Isnin, 21 Jun 2021

KEMAHIRAN MEMBACA ( Kaedah Pandang dan Sebut )

 

KAEDAH PANDANG DAN SEBUT

 

            Kaedah Pandang dan Sebut ini atau juga pernah disebut dengan nama Kaedah Seluruh Perkataan (whole word) ini bolehlah dianggap sebagai reaksi kepada kelemahan-kelemahan yang terdapat pada Kaedah Abjad. Kaedah itu lebih bermakna daripada Kaedah Menghafal ‘nama setiap huruf itu’. Misalnya batu, rumah, sekolah, budak, pokok, meja, pensel dan sebagainya. Perkataan-perkataan yang ditulis penuh adalah difikirkan lebih bermakna daripada pecahan tiap-tiap hurufnya. Jadi Kaedah Pandang dan Sebut (atau Kaedah Seluruh Ayat) ini dijadikan asas untuk mengajar murid-murid membaca. Kerap kali ditunjukkan seluruh perkataan-perkataan seiring dengan gambar-gambar yang dilambangkannya. Perkataan rumah ditulis di tepi atau di bawah gambar rumah, perkataan pensel, dan sebagainya. Kadang-kadang digunakan kad-kad imbasan yang menunjukkan gambar dan perkataan. Jadi dalam kaedah ini murid-murid cuba ‘mengenal’ keseluruhan lambang-lambang itu untuk mendapat membaca. Mereka harus mengenal beberapa puluh ‘lambang perkataan’ sebelum boleh membaca ayat-ayat. Kemudian baru diajar mengeja tiap-tiap perkataan, dan mengenal nama huruf-huruf yang mewakilinya.

 

            Pada ketika dahulu (bahkan bagi setengah-setengah ahli pendidik sekarang pun) kaedah Pandang dan Sebut ini sangat ditegaskan. Mereka kuat dipengaruhi oleh ahli-ahli pendidik mengajar membaca bahasa Inggeris. Di sebalik menggunakan kaedah ini untuk mengajar, bahasa Inggeris ialah bahasa yang tidak mempunyai sistem ejaan fonemik yang sempurna, bercelaru dari segi symbol-sound relationship. Kecelaruan ini menyebabkan ahli-ahli pendidik bahasa menganggap kaedah Pandang dan Sebut itu lebih sesuai dan bermakna untuk mengajar permulaan membaca. Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kaedah ini dikritik semula, sebab didapati ramai murid biasa (terutama di Amerika Syarikat) yang tidak boleh membaca. Kemahiran murid-murid ‘mengenal’ perkataan-perkataan tidak dapat menjelma dengan cepat. Bahkan ramai yang menghafal ‘perkataan-perkataan’ berdasarkan gambar daripada ‘mengenal’ perkataan-perkataan, dan murid-murid ini sukar mengenal perkataan-perkataan yang ‘baru’. Jadi, baru-baru ini timbul semula hujah-hujah dan kajian-kajian yang membuktikan bahawa kaedah fonik mungkin lebih sesuai dan berkesan daripada kaedah Pandang dan Sebut untuk mengajar permulaan membaca bahasa Inggeris.

 

            Kaedah Pandang dan Sebut ini lebih sesuai digunakan untuk mengajar bahasa-bahasa yang memakai sistem tulisan ideografik (atau lebih tepat lagi logografik) seperti sistem ejaan bahasa Cina, yang melambangkan sesuatu benda, idea, dan sebagainya (satu morfem) dengan satu perkataan. Oleh sebab sistem ejaan bahasa Melayu rata-rata adalah fonemik (satu huruf boleh dikatakan melambang satu ‘bunyi’ – lebih fonemik daripada misalnya sistem ejaan bahasa Inggeris) maka agak tidak begitu munasabah bagi Kaedah Pandang dan Sebut ini digunakan untuk mengajar permulaan membaca bahasa Melayu, terutama mengajar murid-murid Melayu. Kaedah ini akan menyusahkan dan melambatkan lagi murid-murid mencapai kemahiran membaca bahasa Melayu.

 

Kekuatan

Kelemahan

·          Sesuai dengan kehendak ilmu jiwa kanak-kanak kerana mereka mempelajari sesuatu cara keseluruhan, menarik minat murid-murid.

·          Bersesuaian dengan resmi semula jadi kanak-kanak mempelajari sesuatu iaitu daripada keseluruhan kepada bahagian-bahagiannya

·          Kaedah ini dari awal mementingkan makna.

·          Guru dapat melatih kanak-kanak membaca dengan sebutan dan rentak irama ataupun alunan suara yang betul dari mula.

·      Bacaan kanak-kanak mungkin terhad kepada perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat yang telah diajar sahaja.

·      Kaaedah ini tidak membolehkan kanak-kanak mengenal huruf-huruf secara formal. Lambat mengenal bunyi dan suku kata.

·      Murid-murid tidak mempunyai asas yang kukuh yang membolehkan mereka membaca sendiri.

·      Lambat tercapai kemahiran dan kecekapan membaca.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK)

  BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK) Sosiolinguistik mengkaji hubungan bahasa dan masyarakat, yang nengaitkan dua bidang yan...

klik