Jumaat, 31 Julai 2015

PEMBELAJARAN KOPERATIF

3.2 Pembelajaran koperatif

Pembelajaran koperatif merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan murid dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama (Slavin, 1982). Sasaran adalah tahap pembelajaran yang maksimum bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk rakan-rakan yang lain. Melalui pembelajaran koperatif yang diterapkan kepada murid-murid dalam mata pelajaran sejarah membolehkan pembelajaran menjadi lebih seronok untuk diikuti. Lima unsur asas dalam pembelajaran koperatif adalah:
  1. saling bergantung antara satu sama lain secara positif,
  2. saling berinteraksi secara bersemuka,
  3. akauntabiliti individu atas pembelajaran diri sendiri,
  4. kemahiran koperatif, dan
  5. pemprosesan kumpulan

Ganjaran diberi kepada individu dan kumpulan dalam pelaksanaan kaedah ini. Individu dalam kumpulan dikehendaki menunjukkan kefahaman masing-masing dan memainkan peranan berbeza bergilir-gilir. Kemahiran sosial dan pemprosesan kumpulan digalakkan.
Beberapa cara pembelajaran koperatif telah diperkembangkan oleh tokoh-tokoh pendidikan, misalnya Jigsaw, TGT (teams-games-tournaments), STAD (Students Teams- Achievement Division), Belajar Bersama (Learning together), Permainan Panggil Nombor (Numbered Heads), dan Meja Bulat (Round Table).
Pengajaran sebaya memainkan peranan yang sangat penting menurut cara Jigsaw. Dalam cara ini, pembahagian tugas diagihkan di kalangan murid dalam kumpulan pelbagai kebolehan. Bahan pembelajaran dipecahkan kepada topik-topik kecil. Setiap murid diagihkan tugas untuk mempelajari satu topik kecil. Setelah menguasai topik kecil sendiri, murid akan mengajar rakan-rakan lain dalam kumpulannya sehingga semua ahli kumpulan menguasai semua topik kecil itu. Selepas itu satu aktiviti dijalankan untuk menguji sama semua ahli kumpulan berjaya memahami dan menyempurnakan tugasan yang diberi. Jigsaw merupakan cara pengajaran berpusatkan murid. Kemungkinan besar bahan baru dapat dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada dan membantu penstrukturan semula idea.
Pembelajaran koperatif menggalakkan murid berinteraksi secara aktif dan positif dalam kumpulan.Ini membolehkan perkongsian idea dan pemeriksaan idea sendiri dalam suasana yang tidak terancam, sesuai dengan falsafah konstruktivisme.

3.3 Prinsip-prinsip Pembelajaran Koperatif

Berikut dijelaskan prinsip-prinsip asas pembelajaran koperatif. Model yang diutarakan oleh Johnson & Johnson (PIGS) serta Kagan (PIES) mempunyai persamaan yang nyata.

Johnson & Johnson
Kagan
Positif Interdependence
Positif Interdependence
Individual Accountability
Individual Accountability
Group Interaction
Equal Participation
Social Skills
Simultaneous Interaction

3.3.1.  Positive Interdependence (Saling Kebergantungan Secara Positif)

Mengikut model Stephen Covey tentang perubahan peribadi, (Seven Habits of Highly Effective People) pelajar seharusnya beranjak dari sifat bergantung kepada sifat berdikari dan seterusnya ke tahap saling kebergantungan. Saling kebergantungan wujud apabila pelajar menganggap bahawa ia memerlukan usaha orang lain untuk menyelesaikan sesuatu tugasan. Walaupun seseorang pelajar berdikari tetapi tahap kecemerlangan yang lebih tinggi cuma boleh dicapai melalui usaha, input dan sinergi orang lain. Sebagai contoh di dalam aktiviti menyediakan buku scrap dalam mata pelajaran sejarah tahun empat seperti tajuk lima dalam buku teks sejarah tahun empat iaitu Tokoh Terbilang. Murid-murid bekerjasama mencari bahang untuk menghasilkan bahan buku scrap tersebut.

3.3.2 Individual Accountability (Akauntabiliti Individu)

Walaupun setiap pelajar dikehendaki bekerjasama dalam sesuatu tugasan, ia adalah bertanggungjawab atas pencapaiannya sendiri. Penilaian boleh dibuat secara individu.

