KONSEP PENDIDIKAN PEMULIHAN
Pendidikan pemulihan adalah sebagai satu
cabang daripada sebahagian pendidikan imbuhan.Ianya juga disebut sebagai
‘Remedial education’ di dalam bahasa Inggeris iaitu suatu bentuk pendidikan
khas kepada kanak-kanak atau pelajar yang menghadapi masalah atau kesulitan
pembelajaran dalam mata-mata pelajaran tertentu sahaja.Pendidikan Pemulihan
berbeza daripada pendidikan atau pengajaran biasa. dan
Guru yang mengajar kelas
pemulihan adalah guru yang terlatih khas untuk kelas pemulihan. Kelas pemulihan
selalunya lebih kecil daripada kelas biasa. Aktiviti yang dijalankan juga khas
iaitu menepati kehendak ‘ menjadikan pulih ‘.
Pendidikan Pemulihan
adalah satu bentuk pendidikan untuk membetulkan sesuatu yang kekurangan atau
membetulkan sesuatu yang tidak betul atau sesuatu yang cacat.
Definisi Pendidikan
Pemulihan
Berbagai-bagai pendapat telah diberikan oleh ahli-ahli pendidik Barat dan
tempatan mengenai takrifan pendidikan pemulihan.Secara lebih khusus, takrif pendidikan
pemulihan itu telah diberi dengan pelbagai definisi, antaranya ialah :
i) Sharifah Alwiah
Alsagoff, 1983 : 371
“Satu tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan
murid yang mengalami kesusahan dari segi pembelajaran dalam darjah khas di
sekolah biasa, di pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan, dalam
kumpulan yang diasingkan daripada sekolah biasa, dan dalam darjah untuk
pengajaran khusus oleh guru pemulihan.”
ii) Ishak Harun &
Koh Boh Boon, 1983 : 191
“Perkhidmatan khas untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang
menghadapi masalah-masalah pembelajaran di sekolah-sekolah biasa.”
iii) Pringle (1966)
“Pengajaran yang mempunyai pendekatan khas yang diperlukan oleh semua murid
yang mundur dalam satu-satu mata pelajaran serta berkemahuan dan berkebolehan
belajar,melalui latihan yang sistematik dan dapat memenuhi keperluan-keperluan
mereka.”
iv) Albertwhite (1977)
“Pengajaran pemulihan ialah suatu bentuk pengajaran yang diperlukan oleh
kanak-kanak yang bersifat ketidakupayaan yang disertai oleh gangguan-gangguan
emosi.”
v) Tansley (1967)
“Pengajaran pemulihan ialah satu bentuk pengajaran yang mengutamakan
langkah-langkah yang benar-benar teliti dan sistematis bagi membolehkan
pengajaran pemulihan dijalankan secara tersusun.”
vi) Collins (1961)
“Pengajaran pemulihan ialah satu bentuk pengajaran yang mengutamakan mata
pelajaran asas. Malah beliau menegaskan pengajaran ini ialah satu kaedah
pengajaran yang istimewa bagi murid-murid yang gagal dalam mata pelajaran asas
di sekolah seperti membaca,menulis dan mengira.”
vii) Evans (1995)
“Pengajaran pemulihan dianggap sebagai “ the ambulance of educational
system “. Oleh sebab itu pengajaran pemulihan ini tidak boleh diambil kira
sebagai satu pekerjaan atau pengajaran yang dilakukan secara mengejut, mendadak
atau digunakan pada waktu kecemasan sahaja. Pengajarannya perlu dirancang dan
disusun dengan rapi berdasarkan aspek –aspek kelemahan murid.”
viii) Blair (1956)
“Pengajaran pemulihan adalah satu bentuk pengajaran yang bertujuan untuk
membaharui teknik pengajaran dan pembelajaran untuk mengikis segala
kebiasaan-kebiasaan dan amalan-amalan yang tidak sesuai bagi murid-murid
lambat.”
ix) Bahagian
Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan dalam pekeliling KP (BS) 8502/5/PK/Jld.
V (26) bertarikh 8 Januari 1986.
“Pengajaran pemulihan sebagai satu usaha dalam pendidikan untuk mengatasi
masalah pembelajaran murid-murid lemah di sekolah-sekolah rendah, khususnya
ditumpukan kepada kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, di bawah
kelolaan guru-guru pemulihan yang telah menerima latihan khas dalam bidang
ini.”
x)Pusat Perkembangan
Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (1984)
“Dalam konteks KBSR Program Pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang
dijalankan untuk membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu
dalam kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Mereka ini hendaklah
dipulihkan sebaik sahaja masalah tersebut dapat dikesan dan ditentukan.”
xi) Koh (1979)
“Pengajaran pemulihan sebagai pengajaran yang bertujuan untuk memulihkan
kelemahan-kelemahan yang dikesan pada murid lambat dengan tujuan untuk
meningkatkan taraf pencapaian mereka agar setaraf dengan pencapaian murid-murid
normal.”
xii) Chua (1977)
“Pendidikan pemulihan sebagai satu pengajaran yang bertujuan untuk membantu
murid yang lemah, melalui pendekatan perseorangan dalam kelas yang kecil
bilangan muridnya. Pengajaran ini menggunakan kurikulum yang diubahsuaikan
dengan menitikberatkan perkara yang praktis dan latih tubi, tunjuk cara yang
melibatkan kegiatan dan gerak kerja yang dimudahkan serta disampaikan dengan
teratur serta dikendalikan oleh kakitangan ikhtisas (profesional)yang terdiri
daripada Guru Pemulihan dengan kerjasama doktor, pekerja sosial, pakar jiwa dan
pihak-pihak lain yang berkaitan.”
Kesimpulan Definisi
Secara kesimpulannya, pengajaran pemulihan adalah sejenis pengajaran yang
dijalankan untuk membantu murid-murid lambat dalam pembelajaran di sekolah agar
mereka tidak terus ketinggalan dalam proses pendidikan di sekolah dan dapat
seiring dan setaraf dengan rakan mereka yang lain.
Tujuan Pengajaran
Pemulihan
Berdasarkan Buku Panduan Program Pemulihan Kurikulum Baru Sekolah untuk
Tahap Satu Kementerian Pendidikan Malaysia (1984), tujuan utama pengajaran
pemulihan ialah untuk:
a) Membantu mengatasi masalah pembelajaran
dalam kemahiran-kemahiran tertentu.
b) Membantu murid mengubah sikap yang
negatif dan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran.
c) Memupuk serta mengembangkan sikap
keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.
Menurut
Koh (1986), menegaskan pengajaran
pemulihan diperlukan untuk mengatasi kesusahan pembelajaran bagi kanak-kanak
yang mengalami kesusahan ini tanpa menghiraukan label-label ke atas murid
tersebut seperti bodoh, lambat dan sebagainya.
Menurut
Blair (1968), pengajaran pemulihan diperlukan untuk fungsi-fungsi berikut:
a) Untuk menyingkirkan tabiat dan sikap
yang tidak selari dengan pembelajaran berkesan atau dengan kata lain memulihkan
kesalahan atau kelemahan.
b) Untuk mengajar buat pertama kali tabiat,
kemahiran dan sikap baik yang belum dipelajari, tetapi seharusnya sudah
dipelajari.Tabiat, kemahiran dan sikap baik diperlukan oleh murid untuk
meningkatkan kecekapan murid.
Maka, pengajaran
pemulihan diperlukan untuk mengatasi dua jenis kelemahan iaitu mengikis tabiat
tidak baik yang sedia ada dan kedua ialah untuk membentuk tabiat baik yang
belum ada pada murid itu.
Dengan ini, pendidikan
diperlukan untuk mengatasi dua jenis kelemahan ini.Bagi keperluan guru, untuk
mengatasi kedua-dua jenis kelemahan ini, prinsip-prinsip pengajaran yang harus
digunakan ialah yang berasaskan psikologi, di samping terdapatnya
berbagai-bagai cara bekerja, teknik dan alat pelaksanaannya.
Antara tujuan-tujuan lain pendidikan pemulihan adalah:
a) Mengenal pasti pelajar yang memerlukan
pemulihan.
b) Untuk mewujudkan alat-alat diagnostik
supaya dapat mengesan kesulitan-kesulitan pembelajaran tertentu.
c) Mengeluarkan bahan-bahan kurikulum dan
kaedah-kaedah pengajaran yang sesuai untuk memenuhi keperluan setiap
kanak-kanak.
d) Mencegah sesuatu kurang upaya supaya
tidak menjadi satu kecacatan.
e) Merapatkan hubungan antara guru biasa
dan guru khas supaya layanan yang diberi oleh guru khas dapat diteguhkan oleh
guru biasa.
f) Membentuk komunikasi yang berkesan
dengan pakar-pakar dan agensi-agensi untuk perkembangan optimum setiap
kanak-kanak.
Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (1985)
pengajaran pemulihan adalah khusus untuk membantu sebilangan pelajar yang
menghadapi masalah pembelajaran di sekolah rendah, terutamanya dalam masalah
bahasa.
Objektif
Pendidikan Pemulihan
1. Membantu
murid mengatasi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu.
2. Memupuk
serta mengembangkan sikap yakin diri dan sikap positif terhadap
pembelajaran.
3. Membantu
murid mengubah sikap negatif dan tingkah laku yang
Menjejaskan pembelajaran.
4. Membolehkan
murid menguasai kemahiran-kemahiran tertentu dengan cara mengikuti aktiviti-aktiviti
alternatif yang sesuai dengan mereka.
5. Membolehkan
murid mendapat layanan dan kemudahan belajar yang sesuai dengan kemampuan dan perkembangan
mental individu.
6. Membolehkan
murid mendapat peluang yang sama dengan melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti-aktiviti
sosial, sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.
7. Membolehkan
murid meneruskan pelajaran mereka dalam sistem persekolahan biasa atau sekolah khas
yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan