1.0
PENDAHULUAN
Masyarakat Melayu merupakan salah sebuah masyarakat yang
terbesar bilangannya di rantau Nusantara ini. Hal ini dapat diperhatikan dengan
lebih jelas lagi terutamanya di bumi Malaysia. Kewujudan masyarakat Melayu
telah bermula sejak sebelum terbinanya empayar Kesultanan Melayu Melaka lagi
kira-kira 500 tahun yang lalu. Ketika ini boleh dikatakan bahawa masyarakat
Melayu adalah antara masyarakat yang tinggi ketamadunannya kerana dengan
wujudnya empayar pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, Semenanjung Tanah Melayu
terutamanya di negeri Melaka telah menjalankan kegiatan perdagangan dengan
pedagang-pedagang dari luar negara terutamanya dari Arab, Parsi, India, China
dan lain-lain lagi.
Secara
amnya terdapat beberapa pendapat atau definisi mengenai budaya yang
berbeza-beza mengikut pengkaji itu sendiri. Akan tetapi maksud budaya yang
dikemukakan oleh mereka membawa konotasi yang sama atau serupa maknanya. Kata
budaya itu berasal daripada cantuman bahasa Sanskrit dan bahasa Melayu iaitu;
·
Budhi (Sanskrit) : kecergasan fikiran dan akal
Ini bermaksud budaya itu adalah kecergasan akal fikiran
seseorang yang akan menentukan tahap pemikiran mereka dalam menangani sesuatu
permasalahan dan seterusnya mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan
tersebut.
·
Daya (Melayu) : kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh
Kata daya di sini memberi maksud bahawa sesorang individu
itu menggunakan segala kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh yang semula jadi
bagi membantu menjana pemikiran mereka. Hasil gabungan kedua-dua kata atau
perkataan ini menjelaskan maksud bahawa budaya merupakan kebolehan seseorang
individu menggunakan kekuatan, tenaga dan akal fikiran bagi ke arah
meningkatkan kecergasan akal fikiran bagi menyelesaikan permasalahan dan
seterusnya berupaya menyelesaikan permasalahan tersebut. Penyelesaian tersebut
pula boleh diterima semua ahli masyarakat dan seterusnya menjadi amalan
bersama. Amalan yang yang diterima ini seterusnya dijadikan budaya dalam
kehidupan mereka.
Menurut
Kamus Dewan (2005), budaya ditakrifkan sebagai kemajuan fikiran, akal budi
(cara berfikir), berkelakuan dan sebagainya. Budaya juga diklasifikasikan
sebagai satu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi
sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat
resam, sikap dan nilai.
Dictionary of Philosophy (1996) ada menjelaskan yang
budaya itu adalah:
‘The
way of life of people, including their attitudes, values, beliefs, arts,
scienes, modes of perception, and habits of thought and activity.’
Amalan-amalan yang dibentuk ini akan menetukan hala tuju
bersama dalam masyarakat berkenaan.
Mohd
Taib Osman (1988) ada membuat tafsiran mengenai budaya. Menurut beliau, budaya
memperlihatkan satu himpunan kelengkapan intelektual dan kebendaan yang mampu
memenuhi kehendak biologidan kemasyarakatan serta dapat menyesuaikannya dengan
keadaan sekeliling. Melalui himpunan daya intelektual tersebut masyarakat
membentuk nilai yang dapat diterima bersama. Selo Soemardjan dan Soelaiman
Soemardi bersepakat bahawa budaya merupakan alat penghasilan karya seni, rasa,
dan penciptaan dalam sesebuah masyarakat. Penghasilan karya atau kesenian
tersebut dipersembahkan dalam pelbagai bentuk yang akan menjadi asas kebudayaan
masyarakat.
Manakala
Malinowsky dalam bukunya ‘ A Scientific Theory of Culture’ telah mengkelaskan
budaya sebagai suatu tindak balas terhadap keperluan manusia. Budaya merupakan
keseluruhan aspek kemanusiaan dari segi sejarah, kesusasteraan, institusi
politik, muzik, lukisan, falsafah dan sebagainya. Budaya secara umum adalah
cara atau gaya hidup sesebuah masyarakat atau bangsa. Budaya meliputi semua
aktiviti harian manusia dan juga berperanan membezakan bangsa-bangsa tertentu.
Kesimpulan
yang boleh dibuat mengenai budaya adalah, budaya dari aspek bahasa adalah cara
hidup yang diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat pada masa kini. Dari aspek
istilah pula, budaya merujuk kepada satu cara hidup yang diamalakan oleh
kebanyakkan orang termasuk pemikiran, nilai kepercayaan, pandangan dan tabiat
sesorang dalam menghadapi sesuatu perkara atau situasi. Budaya boleh dikaitkan
dengan pengalaman interaksi sosial individu dengan masyarakat sekelilingnya.
Budaya merupakan warisan sosial manusia, cara pemikiran, perasaan dan tingkah
laku yang boleh diwarisi. Budaya adalah hak masyarakat yang akan menentukan
bentuk tingkah laku mereka.
Menyentuh
semula dengan kebudayaan Melayu. Kebudayaan Melayu adalah satu cara hidup atau
amalan seharian yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dalam kehidupan seharian
mereka. Berdasarkan kepada pendapat yang telah dinyatakan oleh Mohd Taib Osman
dan Malinowsky, budaya dapat dibahagikan kepada 2 jenis iaitu ‘budaya material’
dan ‘budaya bukan material’. Budaya material adalah budaya yang bersifat
kebendaan. Contohnya alatan permainan, pakaian, bentuk rumah dan sebagainya.
Manakala budaya bukan material adalah budaya yang bersifat bukan kebendaan.
Budaya bukan material lebih bersifat kepada kepercayaan dan adat resam sesuatu
masyarakat itu sendiri.
2.0
SEJARAH
DAN LATAR BELAKANG MASYARAKAT MELAYU
2.1 : Teori Asal Usul Masyarakat Melayu
Pengenalan
Melayu
(ملايو)
merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu (بهاس
ملايو) dan mengamalkan adat
resam orang Melayu. Perkataan Melayu mungkin berasal daripada nama sebuah anak
sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera. Di sana
letaknya "Kerajaan Melayu" sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau
semasa adanya Kerajaan Srivijaya.
Sehubungan
itu, dari segi etimologi, perkataan "Melayu" itu dikatakan berasal
daripada perkataan Sanskrit "Malaya" yang bermaksud "bukit"
ataupun tanah tinggi. Ada juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan
"Melayu" berasal dari "Sungai Melayu" di Jambi.
Etimologi
Istilah
"Melayu" ditakrifkan oleh UNESCO pada tahun 1972 sebagai suku bangsa
Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar.
Bagaimanapun menurut Perlembagaan Malaysia, istilah "Melayu" hanya
merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam.
Dengan kata yang lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek
moyang Melayu adalah orang Melayu.
Istilah
"Melayu" untuk merujuk kepada nama bangsa atau bahasa adalah suatu
perkembangan yang agak baru dari segi sejarah, iaitu setelah adanya Kesultanan
Melayu Melaka. Walaupun demikian, tidaklah sehingga abad ke-17 bahawa istilah
"Melayu" yang merujuk kepada bangsa semakin digunakan secara meluas.
Sebelum itu, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada keturunan raja
Melayu dari Sumatera sahaja.
Penggunaan
istilah "Melayu" muncul buat pertama pada kira-kira 100-150 Masihi
dalam karya Ptolemy, Geographike Sintaxis, yang menggunakan istilah
"maleu-kolon". G. E. Gerini menganggap istilah itu berasal daripada
perkataan Sanskrit, iaitu malayakom atau malaikurram, yang merujuk kepada
Tanjung Kuantan di Semenanjung Malaysia. Sebaliknya, Roland Bradell menganggap
tempat itu merujuk kepada Tanjung Penyabung.
Istilah
Malaya dvipa muncul dalam kitab Purana, sebuah kitab Hindu purba, yang ditulis
sebelum zaman Gautama Buddha sehingga 500 Masihi. Dvipa bermaksud "tanah
yang dikelilingi air" dan berdasarkan maklumat-maklumat yang lain dalam
kitab itu, para pengkaji beranggapan bahawa Malaya dvipa ialah Pulau Sumatera.
Istilah
"Mo-lo-yu" juga dicatat dalam buku catatan perjalanan pengembara Cina
pada sekitar tahun 644-645 Masihi semasa zaman Dinasti Tang. Para pengkaji
bersependapat bahawa perkataan "Mo-lo-yo" yang dimaksudkan itu ialah
kerajaan yang terletak di Jambi di Pulau Sumatera, serta juga Sriwijaya yang
terletak di daerah Palembang.
Penakrifan
orang Melayu merupakan satu pekerjaan yang sukar. Sekiranya menurut penakrifan
orang Melayu sebagai orang yang bertutur dalam Bahasa Melayu, penakrifan ini
merangkumi kebanyakan orang di Malaysia, Indonesia, dan sebahagian dari negeri
Thai dan Filipina. Tetapi, di Indonesia moden, orang Melayu ditakrifkan hanya
sebagai salah satu daripada beratus-ratus kaum/suku di negara itu. Lebih-lebih
lagi, warga Indonesia yang dilahirkan selepas kewujudan negara Indonesia lebih
suka mengenali diri mereka sebagai orang Indonesia dan mengenali bahasa mereka
sebagai bahasa Indonesia. Walaupun demikian, secara amnya terdapat dua jenis
penakrifan untuk menentukan sama ada seseorang itu orang Melayu, Iaitu:
-Penakrifan
undang-undang
-Penakrifan
antropologi
Penakrifan
undang-undang
Di
Malaysia, orang Melayu didefinisikan menurut perlembagaan dalam perkara 160(2).
Menurut perkara ini, orang Melayu ditakrifkan sebagai:
Seorang
yang beragama Islam
Bertutur
bahasa Melayu
Mengamalkan
adat istiadat Melayu
Lahir
sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) atau di
Singapura atau pada hari merdeka, dia bermastautin di Persekutuan atau di
Singapura.
Takrifan
undang-undang ini adalah ditetapkan demi keperluan politik di negara Malaysia.
Maka dengan itu, ia adalah tidak menepati hakikat di mana sebenarnya terdapat
juga orang Melayu yang bermastautin di luar Persekutuan Malaysia. Contohnya di
selatan Thailand terdapat juga kelompok manusia yang bertutur dalam Bahasa
Melayu dan mengamalkan budaya orang Melayu. Pentakrifan ini tidak sesuai untuk
takrifan kaum Cina yang berbeza pertuturannya sebaliknya berkongsi tulisan dan
adab resam yang sama di kalangan suku kaum-suku kaum yang berlainan.
Penakrifan
antropologi
Menurut
Syed Husin Ali yang merupakan ahli antropologi di negara Malaysia, orang Melayu
itu dari segi zahirnya, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar
serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa. Dari segi
etnologi, Melayu bermakna kelompok masyarakat yang mengamalkan sistem
kemasyarakatan dwisisi dan kegenerasian yang termasuk dalam bangsa Mongoloid.
Asal
usul bangsa MelayuAsal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar
ditentukan. Walaupun terdapat beberapa kajian dilakukan untuk menjelaskan
perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Secara
amnya terdapat 2 teori mengenai asal-usul bangsa Melayu iaitu:
i.
