanya semenjak masyarakat itu wujud. Sebagai contoh, masyarakat Melayu kampung di kawasan luar bandar Malaysia telah wujud berpuluh abad lamanya, semenjak sebelum kedatangan kebudayaan asing (sama ada dari negara China, India, Tanah Arab atau Eropah). Masyarakat Melayu luar bandar yang paling baru dibentuk pada tahun 1956 ialah perkampungan FELDA (Federal Land Development Authority atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan). Perkampungan FELDA adalah untuk mereka yang berpendapatan rendah.
Para sarjana sains sosial dan kajian kemanusiaan telah menegaskan bahawa kebudayaan tidak wujud jika tidak ada masyarakat. Pendapat ini berasaskan fakta sejagat bahawa manusia sebagai anggota masyarakat telah bertanggungjawab mencipta, mengubah, menokok dan melestarikan budaya, dan telah menurunkannya daripada generasi kepada generasi untuk jutaan tahun dalam peradaban manusia sedunia. Proses mewariskan budaya melibatkan interaksi dua generasi; pertama, generasi yang menurunkan budaya; dan kedua, generasi yang menerima budaya.





                        Generasi yang menurunkannya ketika menerima budaya tersebut telah pun mengubahsuaikan nya secocok dengan keadaan persekitaran sosial dan fizikal semasa mereka. Begitu jugalah yang dilakukan oleh generasi yang menerima, iaitu anak-anak mereka pun turut mengubah suai budaya yang mereka terima berasaskan situasi sosial dan fizikal semasa. Dengan cara inilah, sesuatu budaya terus menerus diperturunkan, diubah suai dan dilestarikan sepanjang zaman, yang selanjutnya menjadi asas pembinaan sesebuah tamadun besar seperti di Mesir, negara China, India atau di wilayah yang lain.
Masyarakat yang berbudaya berkembang dengan menurunkan dua bentuk budaya: budaya material seperti Tembok Besar China dan Piramid di Mesir; dan budaya bukan material seperti sistem kepercayaan dan agama, falsafah dan kesusasteraan, dan pemikiran sains serta kemampuan mencipta teknologi. Paduan kedua-dua komponen budaya inilah yang menjadi pemacu kepada perkembangan dan kemajuan sesebuah masyarakat. Penglibatan setiap anggota masyarakat diperlukan bukan setakat untuk mengatur kehidupan berlandaskan undang-undang, sistem politik, ekonomi dan pentadbiran tetapi juga dari segi nilai, norma, emosi dan semangat mencintai masyarakat atau sesebuah negara, yang seterusnya pula mengandungi pelbagai rupa bentuk masyarakat.
Berdasarkan pemahaman mengenai masyarakat yang dihuraikan tadi ternyata bahawa Malaysia ialah sebuah masyarakat yang mengandungi pelbagai kumpulan etnik dan budaya. Dari segi sejarahnya, masyarakat Malaysia juga telah terbukti mempunyai asas kukuh untuk mewujudkan masyarakat berilmu, bermoral dan mendukung cita-cita murni bangsa Malaysia berteraskan konsep negara bangsa. Hal ini telah dimanifestasikan oleh pemimpin dan rakyat melalui pemikiran, nilai sosiobudaya, perlambangan dan jiwa kemanusiaan serta kerohanian tinggi yang mereka amalkan sehingga hubungan etnik yang harmonis terus bertahan dengan baik.



            2.3       Ciri-Ciri Sastera Rakyat

Menurut Hashim Awang (1985), sastera tradisional juga dapat dikenali sebagai sastera rakyat yang lahir di kalangan masyarakat pada zaman lampau yang mengamalkan gaya hidup tradisional. Sastera tradisional telah menjadi warisan kepada generasi yang seterusnya. Sastera tradisional tidak mempunyai bentuk, plot, cirri, gaya dan teknik yang tertentu dan sastera tradisional bersifat kolektik. Sastera tradisional atau rakyat lahir sebagai bahan hiburan atau bahasa pertuturan untuk kehidupan seharian masyarakat tradisi (Ismail Hussein, 1965). Antara contoh sastera tradisional ialah pantun, syair, gurindam, cerita rakyat, teka-teki dan seloka.

Ciri – ciri sastera rakyat

1)    Penyebaran dan perwarisan lazimnya dilakukan secara lisan

Lisan berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud lidah mahu pun kata-kata. Dalam erti kata lain, diwariskan secara lisan bermaksud tidak menggunakan sebarang bahan atau sumber bercetak dengan system tulisan yang sistematik. Hal ini demikian kerana, pada ketika itu masyarakat belum lagi terdedah kepada system tulisan, hanya golongan bangsawan dan golongan yang terdekat dengan istana yang mampu mempelajari system tulisan dan mampu membaca. Secara umumnya, masyarakat terdahulu hanya bercerita, bergurindam mahu pun berpantun secara lisan dan diperturunkan daripada satu generasi ke generasi berikutnya secara lisan tanpa direkodkan dalam bentuk bertulis. Hikayat Awang Sulung Merah Muda.

2)    Bersifat tradisional; iaitu hidup dalam sesuatu kebudayaan dalam waktu tidak kurang daripada dua generasi , dalam bentuk yang relative tetap.

