Isnin, 21 Jun 2021

Perkembangan Kurikulum Pendidikan Seni Visual (PSV) di Malaysia

 

 Perkembangan Kurikulum Pendidikan Seni Visual (PSV) di Malaysia

Perkembangan kurikulum Pendidikan Seni Visual  (PSV) boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu sebelum merdeka dan selepas merdeka. Seiring dengan perkembangan ini, nama subjek ini telah ditukar bersesuaian dengan kehendak semasa. Pada awalnya subjek ini dikenali sebagai subjek Lukisan dan pertukangan Tangan. Kemudian ianya ditukar pula kepada Pendidikan Seni dan Pendidikan Seni Visual. Kini, setelah Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) ditukar kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), subjek ini dikenali sebagai Dunia Seni Visual.

Pendidikan Sebelum Merdeka

Pendidikan di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah berbentuk tidak formal serta tidak mementingkan perkembangan kognitif pelajar – pelajar. Kitab Pedoman Guru Penggal Satu (1928) dan Kitab Pedoman Guru Penggal Kedua (1929) telah diguna pakai oleh guru – guru pada ketika itu sebagai panduan untuk mengajar Lukisan dan Pertukangan Tangan di sekolah – sekolah melayu pada masa tersebut. Buku ini disusun oleh O.T Dussek dan Muhammad Hashim bin Haji Taib dan merupakan buku pertama yang ditulis di Malaya mengenai kaedah mengajar mata pelajaran Lukisan dan Pertukangan Tangan.

Di dalam buku ini, kaedah mengajar Pendidikan Seni dirancang dari unsur yang senang kepada unsur yang lebih sukar. Sebagai contoh, kaedah asas penggunaan alat dan bahan diperkenalkan pada awal pembelajaran. Kemudian diikuti dengan latihan asas membuat garisan dan latihan melakar bentuk – bentuk asas. Bahantara yang digunakan pula adalah pensel dan pena dakwat. Bahantara ini telah digunakan di sekolah Melayu sejak tahun 1900 – an. Penggunaan dua bahantara ini telah berkembang secara meluas dalam kalangan pelajar Melayu yang berminat dalam bidang artistik pada ketika itu. Hal ini telah menyebabkan peningkatan dalam keinginan untuk menghasilkan karya – karya yang bersifat lakaran. Perkara ini memperlihatkan kepentingan konsep visual dalam pengilustrasian buku.

Pada tahun 1905, Maktab Melayu Kuala Kangsar telah diasaskan mengikut model English Grammar School. Hal ini adalah untuk menampung permintaan yang bertambah terhadap pendidikan menengah. Namun sekolah ini hanyalah untuk golongan bangsawan sahaja. Pada tahun 1922 pula, Maktab Perguruan Sultan Idris atau lebih dikenali sebagai Sultan Idris Training College (STTI) telah ditubuhkan. Perkara ini untuk memenuhi permintaan yang bertambah terhadap guru – guru sekolah Melayu yang berkelayakan. Pendidikan Seni telah diajar di STTI di samping subjek – subjek lain. Subjek ini diajar bersama dengan pertukangan tangan. Membuat bakul menggunakan mengkuang adalah sukatan pelajaran bagi tahun pertama. Selain itu mereka juga dikehendaki mencipta corak – corak baru dengan menggunakan rotan dan buluh. Kemudian untuk tahun kedua, kerja –kerja tahun pertama disambung manakala tahun ketiga pula, penggunaan rotan dan buluh yang lebih meluas diajar. Buku yang digunakan adalah Kitab Rajah – Rajah Anyaman oleh guru anyaman Mr. W. Olaguera.

Pendidikan Selepas Merdeka

Perkembangan politik negeri China, India dan Negara jiran banyak berubah selepas perang dunia kedua. Tanah Melayu dianggap tempat kediaman oleh masyarakat pendatang. Masalah kerumitan kaum tentang pendidikan telah dilihat oleh kebangkitan nasiolisme Melayu.

Jawatankuasa Barnes telah ditubuhkan apabila orang Melayu mula mendesak agar kerajaan membaiki mutu pendidikan di sekolah – sekolah Melayu serta menambahkan peluang bagi melanjutkan pelajaran. Pada awal tahun 1951, laporan Barnes diterbitkan. Di dalam Laporan ini terkandung cadangan agar sekolah – sekolah kebangsaan dari bahasa berbilang kaum sama ada menggunkan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sebagai pengantar utamanya ditubuhkan. Sekolah Cina dan Tamil akan ditukar beransur – ansur kepada sekolah kebangsaan dengan memperkenalkan aliran kebangsaan. Namun, cadangan tersebut ditentang hebat oleh orang cina.

Laporan Fen Wu, memperakukan untuk mengekalkan serta menambahbaik Sekolah Cina telah memburukkan lagi pertikaian yang hangat tentang pendidikan di Tanah Melayu. Laporan Jawatankuasa Fen Wu mengemukakan cadangan – cadangan yang pada asasnya menyokong konsep penggunaan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa CIna dijadikan bahasa penghantar.