Bangsa Melayu berasal
dari Yunnan (Teori Yunnan)
ii.
Bangsa Melayu berasal
dari Nusantara (Teori Nusantara)
iii.
Selain itu ada juga
pendapat yang mengusulkan bahawa orang Minangkabau itu berasal daripada
pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara Sungai
i.
Bangsa
Melayu berasal dari Yunnan (Teori Yunnan)
Teori ini disokong oleh beberapa sarjana
R.H.Geldern,J.H.C Kern,J.R Foster,J.R Logen,Slametmuljana dan juga Asmah Haji
Omar. Secara keseluruhannya, alasan-alasan yang menyokong teori ini adalah
seperi (a) Kapak Tua yang mirip kepada Kapak Tua di Asia Tengah di Kepulauan
Melayu. Perkara ini menunjukkan adanya migrasi penduduk dari Asia Tengah ke
Kepulauan Melayu; (b) Adat resam bangsa Melayu mirip kepada suku Naga di daerah
Assam (berhampiran dengan sempadan India dengan Myanmar); (c) Bahasa Melayu
adalah serumpun dengan bahasa di kemboja. Lebih lanjut lagi, penduduk di
Kemboja mungkin berasal dari dataran Yunnan dengan menyusuri sungai
Mekong.perhubungan bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja sekaligus menandakan
pertaliannya dengan dataran Yunnan. Teori ini merupakan teori yang popular
yakni diterima umum,contohnya dalam buku Teks Pengajian Malaysia adapun
menyatakan ”nenek moyang” orang melayu itu berasal dari Yunnan.
Berdasarkan teori ini, dikatakan orang melayu datang dari Yunnan ke Kepulauan
Melayu menerusi tiga gelombang yang utama,iaitu orang Negrito,Melayu Proto,dan
juga Melayu Deutro.
Gelombang
pertama dikenali sebagai Melayu-Proto yang berlaku kira-kira 2500 tahun Sebelum
Masehi,Kira-kira dalam tahun 1500 tahun Sebelum Masehi, datang pula gelombang
kedua yang dikenali sebagai Melayu-Deutro. Mereka mendiami daerah-daerah yang
subur di pinggir pantai dan tanah lembah Asia Tenggara. Kehadiran mereka ini
menyebabkan orang-orang Melayu-Proto seperti orang-orang Jakun, Mahmeri, Jahut,
Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain berpindah ke kawasan
pedalaman. Justeru itu, Melayu-Deutro ini merupakan masyarakat Melayu yang ada
pada masa kini.
Orang
Neggrito merupakan penduduk paling awal di Kepulauan Melayu, dipercayai berasal
daripada golongan Austronesia di Yunnan. Mereka dikatakan berada di sini sejak
1000 SM berdasarkan penerokaan arkeologi di Gua Cha,Kelantan. Daripada orang
Negrito telah diperturunkan orang Semang yang mempunyai ciri-ciri fizikal
berkulit gelap,berambut kerinting, bermata bundar,berhidung lebar, berbibir
penuh, serta saiz badan yang pendek, keturunannya orang Asli di semenanjung Malaysia,
Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.
Menurut pendapat Asmah
Haji Omar, sebelum perpindahan penduduk dari Asia berlaku,kepuluan Melayu
(Nusantara) ini telah ada penghuninya yang kemudian di namai sebagai penduduk
asli. Ada ahli sejarah yang mengatakan bahawa mereka yang tinggal di
semenanjung Tanah Melayu ini dikenali sebagai orang Negrito.Orang Negrito ini
diperkirakan telah ada sejak tahun 8000 SM (sebelum masihi ), mereka tinggal di
dalam gua dan mata pencarian mereka memburu binatang. Alat perburuan mereka
diperbuat daripada batu dan zaman ini di sebut sebagai zaman Batu pertengahan. Di
kedah sebagai contoh,pada tahun 5000 SM,iaitu pada zaman paleolit dan mesolit,telah
didiami oleh orang Austronesia yang menurunkan orang Negerito,Sakai,Semai dan
sebagainya.
Asal
yang kedua ialah Melayu-Proto.Berdasarkan pendapat yang mengatakan bahawa orang
melayu ini berasal dari Asia Tengah, perpindahan tersebut (yang pertama)
diperkirakan pada tahun 2500 SM,mereka ini kemudian dinamai sebagai
Melayu-Proto, peradaban orang melayu-proto ini lebih maju sedikit daripada
orang Negrito. Orang Melayu-proto telah pandai membuat alat bercucuk
tanam,membuat barang pecah belah, dan alat perhiasan kehidupan mereka berpindah
randah. Zaman mereka ini dinamai Neolitik atau Zaman Batu Baru.Terdapat satu
lagi persamaan antara Melayu Proto dimana dikenali sebagai Melayu Negosiddek
dimana kebanyakan terdapat disebuah pulau yang di kenali sebagai Pinang,Melayu
Negosiddek ini mahir dalam bidang lautan tetapi tidak pandai berenang.
