Sabtu, 7 Mac 2015

TEORI ASAL USUL MASYARAKAT MELAYU

1.0          PENDAHULUAN

Masyarakat Melayu merupakan salah sebuah masyarakat yang terbesar bilangannya di rantau Nusantara ini. Hal ini dapat diperhatikan dengan lebih jelas lagi terutamanya di bumi Malaysia. Kewujudan masyarakat Melayu telah bermula sejak sebelum terbinanya empayar Kesultanan Melayu Melaka lagi kira-kira 500 tahun yang lalu. Ketika ini boleh dikatakan bahawa masyarakat Melayu adalah antara masyarakat yang tinggi ketamadunannya kerana dengan wujudnya empayar pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, Semenanjung Tanah Melayu terutamanya di negeri Melaka telah menjalankan kegiatan perdagangan dengan pedagang-pedagang dari luar negara terutamanya dari Arab, Parsi, India, China dan lain-lain lagi.
            Secara amnya terdapat beberapa pendapat atau definisi mengenai budaya yang berbeza-beza mengikut pengkaji itu sendiri. Akan tetapi maksud budaya yang dikemukakan oleh mereka membawa konotasi yang sama atau serupa maknanya. Kata budaya itu berasal daripada cantuman bahasa Sanskrit dan bahasa Melayu iaitu;
·         Budhi (Sanskrit) : kecergasan fikiran dan akal
Ini bermaksud budaya itu adalah kecergasan akal fikiran seseorang yang akan menentukan tahap pemikiran mereka dalam menangani sesuatu permasalahan dan seterusnya mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan tersebut.
·         Daya (Melayu) : kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh
Kata daya di sini memberi maksud bahawa sesorang individu itu menggunakan segala kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh yang semula jadi bagi membantu menjana pemikiran mereka. Hasil gabungan kedua-dua kata atau perkataan ini menjelaskan maksud bahawa budaya merupakan kebolehan seseorang individu menggunakan kekuatan, tenaga dan akal fikiran bagi ke arah meningkatkan kecergasan akal fikiran bagi menyelesaikan permasalahan dan seterusnya berupaya menyelesaikan permasalahan tersebut. Penyelesaian tersebut pula boleh diterima semua ahli masyarakat dan seterusnya menjadi amalan bersama. Amalan yang yang diterima ini seterusnya dijadikan budaya dalam kehidupan mereka.
            Menurut Kamus Dewan (2005), budaya ditakrifkan sebagai kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir), berkelakuan dan sebagainya. Budaya juga diklasifikasikan sebagai satu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai.
Dictionary of Philosophy (1996) ada menjelaskan yang budaya itu adalah:
‘The way of life of people, including their attitudes, values, beliefs, arts, scienes, modes of perception, and habits of thought and activity.’
Amalan-amalan yang dibentuk ini akan menetukan hala tuju bersama dalam masyarakat berkenaan.
            Mohd Taib Osman (1988) ada membuat tafsiran mengenai budaya. Menurut beliau, budaya memperlihatkan satu himpunan kelengkapan intelektual dan kebendaan yang mampu memenuhi kehendak biologidan kemasyarakatan serta dapat menyesuaikannya dengan keadaan sekeliling. Melalui himpunan daya intelektual tersebut masyarakat membentuk nilai yang dapat diterima bersama. Selo Soemardjan dan Soelaiman Soemardi bersepakat bahawa budaya merupakan alat penghasilan karya seni, rasa, dan penciptaan dalam sesebuah masyarakat. Penghasilan karya atau kesenian tersebut dipersembahkan dalam pelbagai bentuk yang akan menjadi asas kebudayaan masyarakat.
            Manakala Malinowsky dalam bukunya ‘ A Scientific Theory of Culture’ telah mengkelaskan budaya sebagai suatu tindak balas terhadap keperluan manusia. Budaya merupakan keseluruhan aspek kemanusiaan dari segi sejarah, kesusasteraan, institusi politik, muzik, lukisan, falsafah dan sebagainya. Budaya secara umum adalah cara atau gaya hidup sesebuah masyarakat atau bangsa. Budaya meliputi semua aktiviti harian manusia dan juga berperanan membezakan bangsa-bangsa tertentu.
            Kesimpulan yang boleh dibuat mengenai budaya adalah, budaya dari aspek bahasa adalah cara hidup yang diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat pada masa kini. Dari aspek istilah pula, budaya merujuk kepada satu cara hidup yang diamalakan oleh kebanyakkan orang termasuk pemikiran, nilai kepercayaan, pandangan dan tabiat sesorang dalam menghadapi sesuatu perkara atau situasi. Budaya boleh dikaitkan dengan pengalaman interaksi sosial individu dengan masyarakat sekelilingnya. Budaya merupakan warisan sosial manusia, cara pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang boleh diwarisi. Budaya adalah hak masyarakat yang akan menentukan bentuk tingkah laku mereka.
            Menyentuh semula dengan kebudayaan Melayu. Kebudayaan Melayu adalah satu cara hidup atau amalan seharian yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dalam kehidupan seharian mereka. Berdasarkan kepada pendapat yang telah dinyatakan oleh Mohd Taib Osman dan Malinowsky, budaya dapat dibahagikan kepada 2 jenis iaitu ‘budaya material’ dan ‘budaya bukan material’. Budaya material adalah budaya yang bersifat kebendaan. Contohnya alatan permainan, pakaian, bentuk rumah dan sebagainya. Manakala budaya bukan material adalah budaya yang bersifat bukan kebendaan. Budaya bukan material lebih bersifat kepada kepercayaan dan adat resam sesuatu masyarakat itu sendiri.






























2.0          SEJARAH DAN LATAR BELAKANG MASYARAKAT MELAYU

2.1       :           Teori Asal Usul Masyarakat Melayu

Pengenalan

Melayu (ملايو) merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu (بهاس ملايو) dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan Melayu mungkin berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera. Di sana letaknya "Kerajaan Melayu" sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan Srivijaya.

Sehubungan itu, dari segi etimologi, perkataan "Melayu" itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit "Malaya" yang bermaksud "bukit" ataupun tanah tinggi. Ada juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan "Melayu" berasal dari "Sungai Melayu" di Jambi.

Etimologi

Istilah "Melayu" ditakrifkan oleh UNESCO pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar. Bagaimanapun menurut Perlembagaan Malaysia, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Dengan kata yang lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang Melayu adalah orang Melayu.
Istilah "Melayu" untuk merujuk kepada nama bangsa atau bahasa adalah suatu perkembangan yang agak baru dari segi sejarah, iaitu setelah adanya Kesultanan Melayu Melaka. Walaupun demikian, tidaklah sehingga abad ke-17 bahawa istilah "Melayu" yang merujuk kepada bangsa semakin digunakan secara meluas. Sebelum itu, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada keturunan raja Melayu dari Sumatera sahaja.
Penggunaan istilah "Melayu" muncul buat pertama pada kira-kira 100-150 Masihi dalam karya Ptolemy, Geographike Sintaxis, yang menggunakan istilah "maleu-kolon". G. E. Gerini menganggap istilah itu berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu malayakom atau malaikurram, yang merujuk kepada Tanjung Kuantan di Semenanjung Malaysia. Sebaliknya, Roland Bradell menganggap tempat itu merujuk kepada Tanjung Penyabung.
Istilah Malaya dvipa muncul dalam kitab Purana, sebuah kitab Hindu purba, yang ditulis sebelum zaman Gautama Buddha sehingga 500 Masihi. Dvipa bermaksud "tanah yang dikelilingi air" dan berdasarkan maklumat-maklumat yang lain dalam kitab itu, para pengkaji beranggapan bahawa Malaya dvipa ialah Pulau Sumatera.
Istilah "Mo-lo-yu" juga dicatat dalam buku catatan perjalanan pengembara Cina pada sekitar tahun 644-645 Masihi semasa zaman Dinasti Tang. Para pengkaji bersependapat bahawa perkataan "Mo-lo-yo" yang dimaksudkan itu ialah kerajaan yang terletak di Jambi di Pulau Sumatera, serta juga Sriwijaya yang terletak di daerah Palembang.

Penakrifan orang Melayu merupakan satu pekerjaan yang sukar. Sekiranya menurut penakrifan orang Melayu sebagai orang yang bertutur dalam Bahasa Melayu, penakrifan ini merangkumi kebanyakan orang di Malaysia, Indonesia, dan sebahagian dari negeri Thai dan Filipina. Tetapi, di Indonesia moden, orang Melayu ditakrifkan hanya sebagai salah satu daripada beratus-ratus kaum/suku di negara itu. Lebih-lebih lagi, warga Indonesia yang dilahirkan selepas kewujudan negara Indonesia lebih suka mengenali diri mereka sebagai orang Indonesia dan mengenali bahasa mereka sebagai bahasa Indonesia. Walaupun demikian, secara amnya terdapat dua jenis penakrifan untuk menentukan sama ada seseorang itu orang Melayu, Iaitu:
-Penakrifan undang-undang
-Penakrifan antropologi


Penakrifan undang-undang

Di Malaysia, orang Melayu didefinisikan menurut perlembagaan dalam perkara 160(2). Menurut perkara ini, orang Melayu ditakrifkan sebagai:

Seorang yang beragama Islam
Bertutur bahasa Melayu
Mengamalkan adat istiadat Melayu
Lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) atau di Singapura atau pada hari merdeka, dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura.
Takrifan undang-undang ini adalah ditetapkan demi keperluan politik di negara Malaysia. Maka dengan itu, ia adalah tidak menepati hakikat di mana sebenarnya terdapat juga orang Melayu yang bermastautin di luar Persekutuan Malaysia. Contohnya di selatan Thailand terdapat juga kelompok manusia yang bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan budaya orang Melayu. Pentakrifan ini tidak sesuai untuk takrifan kaum Cina yang berbeza pertuturannya sebaliknya berkongsi tulisan dan adab resam yang sama di kalangan suku kaum-suku kaum yang berlainan.

Penakrifan antropologi

Menurut Syed Husin Ali yang merupakan ahli antropologi di negara Malaysia, orang Melayu itu dari segi zahirnya, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa. Dari segi etnologi, Melayu bermakna kelompok masyarakat yang mengamalkan sistem kemasyarakatan dwisisi dan kegenerasian yang termasuk dalam bangsa Mongoloid.
Asal usul bangsa MelayuAsal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar ditentukan. Walaupun terdapat beberapa kajian dilakukan untuk menjelaskan perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Secara amnya terdapat 2 teori mengenai asal-usul bangsa Melayu iaitu:

i.              Bangsa Melayu berasal dari Yunnan (Teori Yunnan)
ii.             Bangsa Melayu berasal dari Nusantara (Teori Nusantara)
iii.            Selain itu ada juga pendapat yang mengusulkan bahawa orang Minangkabau itu berasal daripada pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara Sungai        







i.              Bangsa Melayu berasal dari Yunnan (Teori Yunnan)

Teori ini disokong oleh beberapa sarjana R.H.Geldern,J.H.C Kern,J.R Foster,J.R Logen,Slametmuljana dan juga Asmah Haji Omar. Secara keseluruhannya, alasan-alasan yang menyokong teori ini adalah seperi (a) Kapak Tua yang mirip kepada Kapak Tua di Asia Tengah di Kepulauan Melayu. Perkara ini menunjukkan adanya migrasi penduduk dari Asia Tengah ke Kepulauan Melayu; (b) Adat resam bangsa Melayu mirip kepada suku Naga di daerah Assam (berhampiran dengan sempadan India dengan Myanmar); (c) Bahasa Melayu adalah serumpun dengan bahasa di kemboja. Lebih lanjut lagi, penduduk di Kemboja mungkin berasal dari dataran Yunnan dengan menyusuri sungai Mekong.perhubungan bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja sekaligus menandakan pertaliannya dengan dataran Yunnan. Teori ini merupakan teori yang popular yakni diterima umum,contohnya dalam buku Teks Pengajian Malaysia adapun menyatakan ”nenek moyang” orang melayu itu berasal dari Yunnan.
Berdasarkan teori ini, dikatakan orang melayu datang dari Yunnan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama,iaitu orang Negrito,Melayu Proto,dan juga Melayu Deutro.

            Gelombang pertama dikenali sebagai Melayu-Proto yang berlaku kira-kira 2500 tahun Sebelum Masehi,Kira-kira dalam tahun 1500 tahun Sebelum Masehi, datang pula gelombang kedua yang dikenali sebagai Melayu-Deutro. Mereka mendiami daerah-daerah yang subur di pinggir pantai dan tanah lembah Asia Tenggara. Kehadiran mereka ini menyebabkan orang-orang Melayu-Proto seperti orang-orang Jakun, Mahmeri, Jahut, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok kecil yang lain berpindah ke kawasan pedalaman. Justeru itu, Melayu-Deutro ini merupakan masyarakat Melayu yang ada pada masa kini.

            Orang Neggrito merupakan penduduk paling awal di Kepulauan Melayu, dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunnan. Mereka dikatakan berada di sini sejak 1000 SM berdasarkan penerokaan arkeologi di Gua Cha,Kelantan. Daripada orang Negrito telah diperturunkan orang Semang yang mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit gelap,berambut kerinting, bermata bundar,berhidung lebar, berbibir penuh, serta saiz badan yang pendek, keturunannya orang Asli di semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.
Menurut pendapat Asmah Haji Omar, sebelum perpindahan penduduk dari Asia berlaku,kepuluan Melayu (Nusantara) ini telah ada penghuninya yang kemudian di namai sebagai penduduk asli. Ada ahli sejarah yang mengatakan bahawa mereka yang tinggal di semenanjung Tanah Melayu ini dikenali sebagai orang Negrito.Orang Negrito ini diperkirakan telah ada sejak tahun 8000 SM (sebelum masihi ), mereka tinggal di dalam gua dan mata pencarian mereka memburu binatang. Alat perburuan mereka diperbuat daripada batu dan zaman ini di sebut sebagai zaman Batu pertengahan. Di kedah sebagai contoh,pada tahun 5000 SM,iaitu pada zaman paleolit dan mesolit,telah didiami oleh orang Austronesia yang menurunkan orang Negerito,Sakai,Semai dan sebagainya.

            Asal yang kedua ialah Melayu-Proto.Berdasarkan pendapat yang mengatakan bahawa orang melayu ini berasal dari Asia Tengah, perpindahan tersebut (yang pertama) diperkirakan pada tahun 2500 SM,mereka ini kemudian dinamai sebagai Melayu-Proto, peradaban orang melayu-proto ini lebih maju sedikit daripada orang Negrito. Orang Melayu-proto telah pandai membuat alat bercucuk tanam,membuat barang pecah belah, dan alat perhiasan kehidupan mereka berpindah randah. Zaman mereka ini dinamai Neolitik atau Zaman Batu Baru.Terdapat satu lagi persamaan antara Melayu Proto dimana dikenali sebagai Melayu Negosiddek dimana kebanyakan terdapat disebuah pulau yang di kenali sebagai Pinang,Melayu Negosiddek ini mahir dalam bidang lautan tetapi tidak pandai berenang.

