PENDAHULUAN
Pantun ialah bentuk puisi Melayu yang asli dan unik. Ia merupakan sumber
khazanah dalam kehidupan masyarakat di Alam Melayu, baik dari segi pemikiran,
kesenian, maupun nilai-nilai moral dan sosialnya. Akal budi orang Melayu dapat
dilihat dalam pantun yang diungkapkan secara spontan dengan begitu ringkas dan
padat. Ini termasuklah kebijaksanaan dan ketangkasannya menjana makna yang
dalam dan mengukir gerak hati serta lukisan rasa yang indah bersama penampilan
unsur-unsur alam.
Pantun wujud dalam pelbagai bentuk dan wajah, dari pantun dua kerat dan
pantun empat kerat sehingga ke pantun berkait. Genre ini menduduki tempat yang
penting dalam kehidupan masyarakat Melayu, justeru diungkapkan dalam permainan
kanak-kanak, dalam percintaan, upacara peminangan dan perkahwinan, nyanyian,
dan upacara adat. Pendeknya setiap tahap kehidupan manusia Melayu, yakni dari
dalam buaian hingga ke alam percintaan dan hari-hari tua, dibantu dan dihiasi
oleh pantun.
Pantun merupakan sastera lisan yang lahir dan berkembang dalam kalangan
masyarakat yang akrab dengan alam, dan diwarisi dari generasi ke genarasi .
Apabila muncul teknologi percetakan pada akhir abad ke-19, koleksi pantun telah
diterbitkan dalam pelbagai dialek Melayu, seperti Betawi, Minangkabau, Peranakan
Jakarta dan Melaka, dan bahasa-bahasa seperti Ambon dan Acheh. Kini terdapat
kira-kira seratus buah manuskrip pantun yang dikumpulkan di perpustakaan
seperti di Jakarta, Leiden, Paris, London, dan Berlin. Kebanyakan pantun
tersebut dikutip pada akhir abad ke-19 dan dimuatkan dalam pelbagai koleksi
oleh sarjana dari England, Belanda, dan Jerman.
Dapat disebutkan bahawa pantun ialah genre yang tersebar luas dan hampir
sarwajagat. Di Alam Melayu, bentuk ini hidup subur dalam sekitar 30 bahasa dan
dalam 35 dialek Melayu. Orang-orang Melayu diaspora pula telah membawanya
hingga ke Sri Langka, Kepulauan Cocos, Surinam, dan Belanda. Kehadiran pantun
di Eropah dan Amerika telah menarik perhatian penyair-penyair hingga
menyebabkan timbulnya genre pantoum dalam kesusasteraan Barat mulai abad ke-19.
Orang melayu mencipta pantun untuk melahirkan
perasaan mereka secara berkesan tetapi ringkas, kemas, tepat dan menggunakan
bahasa yang indah-indah. Pada zaman dahulu kala masyarakat melayu belum lagi
pandai menulis dan membaca. Hal ini demikian kerana masyarakat melayu pada
waktu itu belum lagi bertamadun. Keadaan initelah membuktikan bahawa orang
melayu sebelum tahu menulis dan membaca telah pandai mencipta dan
berbalas-balas pantun antara satu sama lain.
Keadaan ini membolehkan kita menganggap pantun itu
sebagai pusaka orang melayu sejak turun-temurun lagi yang menjadi identiti
masyarakat melayu bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Pantun tetap
dipertahankan oleh orang melayu walau pun zaman telah berubah. Menurut kajian
bahawa pada abad yang ke-17 barulah sempurna bentuk, isi, maksud dan alasan
pantun itu. Keadaan ini dapat dibuktikan di dalam rencana Hamzah Fansuri yang
telah meninggal dunia dalam tahun 1630.
Kini pantun telah berjaya menambat imaginasi dan kesarjanaan pengkaji di
dalam dan di luar bidang sastera, di Alam Melayu dan juga di luarnya. Pantun
terus diajar dan diselidiki di pusat-pusat Pengajian Melayu; seminar dan
bengkel tentangnya juga terus diadakan.
DEFINISI PANTUN
Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu
menjelaskan, "Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna
seperti atau umpama." Ada pendapat mengatakan perkataan
pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu panuntun yang bermaksud
pembimbing/penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan
petitih yang popular dalam masyarakat tersebut. Tun merupakan kata dasar merujuk kepada beberapa bahasa di Nusantara. Antaranya termasuklah bahasa Pampanga “TUNTUN” bermaksud teratur, bahasa Tagalog “tonton” bermaksud mengucapkan sesuatu dengan susunan tertentu, bahasa Toba “pantun” bermaksud
kesopanan dan bahasa jawa kuno“tuntun”bermaksud benang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan