BENTUK DAN JENIS-JENIS PANTUN
Pantun
terdiri dari banyak jenis dan bentuk. Jenis-jenisnya ialah pantun dua kerat,
pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun sepuluh
kerat. Pantun yang lebih daripada empat kerat disebut juga talibun.
Selain lima jenis bentuk ini, terdapat sejenis bentuk lagi yang dinamakan
pantun berkait. Bentuk-bentuk pantun pula bermacam-macam. Ada pantun yang
berbentuk "nasihat", "adat", "agama",
"teka-teki", "jenaka" dan juga ada
sesetengahnya berbentuk "peribahasa".
Di samping
itu, pantun juga turut mempunyai kedudukan yang istimewa dalam pertumbuhan serta
perkembangan puisi Melayu lama. Pantun sebagai jenis puisi Melayu lama yang
tertua dan asli amat diminati. Ini terbukti, pantun digunakan secara meluas
dalam kegiatan-kegiatan hidup harian dan seni budaya masyarakat Melayu lama,
seperti dalam acara permainan, hiburan, majlis keramaian, adat istiadat atau
upacara.
Justeru itu,
pantun pantun dari segi isi atau temanya terdapat beberapa jenis. Antaranya
yang penting tentang teka-teki, jenaka, kasih sayang, nasihat,
budi, nasib, perantau, adat, kepahlawanan, peribahasa,
kias ibarat dan agama. Meskipun begitu, penentuan jenis-jenis isi
atau tema tersebut bukanlah mutlak. Ini kerana dalam setiap jenis isi pantun
itu, lazimnya terdapat juga isi atau persoalan lain. Penentuannya lebih dilihat
pada isi yang menjadi latar dan dasar perkembangannya dengan isi atau persoalan
lain yang berhubungan.
Pantun yang
isinya mengemukakan tentang "nasihat", "adat"
dan "agama" pada umumnya adalah mudah dikenali serta difahami.
Pantun "nasihat" misalnya, lebih jelas bersifat mengajar atau
memberi nasihat ke arah melakukan sesuatu yang baik dan meninggalkan yang
buruk.Walaupun demikian, isi tentang "adat" dan "agama"
tidak kurang pula yang lebih serius serta mendalam persoalan isinya.
Umapamanya, persoalan adat yang berkaitan dengan norma-norma adat, peraturan
atau undang-undang dan persoalan agama yang berkaitan dengan Keesaan Allah dan
balasan hari kemudian.
Pantun jenis "peribahasa"
juga mudah dikenali, iaitu melalui penyampaian isinya menggunakan
peribahasa-peribahasa yang begitu jelas bentuk serta susunannya. Bagi pantun "kias
dan ibarat" pula, sesuai dengan namanya maka setiap isi yang
disampaikan atau dikemukakan itu adalah bersifat kiasan, ibarat atau
perbandingan. Dengan demikian, pernyataan isinya selalu ditemui dalam bentuk
peribahasa; tetapi gambaran pernyataannya lebih halus, luas dan mendalam. Pada
pantun "teka-teki" yang memerlukan jawapan adalah merupakan
satu daripada alat untuk menggerakkan cara berfikir secara spontan dam membina
kemahiran berfikir dengan tepat.
Pantun "jenaka"
yang unsur kejenakaan atau kelucuannya terhasil daripada gambaran keanehan dan
keganjilan perlakuan itu, terdapat unsur-unsur pengajaran, nasihat dan
sindirannya di dalamnya.
Di bawah adalah contoh bentuk dan jenis-jenis
pantun empat kerat seperti dikemukakan di atas :-
Jenis
Pantun : Dua Kerat |
Buah
beluluk buah kepayang, Dimakan mabuk dibuang sayang. |
Jenis
Pantun : Empat Kerat -
Teka-teki Fungsi : Untuk berseronok dan
menduga kebolehan dalam berfikir |
Kelip-kelip disangka api, Kalau api di mana puntungnya; Hilang ghaib disangka mati, Kalau mati di mana kuburnya? |
Jenis
Pantun : Empat Kerat - Jenaka Fungsi : Semata-mata untuk
hiburan |
Orang
Rengat menanam betik, Betik disiram air berlinang; Hilang semangat penghulu itik, Melihat ayam lumba berenang |
Jenis
Pantun : Empat Kerat - Kasih
Sayang |
Burung merbuk membuat sarang, Anak enggang meniti di paya; Tembaga buruk di mata orang, Intan berkarang di hati saya. |
Jenis
Pantun : Empat Kerat - Nasihat |
Air
melurut ke tepian mandi, Kembang berseri bunga senduduk; Elok diturut resmi padi, Semakin berisi semakin tunduk. |
Jenis
Pantun : Empat Kerat - Budi |
Tingkap
papan kayu bersegi, Sampan sakat di Pulau Angsa; Indah tampan kerana budi, Tinggi darjat kerana bahasa. |
Jenis
Pantun : Empat Kerat - Nasib |
Payang
retak tali bersimpul, Kendi lokan airnya tumpah; Hidup tidak kerana kaul, Mati bukan kerana sumpah. |
Jenis
Pantun : Empat Kerat - Perantau |
Pungut
teritip di tiang batu, Batu pecah dilanda karang; Beginilah nasib dagang piatu, Kain basah kering di pinggang. |
Jenis
Pantun : Empat Kerat - Adat |
Buah berangan di rumpun pinang, Limau kasturi berdaun muda; Kalau berkenan masuklah meminang, Tanda diri beradat budaya. |
Jenis
Pantun : Empat Kerat -
Kepahlawanan |
Patah
rotan tali bersilang, Batang meranti rimbun berjejal; Langkah
pahlawan di tengah gelanggang,
Berpantang mati sebelum ajal. |
Jenis
Pantun : Empat Kerat -
Peribahasa |
Punggur
rebah puyuh mendengut, Dengut melata di tengah padang; Sedangkan bah kapal tak hanyut, Inikan pula kemarau panjang. |
Jenis
Pantun : Empat Kerat - Kias dan
Ibarat |
Gesek
biola tiup serunai, Sayu dara berhati walang; Putih mata si burung punai, Kayu ara ditunggu helang. |
Jenis
Pantun : Empat Kerat - Agama |
Letak bunga di atas dulang, Sisipkan daun hiasan tepinya; Banyak berdoa selepas sembahyang, Mohon diampun dosa di dunia. |
Jenis
Pantun : Empat Kerat -
Kanak-kanak Fungsi : Lagu sedih dan
bersuka-ria |
Anak
rusa nani, Baru kembang ekor; Apa dosa kami, Lalu tidak tegur. |
Jenis-jenis pantun lain;
Jenis
Pantun : Pantun Enam Kerat |
Belayar
perahu membawa kuini, Ke tanjung Jati mengadap Paduka, Bunga kemboja sembah berkarang; Kalaulah tahu jadi begini, Tidaklah hati dibawa berduka, Ku pilih saja orang lain. |
Jenis
Pantun : Lapan Kerat |
Dini
hari melawat pusara, Bawa merbah bersama emas, Nenas terletak tepi belana, Belanga China bersalut arang; Benihku cari disemai mesra, Semaian bercambah menjelma tunas, Kemudian subur indah berbunga, Malangnya bunga di getu orang. |
Jenis
Pantun : Sepuluh Kerat |
Baju
dastar kesumba, Seluar gunting petani, Jahitan nyonya kampung Erah, Di hilir pasar Kampung Melaka, Singgah di rumah nahkodanya; Batang emas dahan suasa, Buahnya intan dengan padi,
Bunga diisap burung merak, Pipit hendak hinggap di rantingnya, Adakah boleh oleh yang punya. |
Jenis
Pantun : Dua Belas Kerat |
Rotan
sepatah dua patah, Tarik kerakap batang padi, Dibawa sultan dari Judah, Padi yang jangan digemparkan, Kalau gempar antara gugur, Bila gugur masuk perigi; Tuan di Mekah di Madinah, Naik akhirat batu haji, Tegak berdiri Rasululah, Kami yang jangan dilupakan, Kalau lupa antara tidur, Dalam tidur menjadi mimpi. |
Di bawah merupakan contoh pantun berkait;
Jenis
Pantun : Pantun Berkait -
Kebiasaannya terdiri dari empat kerat juga, tetapi antara satu pantun dengan
satu pantun berkait-kait pembayang dan
maksudnya. Pembayang kedua pada pantun pertama dijadikan pembayang
pertama pada pantun kedua dan maksud kedua dalam pantun pertama dijadikan
maksud pertama bagi
pantun kedua. |
Pergi
kehulu menjala ikan, Belayar sampan ke Tanjung Jati; Masa lalu jangan ditangiskan, Masa depan jangan ditakuti. Belayar sampan ke Tanjung Jati, Cuaca redup di tepi muara; Masa depan jangan ditakuti, Bahtera hidup kemudinya usaha. Cuaca redup di tepi muara, Angin Barat bertiup nyaman; Bahtera hidup kemudinya usaha, Tanamkan kudrat pada keazaman. Angin Barat bertiup nyaman, Burung gagak terbang ke rimba; Tanamkan kudrat pada keazaman, Bulan tidak jatuh ke riba. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan