Isnin, 21 Jun 2021

HAK-HAK ORANG BUKAN ISLAM DARI ASPEK POLITIK DALAM NEGARA ISLAM

 

Hak Mendapat Perlindungan

Hak yang pertama ialah hak untuk menikmati perlindungan keselamatan oleh negara Islam dan masyarakat Islam dari serangan musuh sama ada dari luar dan kezaliman dari dalam negara bagi menjamin keselesaan dan kestabilan hidup.

i. Perlindungan Ancaman Luar

Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah Islam memberi perlindungan keselamatan kepada orang-orang dzimmi seperti mana yang diperolehi oleh orang-orang Islam memandangkan pemerintah memiliki kuasa perundangan dan kekuatan tentera yang membolehkan perlindungan tersebut diberikan kepada mereka selama mana mereka berada dalam negara walaupun terpencil dalam sebuah kampung.

Memandangkan mereka tertakluk kepada undang-undang Islam dan akad dzimmah mereka adalah bersifat kekal dan justeru itu, mereka berhak mendapat perlindungan tersebut seperti yang diperoleh oleh orang-orang Islam.

Ii. Pembelaan Dari Kezaliman Dalam Negara

Pembelaan dari kezaliman ke atas mereka dari dalam negara adalah merupakan satu perkara yang sangat dituntut oleh Islam. Orang-orang Islam diberi amaran supaya tidak menyakiti orang-orang dzimmi dengan tangan atau perkataan mereka. Allah tidak suka kepada orang zalim dan tidak memberi petunjuk kepada mereka malah sebaliknya disegerakan balasan azab di dunia dan dilipatgandakan balasan di akhirat.

Terdapat banyak ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis yang mengharamkan kezaliman dan menjelaskan kesan buruk di dunia dan di akhirat. Terdapat hadis yang khusus melarang menzalimi orang-orang bukan Islam dari kalangan ahli dzimmah. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Barangsiapa menzalimi orang-orang dzimmi atau mengurangkan haknya atau membebankannya di luar kemampuannya atau mengambil sesuatu tanpa relanya maka aku akan berhajat dengannya pada hari kiamat.” Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang menyakiti orang-orang dzimmi beerti dia menyakitiku dan sesiapa menyakitiku dia adalah menyakiti Allah.”

Oleh kerana itu uamt Islam sejak zaman khalifah ar-Rasyidin terlalu mengambil berat melindungi orang-orang dzimmi dari sebarang kezaliman dan penderaan serta memberi perhatian terhadap segala pengaduan yang diterima daripada mereka.

Saidina Umar Al-Khattab sentiasa bertanya khabar keadaan orang-orang dzimmi kepada rombongan yang datang berjumpanya dari daerah-daerah dan wilayah-wilayah negara kerana bimbang takut ada dari kalangan orang Islam yang melakukan sesuatu yang menyakiti orang dzimmi.

Mereka berkata kepadanya “kami tidak tahu selain setia”. Yakni masing-masing pihak orang Islam dan dzimmi melaksanakan perjanjian mereka.

Saidina Ali bin Abi Thalib berkata: “Mereka berbayar jizyah supaya harta mereka seperti harta kita dan darah mereka seperti darah kita.”

Para fuqaha’ Islam dari perbagai mazhab menegaskan bahawa wajib ke atas umat Islam memelihara orang-orang dzimmi dan melindungi mereka dari sebarang kezaliman kerana dengan termetrainya akad dzimmah, mereka bertanggungjawab membela orang dzimmi daripad kezaliman kerana mereka telah menjadi warganegara Islam. Malah sebahagian ulama’ menegaskan bahawa menzalimi orang-orang dzimmi lebih besar dosanya daripada menzalimi orang-orang Islam sendiri.