Pendidikan Malaysia

Beberapa kajian telah dibuat untuk mendapatkan formula terbaik bagi sistem pendidikan di Tanah Melayu pada masa itu. Walau bagaimanapun setelah mendapat kemerdekaan, Akta Pelajaran 1961 telah dijadikan dasar kepada sistem pendidikan di negara ini. Justeru itu Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) telah diperkenalkan. Mata pelajaran yang diajar oleh guru-guru dana dipelajari oleh murid-murid dalam KLSR antaranya ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Tawarikh, Ilmu Alam, Hal Ehwal Tempatan, Tata Rakyat, Jawi,Pendidikan Agama Islam, Lukisan dan Pertukangan Tangan, Pendidikan Jasmani dan lain-lain. 

Persekolahan peringkat rendah di negara ini berterusan mengikut kehendak KLSR sehinggalah kajian dibuat pada tahun 1974 hingga 1979 oleh jawatankuasa diketuai Dr.Mahathir Mohamad bagi melihat kesesuaian KLSR ini. Laporan kajian yang dikeluarkan pada tahun 1979 mendapati bahawa KLSR sudah tidak relevan lagi dan perlu diganti dengan kurikulum ynag baru. Implikasi daripada laporan ini ialah pengenalan kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1982.Namun begitu, pada tahun 1988 KBSR telah disemak semula bagi mengenal pasti kelemahan dan kekuatannya. Lanjutan itu, KBSR yang dikenali pada asasnya sebagai Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar menjadi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Dari segi kurikulum, mata pelajaran-mata pelajaran yang telah sedia ada mengalami perubahan bagi membantu murid menghadapi cabaran masa depan termasuklah Pendidikan Seni Visual.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah memainkan peranan yang positif dalam membangunkan dan memperkembangkan kurikulum Pendidikan Seni Visual. Hal ini dapat dilihat berdasarkan semakan terhadap Kurikulum Pendidikan Seni Visual itu sendiri yang telah beberapa kali melalui proses perubahan. Perubahan-perubahan tersebut meliputi aspek falsafah, matlamat, objektif, pendekatan, kaedah dan isi kandungan mata pelajaran tersebut.Retrospektif perkembangan kurikulum ini dapat dilihat seawal pertengahan abad ke-19 apabila kurikulum seni mula diperkenalkan di Penang Free School dengan memberikan penekanan kepada penglahiran pelajar yang mahir dalam kraf (Carline, (1968) dalam Ibrahim Hassan melalui karya Md Nasir bin Hj. Ibrahim-Isu dan Permasalahan Kurikulum Pendidikan Seni Visual).

Selepas merdeka, bermula dari tahun 1965 Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggubal dasar baru pendidikan. Melalui dasar baru ini, murid-murid daripada darjah 1 hingga tingkatan 3 akan belajar dua kumpulan mata pelajaran yang dikenali sebagai mata pelajaran wajib dan mata pelajaran elektif. 

Kini, sekali lagi kurikulum Pendidikan Seni berubah dengan penekanan kepada melengkapkan perkembangan diri seseorang individu melalui nilai peribadi individu dan pemupukan kesedaran terhadap seni dalam kehidupan sehari-hari serta sikap dalam menghargai hasilan seni sebagai sumbangan kepada warisan budaya dan identiti bangsa. Perubahan-perubahan ini melibatkan falsafah, matlamat, objektif, pendekatan, kaedah dan isi kandungan yang lebih mantap dan akan dapat menarik minat lebih ramai pelajar. 

Dalam KBSR, Pendidikan Seni Visual merupakan mata pelajaran wajib yang mesti dipelajari oleh semua murid. Mata pelajaran Pendidikan Seni Visual digubal selaras dengan perkembangan terkini ke arah mencapai hasrat FPK. Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah sebagaimana yang digariskan oleh PPK padaa tahun 2000 adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membnatu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan Negara, selaras dengan hasrat FPK.Terdapat empat bidang yang terkandung di dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual seperti berikut :

1.    Menggambar

2.    Membuat Corak dan Rekaan

3.    Membentuk dan Membuat Binaan

4.    Mengenal Kraf Tradisional

 

Fokus yang diberikan kepada setiap bidang pula ialah pemerhatian aktif, interaksi yang kreatif dengan alat dan bahan, serta aprisiasi aspek seni.Pendidikan Seni Visual memainkan peranan sebagai pengimbang kepada mata pelajaran lain yang ditawarkan di sekolah-sekolah kerajaan. Mata pelajaran ini menyumbangkan ke arah perkembangan murid-murid melalui peningkatan daya persepsi, estetika dan kraetiviti. Manakala aktiviti seni yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran dilakukan dalam konteks peranan seni sebagai media komunikasi, seni dalam kehidupan dan persekitaran, dan seni sebagai warisan budaya dan identiti bangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK)

  BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK) Sosiolinguistik mengkaji hubungan bahasa dan masyarakat, yang nengaitkan dua bidang yan...

klik