Kumpulan ketiga dikenali
sebagai Melayu Deutro. Perpindahan penduduk yang kedua dari Asia yang dikatakan
dari daerah Yunan diperkirakan berlaku pada tahun 1500 SM. Mereka dinamai
Melayu-Deutro dan telah mempunyai peradaban yang lebih maju daripada melayu
proto. Melayu-Deutro telah mengenal kebudayaan logam, mereka telah menggunakan
alat perburuan dan pertanian daripada besi.Zaman mereka ini dinamai Zaman
Logam,mereka hidup di tepi pantai dan menyebar hampir di seluruh kepulauan melayu
ini.Kedatangan orang melayu-Deutro ini dengan sendirinya telah mengakibatkan
perpindahan orang melayu-proto ke pendalaman sesuai dengan cara hidup mereka
yang berpindah randah.berlainan dengan melayu-proto,melayu deutro ini hidup
secara berkelompok dan tinggal menetap di sesuatu tempat.mereka yang tinggal
tepi pantai hidup sebagai nelayan dan sebahagian lagi mendirikan kampung
berhampiran sungai dan lembah yang subur.hidup mereka sebagai petani dan
memburu binatang.orang melayu deutro ini telah pandai bermasyarakat,mereka
biasanya memilih seorang ketua yang tugasnya sebagai ketua pemerintahan dan
sekaligus ketua agama,Agama yang mereka anuti itu ialah animisme.Keturunannya
orang Melayu di Malaysia dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu
Proto.Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.Bilangan lebih
banyak daripada Melayu Proto.Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia
Tenggara.Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia.
Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa
Austronesia ini.
ii. Bangsa Melayu berasal dari Nusantara
(Teori Nusantara)
Teori ini disoking oleh sarjana-sarjana seperti
J.Crawfurd,K.Himly, Sutan Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf.Teori ini
adalah disokong dengan alasan-alasan seperti di bawah.
1) Bangsa
Melayu dan Bangsa Kawa mempunyai tamadun yang tinggi
Pada abab ke 19,Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama.
Pekara ini menunjukan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana,tetapi berasa
dan berkembang di Nusantara.
2) K.Himly
tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu serumpun
dengan Bahasa Champa. BaginyaPersamaan yang berlaku di kedua-dua bahasa adalah
satu fenomena ” ambilan ”.
3) Manusia
Kuno Homo Soloinensis dan Homo Wajakensis terdapat di pulau jawa. Penemuan
manusia kuno ini di pulau jawa menunjukkan adanya kemungkinan orang melayu itu
keturunan daripada manusia kuno tersebut yakni berasal daripada jawa dan
mewujudkan tamadun bersendirian.
4) Bahasa di
Nusantara (Bahasa Austrinesia ) mempunyai perbezaan yang ketara dengan bahasa
di Asia Tengah (Bahasa Indo-Eropah ). Sejarah Asal Usul Bangsa Melayu Dalam
buku Sejarah Melayu disebut bahwa Melayu adalah nama sungai di Sumatera Selatan
yang mengalir disekitar bukit Si Guntang dekat Palembang. Si Guntang merupakan
tempat pemunculan pertama tiga orang raja yang datang ke alam Melayu. Mereka
adalah asal dari keturunan raja-raja Melayu di Palembang
(Singapura,MalakadanJohor),MinangkabaudanTanjungPura.
Sejarah Melayu (Malay
Annals) merupakan karya tulis yang paling penting dalam bahasa Melayu yang
merupakan sumber yang otentik untuk informasi mengenai ke-Melayu-an. Disusun
sekitar tahun 1612 tetapi didasarkan catatan-catatan yang lebih tua. Disebut
juga bahwa anggota kerajaan Malaka menyebut diri mereka keturunan Melayu dari
daerah Palembang. Seperti keluarga raja-raja di Negeri Sembilan yaitu: Yang
Dipertuan Ali Alamsyah yang dianggap keturunan langsung dari Raja Minangkabau
terakhir. Pada waktu itu sebutan Melayu merujuk pada keturunan sekelompok kecil
orang Sumatera pilihan. Seiring dengan berjalannya waktu definisi Melayu
berdasarkan ras ini mulai ditinggalkan.
Definisi Melayu menjadi
berdasarkan budaya dan adat, dimana orang Melayu adalah orang yang mempunyai
etika, tingkah laku dan adat Melayu. Pada waktu Islam mulai dianut didaerah
Sumatera dan Semenanjung Malaka, keyakinan dan ketaatan terhadap agama islam
menjadi salah satu ciri khas dari orang Melayu. Pada abad ke-18, William
Marsden menyebutkan bahawa dalam percakapan sehari-hari, penyebutan bangsa
Melayu adalah sama dengan sebutan bangsa Moor di India dalam artian ketaatannya
terhadap agama Islam.
Kesimpulannya asal usul
bangsa melayu ada tiga kumpulan iaitu orang Negrito,Melayu Proto dan Melayu
Deutro, manakala terdapat dua teori iaitu Bangsa Melayu Berasal daripada Yunnan
(Teori Yunnan) dan Bangsa Melayu Berasal daripada Nusantara (Teori Nusantara).
2.2 Justifikasi Asal Usul orang Melayu
Fantasi Yunnan masih menjadi pegangan mereka yang
bertuankan teori bahawa Melayu itu asalnya daripada Yunnan. Mengikut
perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu , Melayu ditakrifkan sebagai orang di
Tanah Melayu yang mengamalkan kebudayaan Melayu dan beragama Islam. Takrif ini
bukan sahaja kabur, tetapi juga menyempitkan makna Melayu yang asalnya bukan
sahaja merujuk kepada orang Melayu di Tanah Melayu, tetapi juga orang Melayu
serumpun di luar Tanah Melayu.
Orang yang serumpun dengan orang Melayu di tanah Melayu
dan berada di tanah, tetapi bukan Islam dengan serta-merta menjadi orang bukan
Melayu sehingga istilah Bumiputera diperkenalkan bagi merangkumi Melayu yang
tidak Islam, seperti orang asli. Perlembagaan ini diperluaskan kepada
Perlembagaan Malaysia apabila Sabah, Sarawak dan Singapura bercantum dengan
tanah Melayu menjadi Malaysia pada 1963, dengan mengusutkan lagi makna Melayu.
Mungkin ini yang menjadi punca kenapa suku kaum peribumi Sabah dan Sarawak
hilang asal-usulnya.
Apa yang ingin ditekankan di sini ialah benarkah Melayu
itu asalnya daripada Yunnan? Pendapat ini lahir kerana teori evolusi kononnya
orang tertua di dunia ialah ‘Orang Peking’. Daripada orang Peking inilah,
manusia mula berevolusi dari zaman ke zaman. Pandangan ini disangkal dan tidak
sahih apabila terbukti fosil ‘Orang Peking’ itu adalah palsu.
Dari segi bahasa juga terdapat perbezaan ketara antara
bahasa Melayu Purba dengan bahasa Yunnan sehingga teori ini tidak dapat
dipertahankan lagi. Bahasa Melayu tidak ada kesamaan langsung dengan bahasa
Yunnan tetapi lebih dekat dengan bahasa penduduk kepulauan Pasifik dan Peribumi
Sabah dan Sarawak. Malah ada yang mendakwa bahawa Bahasa Melayu dekat dengan
Bahasa Sanskrit, bahasa penduduk Aryan yang datang daripada Iran ke utara India
untuk menyebarkan agama Hindu.
Sekiranya diperhalusi dengan lebih dalam, Ibnu Attir
dengan beraninya mengangkat Melayu ini datangnya daripada keturunan Nabi
Ibrahim, daripada isterinya Keturah. Daripada keturunan Keturah ini juga
diketahui bahawa lahirnya bangsa pembina tamadun hebat seperti bangsa Median.
Cukuplah
kita hayati petikan daripada kitab Ibnu Attir itu sendiri:
“Adapun Bangsa Melayu berasal dari isteri ketiga Nabi
Ibrahim as yang bernama Siti Qanturah. Dari pernikahan ini dikurniakan 6 anak -
Zimran, Jokshan, Medan, Midian, Ishbak dan Shuah. Dari keturunan inilah
berkembang-biak Bani Jawi - Bani (Kaum/Kelompok) JiWi (Ji = satu ; Wi = Widhi
atau Tuhan). Jadi makna Bani Jawi (JiWi) adalah kaum yang meyakini adanya satu
Tuhan.”
(Ibnu
Athir al-Jazari, Kitab al-Kamil fi at-Tarikh)
Melayu
dan Austronesia
Berdasarkan
buku kajian Walace, seorang pakar Antropologi dan Sejarah dunia daripada
Universiti Oxford (1863), bukunya yang bertajuk The Malay Archipelago, beliau
mentakrifkan penduduk gugusan Kepulauan Melayu sebagai rantau Asia Tenggara
yang hampir-hampir berbentuk segi tiga, bermula di Pulau Nikobar di Timur Laut
ke Pulau Solomon di Tenggara, dan dari Luzon di Utara ke Rotti dekat pulau
Timor di Selatan. Kawasan yang luas itu dibahaginya kepada lima kumpulan:
Kepulauan Indo-Malaya, Kepulauan Timor, Kepulauan Maluku dan Kepulauan Papua.
Pada
tahun 1879, untuk pengetahuan semua, parlimen Haiwaii dengan bantuan Maharaja
Abu Bakar, Sultan Johor pada ketika itu telah mengusulkan satu usul yang
bertajuk, “Penyatuan Dunia Melayu.” King Kalākaua, seorang raja kerajaan Hawaii
yang bebas pada ketika itu, merupakan antara orang yang mencadangkan penyatuan
tersebut. Katanya. Bangsa Melayu yang meliputi daripada Kepulauan Pasifik
sehinggalah ke Kepulauan Melayu di Asia Tenggara haruslah bersatu membentuk
Pan-Malay Unity, dan kesatuan itu diharap mampu mengelak daripada penjajahan.
Tambah mengagumkan, ketika itu Maharaja Abu Bakar sempat menghadiahkan senaskah
Al-Quran kepada King Kalakua dan isterinya serta anak perempuannya, Queen Emma
dan Princess Pauahi. Penyatuan bangsa Melayu ini turut dikuatkan dengan
kebangkitan revolusi di Filipina yang diketuai oleh Jose Rizal. Ketika itu,
orang Filipina belum disepanyolkan oleh bangsa Sepanyol. Mereka masih mengenali
diri mereka sebagai Melayu. Jose Rizal diberi jolokan oleh orang Filipina
sebagai “PRIDE OF MALAY RACE” dan “The Great Malayan”. Jose Rizal pernah
menulis di dalam bukunya seharusnya bangsa Filipina di masukkan dalam kesatuan
Nusantara dan Bangsa Melayu yang ketika itu kuat bertiup di Tanah Melayu dan
Indonesia. Katanya, mereka bangsa Filipina adalah serumpun dan seharusnya
dimasukkan ke dalam kategori tersebut.. Kemudian munculnya Apolinario Mabini di
Manila mencadangkan “Federation Malaya.”
Melayu
sememangnya terkenal dengan pembinaan kerajaan-kerajaan agung mereka. Srivijaya
misalnya telah berjaya menyatukan seluruh alam Melayu ini daripada Madagascar
hingga ke selatan Taiwan berdasarkan catatan Nehru (1963) yang merupakan
seorang sejarahwan India.
Hanya
Majapahit yang diperintah oleh suku Jawa sahaja merupakan kerajaan Melayu yang
terasing daripada empayar Sriwijaya. Namun, jatuh sahaja empayar Sriwijaya,
Majaphit menuntut hampir 1/3 empayar Sriwijaya yang pernah terbentang luas.
Champa
dan Funan di Indochina misalnya merupakan kerajaan Melayu yang pernah menguasai
wilayah itu sebelum orang Viet, Khmer dan Thai yang merupakan pelarian daripada
selatan China datang dan menghambat mereka ini hingga ke tanah Melayu. Oleh
sebab itu, lahirlah teori bahawa orang Kelantan dan Jawa itu asalnya merupakan
pendiri Kerajaan Champa. Oleh sebab itu juga, orang Kelantan dan Jawa berkongsi
budaya Melayu yang sama seperti BATIK dan WAYANG KULIT.
Terdapat
juga kerajaan Melayu Purba lain yang tercatat dalam catatan China seperti
Langkasuka pada abad ke-2 Masehi, Pan Pan (utara Segenting Kera) pada abad ke-5
Masihi, Senggora (Tanah Merah, sekarang di Thailand Selatan) dan Zhu Bo (yang
terletak Pulau Jawa sekarang. Kesemua catatan di atas membuktikan bahawa
kerajaan orang Melayu sebenarnya telah lama bertapak di Tanah Melayu sejak
sekian lamanya.
Sebagai
kesimpulannya,boleh dikatakan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana tetapi
telah lama wujud di Tanah Melayu ini. Kajian daripada UKM misalnya menunjukkan
bahawa orang Melayu telah berada di Tanah Melayu ini sejak 40000 tahun lampau
dan bukannya berhijrah daripada China menurut sesetengah teori. Dikatakan
bahawa Melayu Kelantan dan Minang adalah keturunan Melayu yang paling asli.
3.0 HUBUNGKAIT TASAWUR
MASYARAKAT MELAYU BERDASARKAN 10
RANGKAP PANTUN BUDI Melayu
3.1 Pengenalan
Pantun boleh dikonsepsikan sebagai
satu pengucapan kemelayuan yang terkandung di dalamnya seluruh kebijaksanaan,
jiwa, seni, budi bahasa dan pandangan Melayu.
Menurut Dr Mohd Taib Osman, 1978 pantun juga termasuk dalam puisi Melayu
tradisional. Sebagai puisi ia merupakan
pernyataan melalui bahasa indah yang berperanan untuk berfalsafah terhadap
hidup manusia, menyatakan isi hati, mengutarakan nasihat atau sekadar
menyerikan majlis. Pantun dianggap
sesuatu yang konservatif kerana ia menggambarkan ketajaman keintelektualan dan
nilai-nilai masyarakat Melayu tradisi.
Sebagai salah satu bentuk puisi yang wujud dalam situasi kelisanan,
pantun memanifestasikan pemikiran, norma, dan puitika lisan. Kesinambungan pantun telah mendorong
masyarakat Melayu menelusuri pantun untuk menjadi wadah luahan rasa hati dalam
menyampaikan sesuatu mesej.
Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan,
"Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau
umpama." Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa
Minangkabau iaitu panuntun yang bermaksud pembimbing/penasihat yang berasaskan
sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam
masyarakat tersebut.Manakala menurut Dr. Ghazali Dunia “erti pantun asalnya
ialah umpama : sepantun maksudnya seumpama seperti dalam : sepantun ayam
kehilangan induk, kami sepantun balam, mata terlepas badan terkurung”. Kamus
Dewan pula menjelaskan pantun ialah sejenis puisi lama yang terdiri dari empat
baris dalam tiap-tiap rangkap.
Pantun mempunyai pelbagai variasi
seperti pantun budi, jenaka, dan nasihat. Dalam hal ini, saya hanya memfokuskan
kepada pantun budi. Persoalan yang
timbul adalah apakah yang dimaksudkan dengan budi dan mengapa masyarakat Melayu
menjadikan budi sebagai tradisi budayanya.
Pengertian budi kepada orang Melayu meliputi suatu ruang yang amat luas
bagi menyatakan unsur-unsur kebaikan dan kehalusan mengikut nilai-nilai yang
dipupuknya. Nilai budi lahir dari akal
pemikiran, hati dan perasaan yang mahukan sesuatu kebaikan dari seseorang. Manakala, budi dalam perkataan Sanskrit, bererti asas-hikmah, dan di dalam
ilmu kejawen, budi diibaratkan sebagai pelita atau obor, yang menyinari jalan
yang ditempuh oleh manusia (R. Paryana Suryadipura; 1993 : 176-177 ).
Masyarakat Melayu menganggap orang yang banyak
berbudi akan dikenang sampai mati. Budi
tidak hanya tertumpu pada budi pekerti sahaja malahan mencakupi budi bicara
atau bahasa dan hati budi atau akal budi.
Dalam pantun budi terkandung nasihat dan pengajaran kepada manusia agar
hidup berbudi dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam hidup.
3.2 Analisis Hubung kait Tasawur
Masyarakat Melayu Berdasarkan 10 Rangkap Pantun Budi Melayu
Apakah yang dimaksudkan dengan budi
dan mengapa budi begitu dijunjung tinggi dalam masyarakat Melayu. Manusia mempunyai perspektif yang tersendiri
dalam memperlihatkan nilai budi dalam hidup.
Budi mempunyai pengertian falsafah yang tersendiri iaitu kebaikan
manakala dari sudut epistemologi, budi disingkap daripada perkataan Sanskrit
yang bermaksud asas hikmah. Konsep budi
sebagai ‘alam jiwa’ terdapat dalam lingkungan budaya. Budi adalah alam jiwa dan daya adalah gerak
laku fizikal. Masyarakat Melayu tradisional menganggap konsep budi bukan
sekadar sebagai struktur dalaman bahkan juga dapat digunakan di dalam hubungan
social mereka. Menurut Zainal Kling (1995), beliau berpendapat bahawa manusia
Melayu melihat rupa berbentuk budi iaitu sifat peribadi yang mengandungi
pemikiran dan rasa.
Budi mengandungi rangkaian yang
bersiratan iaitu akal budi, hati budi, budi bicara, budi bahasa, dan budi
pekerti. Keseluruhan rumpun budi dapat
dikesan di dalam konteks kehadiran dan kewujudan manusia serta masyarakat dan
budaya. Gugusan budi meliputi hubungan
sosio-budaya dan spiritual. Manusia
berbudi kepada Tuhan, bangsa dan tanah air, alam, masyarakat,
keluarga dan diri sendiri. Manusia mengukur keperibadian seseorang berdasarkan
budinya sehinggakan mengenang orang yang berbudi sampai mati. Persoalan budi dibawa mati pada rangkap
pertama pantun Melayu Sastera Rakyat bukan sekadar membawa maksud budi bahasa
dan budi pekerti sahaja tetapi keseluruhan konsep budi yang berpaksikan
ketuhanan kerana budi merupakan pancaran dalaman(batiniah). Orang Melayu sering diingatkan agar melakukan
kebaikan sama ada menerusi amal ibadat, amal jariah, doa dan pembacaan talkin.
Dalam tradisi masyarakat Melayu,
budi dilihat sebagai sesuatu yang amat tinggi nilainya sehingga tidak mampu
ditandingi dengan kemewahan material semata-mata. Penerapan nilai budi untuk
melahirkan masyarakat Melayu yang berhati mulia, beradab, bijaksana dan tahu
membalas budi adalah satu aspek yang amat penting. Budi dan budiman merupakan teras humanisme,
moraliti dan etika Melayu yang bertunjangkan akidah yang mampu meletakkan
manusia ke darjat tertinggi. Manusia
yang berbudi akan menjaga segala adab dalam pertuturan dan percakapan. Seperi
yang dilihat dalam Pantun Mastika halaman 8-9 rangkap pertama iaitu yang baik
hanya budi, yang indah hanya bahasa. Di
sini budi bahasa ialah di antara aspek peribadi sesorang yang dinilai tinggi
oleh masyarakat. Kehalusan peribadi tersebut dapat di lihat dalam pertuturan
dan pemilihan kata-kata yang digunakan.
Orang yang berbudi bahasa akan menggunakan ganti nama yang sesuai
apabila berbicara dan bahasa yang diucapkan penuh dengan keindahan, benar dan
baik.
Yang
kurik hanya kundi,
Yang merah hanya saga;
Yang
baik itu budi,
Yang indah hanya bahasa.
(Mastika, halaman 8-9)
Selain itu, budi juga menjadi struktur yang menjadi
penghubung dan pembimbing kepada masyarakat, bangsa dan negara. Seperti yang dipaparkan dalam pantun budi
Kumpulan Pantun Melayu (1983) iaitu tegak bangsa kerana budi, runtuh budi
hilanglah bangsa. Menerusi baris pantun ini, budi ialah orientasi nilai yang
mengukuhkan setiap bangsa. Budi dan
bangsa sering dikaitkan bersama ibarat isi dengan kuku. Hal ini disebabkan
manusia menilai kekuatan sesuatu bangsa berdasarkan budi anggota
masyarakatnya. Tanpa orientasi nilai
ini, keseluruhan batas-batas kehidupan akan runtuh. Aspek kehidupan berbudi
begitu penting di dalam kehidupan seperti yang diungkapkan dalam
pantun ini dan jelas menunjukkan bahawa budi adalah antara aspek utama dalam
mewujudkan
interaksi serta hubungan sesama manusia di dalam masyarakat.
Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Tegak bangsa kerana budi,
Runtuh budi hilanglah bangsa.
(
Kumpulan Pantun Melayu, 1983)
Pantun budi Melayu dipetik daripada
Kumpulan Pantun Melayu memaparkan kepada kita bahawa di dalam kehidupan ini
manusia yang tidak mempunyai nilai budi bahasa atau budi pekerti yang tinggi
ibarat pokok yang tidak berbuah. Dalam
konteks ini berbudi dalam kehidupan umpama pokok kerana pokok yang berguna
adalah pokok yang berbuah. Manusia yang
berbudi akan disanjung tinggi oleh masyarakat sekelilingnya dan mereka yang tidak
berbudi dianggap sebagai satu penghinaan.
Hal ini disebabkan hidup berbudi sudah menjadi suatu yang fitrah atau semula jadi yang tidak dapat dielakkan dan perlu
dilaksanakan. R.O Winstedt menamakan ini
sebagai intelligent common sense dan
merupakan satu-satunya asas yang harus dimiliki oleh setiap orang. Perasaan kasih, cinta dan sayang akan terbit
daripada ketulusan hati manusia yang berbudi.
Di sini, keperibadian seseorang dapat diukur melalui kehalusan budi yang
dimiliki.
Cahaya redup menyegar pagi,
Ayam
berkokoh mengikut tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.
(Kumpulan Pantun Melayu, 1983)
Walaupun nilai budi tidak kelihatan
namun perkara yang nyata ialah budi tidak lagi ditempatkan pada tahap tertinggi
di dalam hierarki nilai orang Melayu pada masa kini. Apabila jasa dan tenaga
telah dijual
beli, konsep budi masyarakat Melayu turut mengalami banyak
perubahan. Status seseorang itu kini
dinilai dari segi harta, wang ringgit dan pangkat. Mereka yang berharta itulah dianggap tinggi
martabatnya dan budi pekerti akan ditolak ke tepi. Lambang perubahan itu ditunjukkan dalam baris
Pantun Melayu Sastera Rakyat halaman 13 iaitu sebab emas budi terbuang. Dalam konteks perbincangan ini, penjelasan
diberikan bahawa sungguhpun masyarakat Melayu mementingkan kolektisme dalam
kehidupan, namun terserlah jua bahawa materialisme begitu penting sehingga
mampu mengatasi nilai-nilai murni.
Walaupun harta itu perlu di dalam kehidupan, tetapi jika kesemua ini
diberikan perhatian yang lebih hingga mengabaikan budi juga boleh merosakkan
kehidupan manusia.
Bunga Cina di atas batu,
Jatuh daunnya ke dalam ruang;
Adat dunia memang begitu,
Sebab emas
budi terbuang.
(Pantun
Melayu Sastera Rakyat, halaman 13)
Persoalan
kebudian juga dinyatakan dalam pantun budi
dalam rangkap enam yang dipetik daripada Kumpulan Pantun
Melayu (1983). Peribadi yang terpancar
daripada gugusan budi tidak hanya menuntut manusia untuk berbudi dan berjasa
bahkan juga memiliki satu sifat merendah diri.
Sikap merendah diri dalam masyarakat Melayu haruslah menunjukkan
kehalusan peribadi yang telah diterapkan oleh adab dan adat. Persoalan jikalau
tidak bahasa dan budi, apa guna kaya berdaulat ini menyatakan mengenai orang
yang kaya dan berkuasa turut tidak terlepas daripada memiliki budi. Mereka yang
berkuasa juga perlu memiliki sikap merendah diri sesuai dengan kedudukan mereka
sebagai orang yang berkuasa dan kaya-raya.
Buah cempedak di hutan duri,
Jatuh
sebiji dimakan ulat;
Jikalau tidak bahasa dan budi,
Apa guna
kaya berdaulat.
(Kumpulan Pantun Melayu,1983)
Berbelok di
Tanjung Beringin,
Kemudi patah dilentar;
Elok orang hati tak ingin,
Budi bahasa haitiku hancur.
Rangkap pantun di atas
berkaitan dengan perasaan manusia atau hakikat manusia secara psikologi yang
meneliti perlakuan manusia secara eksistensialisme. Pandangan ini menekankan keperibadian sebenar
manusia dalam masyarakat. Pencernaan
peribadi manusia dapat dilihat dalam pertuturan pemilihan kata-kata yang
digunakan. Orang yang berbudi-bahasa
misalnya menggunakan gantinama yang sesuai apabila berbicara dengan
sesiapa. Bahasa yang diucapkan penuh
keindahan, bahasa tepat, baik, dan betul.
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Budi pekerti ialah
perlakuan atau tingkah laku seseorang, yang dinilai dari sudut baik dan buruk,
dan lazimnya perlakuan yang baik ialah yang tertib dan sopan. Orang yang berbudi boleh ditanggapi sebagai
orang yang berepistemologi. Perlakuan
yang baik boleh diperoleh melalui ilmu tentang insan, iaitu mengetahui dan
mengerti makna seorang insan tentang kedudukan dan tugasnya dalam masyarakat. Keindahan bahasa itu datangnya daripada akal
manusia yang mempunyai logos yang tinggi.
Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.
Hidup berbudi merupakan
suatu yang fitrah, semulajadi, satu hukum atau peraturan alam atau sunnatullah
yang perlu dilaksanakan. Tindakan ini
dinamakan budi-bicara, Winstedt juga menamakannya sebagai intelligent common sense.
Rangkap keempat pantun menerangkan bahawa manusia yang tidak berbudi
adalah sehina-hina manusia. Amalan ini
seharusnya dilaksanakan secara holistik supaya mahiyyah dalam alam semesta
terus kekal.
Kalau berladang menanam keladi,
Keladi dibawa ke tanah seberang;
Kalau dagang pandai berbudi,
Sampai mati dikenang orang.
Pantun ini menerangkan
bahawa hidup berbudi akan terus digunakan walaupun semasa merantau atau
berdagang di tempat orang, mulut juga harus sentiasa dijaga supaya diri akan
tetap dikenang sehingga mati. Mulut
sebagai salah satu pancaindera adalah begitu penting, yang hanya dapat
diperolehi secara imbasan atau impression yang terbentuk di dalam fikiran
secara sepintas lalu dan bersifat sementara.
Baju bercorak tiada benia,
Pakaian anak Panglima Garang;
Emas dan perak pengaruh dunia,
Budi yang baik dijunjung orang.
Pantun di atas
menerangkan tentang sifat manusia yang material. Dari rangkap ’emas dan perak pengaruh dunia’,
menjelaskan bahawa manusia melihat emas dan perak sebagai salah satu index materialisme, dan budi sebagai index non-materialisme. Material dan materialisme itu perlu ada
tetapi janganlah ia melalaikan kita.
Amalan ini seharusnya seimbang dan tidak berlebihan dalam diri untuk
melahirkan manusia yang sentiasa tawaddu’ dan kasyaf.
KESIMPULAN
Secara tuntasnya, pantun
budi yang dicipta oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu mempunyai keunikan
di mana ia mempunyai maksud yang tersirat untuk difahami di sebalik baik-baik
pantun yang terhasil. Pantun ini juga mengandungi nilai-nilai seperti
pengajaran, nasihat dan adab berbudi mengikut cara Melayu. Masyarakat Melayu tradisional menganggap
orang yang memiliki nilai etika dan moral yang tinggi akan digelar sebagai
orang yang budiman. Dalam erti kata ini, manusia yang budiman ialah manusia yang
sebenarnya yang tahu mengenali dirinya, tahu menjaga harga diri dan memiliki
kekuatan diri sehingga menjadi role model
yang selalu diidamkan. Sehingga kini,
pantun budi masih lagi digunakan untuk mengapresiasi mereka yang banyak berbudi
kepada masyarakat.