Iii.  Perlindungan Kehormatan Darah Dan Tubuh Badan

Perlindungan keselamatan yang ditetapkan oleh orang-orang dzimmi termasuklah pemeliharaan kehormatan darah dan jiwa raga serta harta benda dan maruah mereka. Oleh kerana itu membunuh mereka adalah haram mengikut ijma’ umat Islam. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa membunuh seorang dzimmi dia tidak akan berbau syurga walaupun baunya didapati dari permulaan jarak 40 tahun perjalanan.”

Para fuqaha’ yang terdiri dari As-sya’bi, An-Nakh’I, Ibn Abi Laili, Uthman al-Butti, Abu Hanifah dan sahabatnya berpendapat bahawa seorang muslim dihukum bunuh kerana membunuh seorang dzimmi berpandukan nas yang umum dari Al-Quran dan As-Sunnah yang mewajibkan hukum qisas ke atas seorang muslim yang membunuh orang dzimmi kerana kedua-duanya mempunyai persamaan status kehormatan darah secara kekal.

Diriwayatkan bahawa telah dihadapkan kepada Saidina Ali seorang lelaki Islam kerana membunuh seorang dzimmi dengan mengemukakan bukti ke atasnya, lalu Saidina Ali memerintahkan lelaki itu dihukum bunuh. Kemudian saudara si mati tampil dengan berkata: “Sesungguhnya saya telah memaafkan dia”. Saidina Ali berkata: “Barangkali mereka ugut kamu atau pisahkan kamu?” Orang itu menjawab: “Tidak, tetapi dengan membunuh si pembunuh ini tidak akam mengembalikan saudara saya. Lagipun mereka telah membayar ganti rugi dan saya bersetuju”. Kata Saidina Ali: “Kamu lebih mengerti”. Selanjutnya beliau berkata: “Sesiapa yang terlibat dalam akad dzimmah dengan kami maka darahnya sama dengan darah kami dan diyatnya (pampasan untuk waris si mati yang dibunuh) sama dengan diyat kami”.

Para ulama’ berkata seorang Islam yang mencuri harta orang dzimmi dihukum potong tangan sedangkan harta lebih rendah martabatnya berbanding dengan nyawa. Apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw yang bermaksud: “Seorang Islam tidak boleh dibunuh kerana membunuh seorang kafir”. Kafir yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah kafir harbi. Justeru itu tidak ada pertentangan maksud dari nas tersebut. Pendapat inilah yang diguna pakai sepanjang khalifah uthmaniah di seluruh wilayahnya sehingga jatuhnya khalifah tersebut.

Sebagaimana Islam memelihara keselamatan nyawa orang dzimmi daripada dibunuh, demikian juga ia memelihara tubuh badan mereka daripada dipukul atau didera sekalipun mereka lambat atau enggan menunaikan tanggungjawab mereka membayar jizyah atau kharaj, sedangkan tindakan keras dikenakan ke atas orang Islam yang enggan menunai zakat.

iv. Pemeliharaan Harta Benda

Hak orang-orang dzimmi untuk mendapat perlindungan undang-undang bagi memelihara keselamatan harta benda mereka dari pemerintahan Islam adalah diakui oleh umat Islam dari semua mazhab dan semua negeri di sepanjang zaman. Abu Yusuf meriwayatkan dalam bukunya “Al-Kharaj” mengenai kaum Najran zaman Nabi saw: Bagi Najran dan persisiran adalah pemeliharaan Allah dan tanggungjawab Nabi Muhammad saw terhadap harta benda mereka, agama mereka, tempat ibadah mereka serta segala apa yang dimiliki mereka sama ada banyak atau sedikit”.

Saidina Umar Al-Khattab pernah berpesan kepada Abu Ubaidah Al-Jarrah, katanya, “Halang orang Islam daripada mengkhianati mereka (orang dzimmi) dan menyusahkan mereka serta memakan harta mereka kecuali secara halal.”

Islam menjaga harta benda orang dzimmi sampai ke peringkat menganggap ada nilai pada barang yang dianggap bernilai pada orang dzimmi menurut agama mereka, walaupun barang itu tidak di anggap bernilai pada orang-orang Islam.

Arak dan babi tidak dianggap bernilai pada pandangan orang-orang Islam. Oleh yang demikian sesiapa yang memusnahkan arak dan babi yang dimiliki oleh orang-orang Islam, tidak dikenakan apa-apa tindakan kepada pemusnah malah diberi ganjaran baik kerana tidak layak bagi orang-orang Islam memiliki kedua-duanya itu.

Adapun arak dan babi sekiranya dimiliki oleh orang bukan Islam kedua-duanya dianggap harta bernilai disisinya. Sesiapa yang memusnahkan kedua-dua benda tersebut yang dimiliki oleh orang-orang dzimmi dikenakan ganti rugi hartanya.

Pemeliharaan Kehormat Diri

Islam menuntut umatnya memelihara kehormatan diri dan maruah orang-orang dzimmi seperti mana menjaga kehormatan diri orang Islam sendiri. Tidak harus seseorang dzimmi dimaki hamun, diumpat atau dihina atau dikatakan sesuatu yang tidak disukainya mengenai diri atau keturunannya.

Syihabbuddin al-Qarafi dalam kitabnya “al-Furuq” berkata: “Akad dzimmah mewajibkan kita memberikan mereka (orang dzimmi) hak-hak mereka kerana mereka berada dalam perlindungan kita dan tanggungan kita serta tanggungan Allah dan RasulNya serta tanggungan Islam.

Barangsiapa menyakiti mereka walaupun dengan perkataan yang kesat atau umpatan maka adalah dikira mengkhianati janji Allah dan Rasullullah s.a.w dan agama Islam”. Dalam kitab “Dar al-Mukhtar” dari mazhab Hanafi ada disebutkan: “Wajib dielakkan perbuatan menyakiti orang-orang dzimmi dan diharamkan mengumpatnya sepertimana umpatan terhadap orang-orang Islam”.  Ibn Abidin mengulas dengan berkata bahawa dengan termetrainya akad dzimmah maka sabit baginya (orang dzimmi) apa yang sabit bagi kita.

Sekiranya haram mengumpat seorang muslim demikianlah pula haram mengumpatnya, malah ulama’ berkata menzalimi orang dzimmi itu lebih besar dosanya.

Kebebasan Beragama

Di antara hak-hak yang dijamin oleh Islam kepada warganegara yang bukan Islam ialah hak untuk mendapat kebebasan terutamanya kebebasan akidah atau untuk menganut agama masing-masing dan tidak ada paksaan menukar dari satu pegangan agama kepada agama yang lain, Islam tidak membenarkan paksaan dibuat ke atas orang bukan Islam supaya memeluk Islam.

Asas kepada hak ini ialah Firman Allah di dalam kitab suci Al-Quran yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam memeluk agama Islam kerana sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah”. Firman Allah lagi yang bermaksud: “Apakah engkau wahai Muhammad memaksa manusia supaya beriman”.

Oleh kerana itu sejarah tidak pernah menyaksikan bangsa atau masyarakat Islam pernah memaksa orang dzimmi menganut agama Islam seperti mana diakui oleh sarjana-sarjana barat sendiri. Sebagaimana Islam memberi kebebasan kepada orang-orang bukan Islam memilih atau menganut agama, Islam juga menghormati rumah-rumah ibadat mereka (orang bukan Islam) malah Islam membenarkan perang untuk melindungi kebebasan beribadat sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka iaitu orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alas an-alasan yang benar kecuali kerena mereka berkata “Tuhan kami adalah Allah”, dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahaian yang lain tentulah dirobohkan biara-biara Nasrani, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agamanya), sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”. Dari keterangan ayat suci al-Quran tersebut jelas Islam mengakui kebebasan agama kepada orang bukan Islam serta menghormati rumah-rumah ibadat mereka.

Maka apa yang dituntut oleh orang Islam kepada orang bukan Islam ialah supaya menjaga perasaan orang Islam supaya jangan menonjolkan lambang-lambang agama mereka di pusat-pusat Bandar orang Islam danjangan menwujudkan gereja-gereja di Bandar-bandar Islam yang sebelumnya tidak pernah wujud.