3.3.3 Group Interaction (Interaksi Kumpulan)

Pelajar-pelajar memajukan pembelajaran pelajar lain dengan membantu, mengongsi dan menggalakkan usaha pembelajaran. Interaksi kumpulan termasuk tindakan pelajar untuk menerangkan, membincang dan mengajar apa yang diketahui kepada orang lain. Murid dapat berbincang satu sama lain , sebagai contoh di dalam tajuk 1 unit 3 iaitu Sekolah Kebanggaan Saya. Mereka saling bekerjasama dan memberi penerangan mengenai sekolah mereka.

3.3.4 Social Skills (Kemahiran Sosial)

Agar pembelajaran koperatif berkesan, guru mesti mengajar kemahiran sosial kepada pelajar. Kemahiran-kemahiran tersebut merangkumi kepimpinan, membuat keputusan, membina kepercayaan, komunikasi dan pengurusan konflik.

3.4  Jenis pembelajaran koperatif
Terdapat beberapa jenis strategi yang boleh digunakan dalam pembelajaran koperatif untuk menjadikan pembelajaran sejarah dalam kalangan murid yang menyeronokkan. Di antaranya ialah :

3.4.1  Penyiasatan Berkelompok (Group Investigation)

Setiap ahli kumpulan akan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sekolah untuk mendapatkan maklumat. Ini memerlukan pelajar mengenal pasti suatu topik yang disiasat, merancang serta menjalankan penyiasatan. Semua maklumat yang telah diperolehi akan dianalisis dengan cara terperinci untuk dipersembahkan dalam bentuk yang kreatif dan menarik. Strategi pembelajaran ini mengintegrasikan interaksi dan komunikasi dalam bilik darjah melalui proses inkuiri akademik. Contoh tajuk yang sesuai boleh digunakan dalam strategi ini ialah Zaman Air Batu dan Zaman Prasejarah iaitu tajuk 2 dan tajuk 3 dalam sejarah tahun Empat.

3.4.2  Student Team Achievement Division' (STAD)

Pelajar-pelajar berada dalam kumpulan kecil dan menggunakan lembaran kerja untuk menguasai suatu cabang pengetahuan. Mereka saling membantu di antara satu sama lain melalui tutorial, kuiz atau perbincangan kumpulan.

3.4.3  Jigsaw

Setiap kumpulan akan menghantar ahli untuk membentuk kumpulan pakar. Ahli-ahli dalam kumpulan pakar akan membincangkan sebahagian bahan akademik (yang telah disediakan oleh guru). Selepas itu, semua ahli kumpulan pakar tadi akan kembali ke kumpulan asal masing-masing untuk berkongsi pengetahuan mereka dengan rakan sekumpulan. Motif utama dalam Jigsaw ialah setiap pelajar dalam satu kumpulan akan menjadi pakar dalam topik tertentu dan bertanggungjawab memberi tunjuk ajar kepada rakan sekumpulan tentang apa yang telah mereka pelajari.

3.4.4  Team-Accelerated Instruction' (TAI)

Ia merupakan pendekatan secara menyeluruh di mana pelajar mempunyai kebebasan bertindak dan guru boleh membentuk kelas heterogeni. Pelajar yang mempunyai latar belakang yang berbeza ditentukan kepada kumpulan yang heterogeneous. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar yang rendah pencapaian supaya dapat meningkatkan tahap pencapaiannya seiring dengan pelajar lain yang mempunyai pencapaian tinggi. Bahan-bahan TAI direka khas untuk program ini yang menggantikan buku teks sepenuhnya.

3.4.5 Team Games Tournament' (TGT)

Model TGT memfokuskan kepada guru perlu memberitahu pelajaran yang berkaitan sama ada dalam bentuk syarahan, demonstrasi atau pertunjukan visual. Pelajar berbincang mengenai bahan yang disampaikan oleh guru. Kemudian pelajar akan bekerja mengikut lembaran kerja yang disampaikan oleh guru untuk menguasai konsep. Pelajar akan bermain suatu permainan berbentuk pertandingan di dalam bilik darjah. Bagi setiap pertandingan, meja pertandingan akan diwakili oleh 2 hingga 4 orang ahli dari setiap pasukan yang sama kebolehan akademik.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK)

  BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK) Sosiolinguistik mengkaji hubungan bahasa dan masyarakat, yang nengaitkan dua bidang yan...

klik