Isnin, 21 Jun 2021

KEMAHIRAN MEMBACA

 

PENGENALAN KEMAHIRAN MEMBACA

 

Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca adalah lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi menerusi pengalaman-pengalaman biasa yang lain. Membaca dapat membantu memperluaskan pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif seseorang individu dalam pelbagai bidang. Membaca ialah proses kebalikan daripada proses menulis. Proses membaca memerlukan seseorang itu menterjemahkan kembali lambang-lambang bertulis kepada lambang-lambang bunyi yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Membaca berbeza daripada mendengar kerana ia melibatkan kedua-dua aktiviti verbal dan literasi secara serentak. Apabila kita membaca kita akan menghuraikan bahan bercetak kepada pertuturan dan pada masa yang sama kita akan menghuraikan pertuturan itu kepada pemikiran. Kebolehan membaca sangat penting dan ia merupakan satu ukuran kejayaan pelajar-pelajar di sekolah. Ini kerana kebolehan membaca dianggap sebagai asas bagi mencapai semua kejayaan dalam semua bidang, terutama dalam bidang pendidikan. Kemahiran membaca ditekankan pada peringkat awal lagi bersama kemahiran lain seperti mengira dan menulis. Kebolehan membaca bukan sahaja dianggap sebagai asas utama bagi mencapai kejayaan dalam bidang ekonomi dan sosial, malah sistem persekolahan itu sendiri menganggapnya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

 

Kegagalan menguasai kemahiran asas membaca ini merupakan sesuatu yang amat merugikan bagi seseorang murid bukan saja pada masa persekolahan bahkan pada masa kehidupan dewasa murid-murid berkenaan. Menurut Isahak Harun (2004) terdapat dua mazhab besar tentang cara kanak-kanak mula membaca; Beliau mendefinisikan bacaan sebagai tentang bagaimana kanak-kanak mengenal dan mentafsir simbol-simbol tulisan dan memberi makna kepadanya. Mazhab pertama merujuk kepada perspektif linguistik yang berasaskan kepada anggapan bahawa bahasa terdiri daripada ‘bunyi’ dan adunan bunyi yang menjadikan perkataan.

Mazhab ini mengajar kanak-kanak membaca bermula dengan menghafal simbol-simbol yang mewakili bunyi asas ini (fonem), iaitu huruf abjad dan bunyi-bunyi huruf tersebut. Kaedah ini juga dikenali sebagai pendekatan fonik. Di Malaysia kaedah ini sinonim dengan kaedah abjad iaitu kaedah mengenal nama-nama huruf yang digunakan dalam tulisan bahasa Melayu. Kaedah ini menegaskan hafalan-hafalan yang agak kurang bermakna bagi kanak-kanak. Mazhab kedua berasaskan kepada teori psikologi kognitif yang beranggapan bahawa kanak-kanak belajar bahasa melalui ‘perkataan-perkataan’ dan ayat yang bermakna kepadanya. Murid-murid membaca bermula dengan melihat seluruh perkataan dan ayat yang bermakna.Kaedah ini dikenali sebagai kaedah seluruh perkataan (whole word) atau kaedah pandang dan sebut. Variasi lanjutan daripada kaedah ini adalah kaedah frasa, kaedah ayat dan kaedah cerita (Isahak Harun, 1989).

Ada banyak huraian berkaitan takrif membaca. Membaca dimaksudkan sebagai proses memperoleh tafsiran yang bermakna ke atas lambang-lambang bercetak dan bertulis (Harris dan Sipay, 1980). Proses membaca juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang itu mengecam bentuk visual dan menghubungkan bentuk itu dengan bunyi ataupun makna yang diketahui melalui pengalaman dan akhirnya berupaya mentafsirkan maksudnya. Bagi Smith dan Johnson (1980) pula, membaca berteraskan keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis denga tanggapan yang dibuat oleh pembaca. Di samping itu, Goodman (1973) pula menyatakan membaca adalah proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang dilakukan. Ini menunjukkan melalui proses itu wujud interaksi antara bahasa dengan pemikiran kerana hubungan hubungan antara bahasa dengan pemikiran sememangnya berlaku dalam dimensi yang lebih luas. Kita menggunakan bahasa bagi melahirkan pemikiran yang wujud dalam minda.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK)

  BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK) Sosiolinguistik mengkaji hubungan bahasa dan masyarakat, yang nengaitkan dua bidang yan...

klik