Tindakan itu boleh menimbulkan cabaran keapda orang Islam seterusnya menimbulkan ketegangan dan fitnah.

Kebebasan Bekerja

Para fuqaha’ menegaskan bahawa orang bukan Islam diberi kebebasan bekerja dalam apa pun bidang yang dipilih oleh mereka. Mereka berhak menjalankan aktiviti berjual beli, menguruskan berbagai-bagai perniagaan dan mengamalkan kewangan tanpa sebarang sekatan dan mereka tidak dikecualikan daripada larangan muamalat yang mengandungi riba seperti mana yang dilarang ke atas orang-orang Islam.

Demikian juga orang bukan Islam (dzimmi) dilarang menjual arak dan babi di bandar-bandar orang Islam secara terbuka walaupun untuk kepentingan mereka sendiri demi untuk mengelak fitnah.

 

 

 

 

Memegang Jawatan Kerajaan

Orang dzimmi berhak memegang jawatan-jawatan dalam negara Islam sama seperti orang-orang Islam sendiri kecuali beberapa jawatan yang mempunyai ciri-ciri keagamaan seperti ketua negara, ketua tentera, kehakiman untuk orang-orang Islam, agensi-agensi zakat dan lain-lain.

Dalam bidang kepimpinan negara ianya merupakan lanjutan dari kepimpinan Nabi s.a.w., maka tidak harus diamanahkan kepada orang bukan Islam kerana tidak munasabah orang bukan Islam akan melaksanakan hukum-hukum Islam dan memeliharanya seperti yang dilakukan oleh orang Islam yang beriman.

Kepimpinan tentera pula bukan bersifat keduniaan semata-mata malah ianya juga termasuk dalam ibadah mengikut Islam kerana jihad adalah merupakan kemuncak ibadah dalam Islam.

Demikianlah kehakiman Islam bertujuan untuk melaksanakan hukum-hukum Islam dan tidak dituntut kepada orang bukan Islam untuk menghukum dengan perkara yang tidak diimani oleh orang-orang bukan Islam. Begitu juga urusan harta zakat dan sebagainya yang bersangkutan jawatan-jawatan keagamaan.

Selain dari bidang-bidang tersebut haruslah bagi negara Islam memberi ruang kepada orang-orang dzimmi sekiranya mamatuhi syarat, kelayakan serta jujur kepada negara. Sebaliknya tidak harus diberi peluang kepada mereka yang memendam rasa benci dan hasad kepada orang Islam seperti meraka yang disebut oleh Allah dalam kitab suci Al-Quran maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang diluar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-henti menimbulkan kemudaratan bagimu, mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi sungguh telah kami terangkan kepadamu jika kamu memahaminya”.

 

Mematuhi Undang-Undang Islam

Sebagai warganegara, orang dzimmi bertanggungjawab mematuhi undang-undang Islam yang dilaksanakan ke atas orang-orang Islam selama mana undang-undang itu tidak menuntut akidah dan kebebasan beragama. Undang-undang Islam tidak dikuatkuasakan ke atas mereka di dalam perkara-perkara ta’abudiyyah, seperti zakat yang merupakan cukai dan ibadah ke atas orang-orang Islam.

Di dalam bidang undang-undang keluarga dan kemasyarakatan mereka tidak dituntut untuk berkorban mengharamkan benda yang diharamkan oleh Islam ke atas orang Islam sedangkan benda itu halal dalam agama mereka seperti nikah cerai, memakan babi, minum arak dan sebagainya.

Orang Majusi mengharuskan berkahwin dengan mahramnya, orang Yahudi mengharuskan berkahwin dengan anak saudaranya dan orang Nasrani mengharuskan memakan babi dan minum arak. Islam tidak campur tangan dalam perkara-perkara tersebut. Sekiranya mereka meminta pengadilan Islam dengan rela hati mereka, maka perlulah diikuti apa yang ditunjuk oleh syariat Islam.