Ianya bersifat tradisional kerana dinukilkan oleh golongan masyarakat yang mengamalkan cara hidup tradisional. Selanjutnya, sastera tradisional hidup dalam sesuatu kebudayaan dalam waktu tidak kurang daripada dua generasi pula membuktikan bahawa, generasi sebelumnya akan mewariskan sastera tradisional kepada generasi berikutnya. Hal ini juga berkaitan dengan cerita-cerita rakyat yang diceritakan kepada kanak-kanak sebelum mereka tidur. Maksudnya di sini, perwarisan secara lisan membolehkan sastera tradisional hidup selama tidak kurang dua generasi.

3)    Pelbagai Versi

Sastera rakyat wujud dalam pelbagai-bagai versi dan berlakunya tokok tambah kerana penyebarannya yang dilakukan secara lisan. Kebiasaannya ia berlaku beberapa perubahan atau penyesuaian setempat menyebabkan lahir pelbagai versi. Namun perbezaan itu hanya pada aspek luaran sahaja, sedangkan bentuk dasarnya adalah sama dan dapat bertahan. Sebagai contoh, cerita rakyat seperti Bawang Putih Bawang Merah telah dilakonkan semula untuk tatapan masyarakat sekarang mengikut peredaran masa.

4)    Milik Bersama

Sastera rakyat merupakan hasil karya yang menjadi milik bersama masyarakat iaitu sastera merupakan hak masyarakat dan bukannya milik individu tertentu. Oleh itu ianya tidak diketahui siapa penciptanya dan bila ianya dicipta atau dihasilkan. Merupakan kepunyaan bersama, soal siapa hak ciptanya tidak wujud pada sastera traditional. Tiada siapa-siapa yang akan mengaku bahawa dialah pengarang bagi cerita rakyat yang tertentu. Bagi tok cerita ataupun tukang cerita yang kerjanya bercerita, beliau juga tidak mengakui dirinya sebagai pengarang cerita berkenaan.


5)    Mempunyai Fungsi tertentu dalam masyarakat atau kebudayaan

Antara fungsi sastera tradisional adalah; alat didikan, alat pengajaran moral, hiburan, protes sosial, dan sebagainya. Sastera tradisional merupakan alat didikan tidak formal yang mudah dilaksanakan. Cerita Bawang putih Bawang Merah misalnya memperlihatkan sifat dan keperibadian Bawang Merah yang baik dan tulus. Bawang Merah tidak mendendami bahkan memaafkan Bawang Putih dan ibu tirinya walaupun mereka berdua telah melakukan khilaf yang sangat besar kesannya kepada bawang Merah. Cerita teladan seperti ini merupakan alat pengajaran dan didikan moral selaras dengan peraturan kehidupan social pada ketika itu, berlandaskan budaya dan ajaran agama. Antara lain fungsi sastera tradisional ialah sebagai wahana masyarakat mengekspresikan protes sosial. Contohnya, masyarakat biasa tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan apa-apa bantahan terhadap golongan diraja, maka, sastera tradisional dinukilkan demi mengekspresikan perasaan tidak puas hati kepada golongan atasan.

6)    Mempunyai logika tersendiri yang tidak sesuai dengan logika umum.

Masyarakat pada zaman dahulu berfikiran terlampau lebih-lebih lagi berkaitan dengan kepercayaan. Sebelum kedatangan agama seperti Hindu, Buddha dan Islam mereka percaya terhadap sesuatu yang berkuasa di alam ini. Mereka percaya apa yang mereka lakukan akan memberi semangat atau kebaikan kepada mereka. Ini kerana pada zaman dahulu, mereka tidak ada seseorang yang dapat membimbing mereka. Maka, apabila berlaku sesuatu bencana atau kejadian yang pelik di mata mereka, secara langsungnya mereka akan membuat andaian atau kesimpulan sendiri terhadap sesuatu perkara tersebut. Secara amnya, mereka berfikir menggunakan logika sendiri tanpa mempedulikan logika umum contohnya, mereka berfikir manusia boleh bertukar atau berubah bentuk menjadi seekor buaya. Secara logiknya, mana mungkin manusia boleh berubah menjadi seekor buaya.

7)    Bersifat sederhana, terlalu spontan dan kadang kala kelihatan kasar seperti yang          terlihat pada anekdot dan sebahagian cerita jenaka.


Sastera tradisional Melayu juga bersifat sederhana. Ini dapat dilihat melalui cerita-cerita jenaka yang disampaikan. Cerita ini disampaikan secara santai. Kebanyakan cerita dimulai dengan pengenalan watak utama secara bersahaja, diikuti peristiwa lucu yang dilakukan oleh watak utama itu tadi. Sering kali, watak utama adalah penyambung cerita kerana setiap peristiwa melibatkan watak utama. Contoh cerita jenaka yang dapat kita lihat ialah cerita Pak Pandir. Ini kerana tidak ada gaya bahasa tertentu yang digunakan dalam penyampaian cerita dan dapat dituturkan oleh sesiapa sahaja kerana penyampaiannya dalam bentuk pertuturan seharian. Selain itu, terdapat juga bahasa yang digunakan kelihatan kasar seperti cerita Pak kadok. Contohnya, bertelanjang bulat, kelihatan sedikit kasar. Walaupun untuk menerangkan kejadian yang menimpa Pak Kadok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK)

  BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK) Sosiolinguistik mengkaji hubungan bahasa dan masyarakat, yang nengaitkan dua bidang yan...

klik