 

Memelihara Perasaan Orang-Orang Islam

Tanggungjawab orang dzimmi seterusnya ialah menjaga perasaan orang Islam dan kehebatan negara Islam yang melindungi dan memelihara mereka. Tidak harus mereka mencela Islam, Rasul serta kitab suci secara terang-terangan. Mereka tidak dibolehkan meminum arak dan memakan babi secara berleluasa. Setiap apa yang dipandang mungkar pada orang Islam walaupun ianya harus pada pandangan agama mereka maka tidak harus dikerjakan secara terbuka dan mencabar orang Islam bagi mempastikan masyarakat hidup dalam aman dan tenteram.

 

 

Hak-Hak Umum Bagi Warga Asing Dalam Negara Islam

Warganegara asing diberi hak-hak seperti berikut:

Pertama: Hak untuk memasuki negara Islam

Negara Islam bukanlah sebuah negara menutup pintu bagi kemasukan warga asing malah sebaliknya membuka pintu untuk menerima kemasukan warga asing terutama bagi mencapai maslahah Islam dan umat Islam.

Sebagaimana yang telah disebutkan bahawa negara Islam ditegakkan di atas dasar Islam dan memperjuangkan pemikiran sehingga menjadi kenyataan. Oleh kerana itu tidak hairanlah ianya membuka pintu seluruhnya untuk menerima warga asing supaya mereka dapat melihat keindahan Islam dan keadilannya melalui pergaulan mereka dengan orang Islam dan seterusnya mendorong mereka untuk memeluk Islam. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Jika Allah memberi petunjuk kepada seseorang melalui kamu adalah lebih baik bagi kamu dari dunia dan isi di dalamnya”.

Walaubagaimanapun kewajipan negara Islam menerima warganegara asing bergantung kepada dua keadaan iaitu sekiranya permohonan warga asing untuk masuk ke negara serta mendapat perlindungan keamanan kerana mereka ingin mengetahui keelokan Islam kemudian mereka akan pulang ke negara mereka, maka wajib bagi negara Islam menerima mereka. Berdasarkan firman Allah yang maksudnya:

“Sekiranya seseorang musyrik meminta perlindunganmu untuk mendengar perkataan Allah (Al-Quran) berilah perlindungan kepadanya setelah itu pulangkanlah dia ke tempat asalnya”.

Ini adalah kerana pendatang asing itu berada dalam jaminan keselamatan kita selama mana ia tidak pulang ke negara asalnya.

Kedua : Kebebasan akidah, kebebasan berkumpul dan pendapat dan kehormatan tempat tinggal.

Warga asing diberi kebebasan menganuti akidah mereka serta kebebasan untuk berkumpul dan kebebasan pendapat serta kehormatan tempat tinggal. Dalam perkara ini mereka mendapat hak yang sama seperti yang dinikmati oleh orang-orang dzimmi walaupun mereka bukan warganegara Islam. Adapun hak-hak khusus mereka dibenarkan menikmatinya seperti yang diberikan kepada orang dzimmi.

Tanggungjawab Warga Asing Terhadap Negara Islam

Tanggungjawab yang dikenakan oleh negara Islam terhadap warga negara asing yang tinggal dalam negara Islam secara umumnya adalah sama seperti yang dikenakan ke atas orang dzimmi dengan beberapa pengecualian di dalam beberapa perkara tertentu memandangkan mereka bukan warga negara Islam seperti orang-orang dzimmi.

Antara tanggungjawab yang dikenakan ke atas pendatang asing ialah cukai perniagaan. Jika pendatang asing membawa masuk barang perniagaan maka dituntut membayar cukai ke atas barangan tersebut kerana barangan tersebut mendapat perlindungan keselamatan selama berada dalam negara Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK)

  BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK) Sosiolinguistik mengkaji hubungan bahasa dan masyarakat, yang nengaitkan dua bidang yan...

klik