Kumpulan ketiga dikenali sebagai Melayu Deutro. Perpindahan penduduk yang kedua dari Asia yang dikatakan dari daerah Yunan diperkirakan berlaku pada tahun 1500 SM. Mereka dinamai Melayu-Deutro dan telah mempunyai peradaban yang lebih maju daripada melayu proto. Melayu-Deutro telah mengenal kebudayaan logam, mereka telah menggunakan alat perburuan dan pertanian daripada besi.Zaman mereka ini dinamai Zaman Logam,mereka hidup di tepi pantai dan menyebar hampir di seluruh kepulauan melayu ini.Kedatangan orang melayu-Deutro ini dengan sendirinya telah mengakibatkan perpindahan orang melayu-proto ke pendalaman sesuai dengan cara hidup mereka yang berpindah randah.berlainan dengan melayu-proto,melayu deutro ini hidup secara berkelompok dan tinggal menetap di sesuatu tempat.mereka yang tinggal tepi pantai hidup sebagai nelayan dan sebahagian lagi mendirikan kampung berhampiran sungai dan lembah yang subur.hidup mereka sebagai petani dan memburu binatang.orang melayu deutro ini telah pandai bermasyarakat,mereka biasanya memilih seorang ketua yang tugasnya sebagai ketua pemerintahan dan sekaligus ketua agama,Agama yang mereka anuti itu ialah animisme.Keturunannya orang Melayu di Malaysia dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto.Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto.Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia. Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.


ii.         Bangsa Melayu berasal dari Nusantara (Teori Nusantara)

Teori ini disoking oleh sarjana-sarjana seperti J.Crawfurd,K.Himly, Sutan Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf.Teori ini adalah disokong dengan alasan-alasan seperti di bawah.
1)         Bangsa Melayu dan Bangsa Kawa mempunyai tamadun yang tinggi
Pada abab ke 19,Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama. Pekara ini menunjukan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana,tetapi berasa dan berkembang di Nusantara.
2)         K.Himly tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu serumpun dengan Bahasa Champa. BaginyaPersamaan yang berlaku di kedua-dua bahasa adalah satu fenomena ” ambilan ”.
3)         Manusia Kuno Homo Soloinensis dan Homo Wajakensis terdapat di pulau jawa. Penemuan manusia kuno ini di pulau jawa menunjukkan adanya kemungkinan orang melayu itu keturunan daripada manusia kuno tersebut yakni berasal daripada jawa dan mewujudkan tamadun bersendirian.
4)         Bahasa di Nusantara (Bahasa Austrinesia ) mempunyai perbezaan yang ketara dengan bahasa di Asia Tengah (Bahasa Indo-Eropah ). Sejarah Asal Usul Bangsa Melayu Dalam buku Sejarah Melayu disebut bahwa Melayu adalah nama sungai di Sumatera Selatan yang mengalir disekitar bukit Si Guntang dekat Palembang. Si Guntang merupakan tempat pemunculan pertama tiga orang raja yang datang ke alam Melayu. Mereka adalah asal dari keturunan raja-raja Melayu di Palembang (Singapura,MalakadanJohor),MinangkabaudanTanjungPura.
Sejarah Melayu (Malay Annals) merupakan karya tulis yang paling penting dalam bahasa Melayu yang merupakan sumber yang otentik untuk informasi mengenai ke-Melayu-an. Disusun sekitar tahun 1612 tetapi didasarkan catatan-catatan yang lebih tua. Disebut juga bahwa anggota kerajaan Malaka menyebut diri mereka keturunan Melayu dari daerah Palembang. Seperti keluarga raja-raja di Negeri Sembilan yaitu: Yang Dipertuan Ali Alamsyah yang dianggap keturunan langsung dari Raja Minangkabau terakhir. Pada waktu itu sebutan Melayu merujuk pada keturunan sekelompok kecil orang Sumatera pilihan. Seiring dengan berjalannya waktu definisi Melayu berdasarkan ras ini mulai ditinggalkan.
Definisi Melayu menjadi berdasarkan budaya dan adat, dimana orang Melayu adalah orang yang mempunyai etika, tingkah laku dan adat Melayu. Pada waktu Islam mulai dianut didaerah Sumatera dan Semenanjung Malaka, keyakinan dan ketaatan terhadap agama islam menjadi salah satu ciri khas dari orang Melayu. Pada abad ke-18, William Marsden menyebutkan bahawa dalam percakapan sehari-hari, penyebutan bangsa Melayu adalah sama dengan sebutan bangsa Moor di India dalam artian ketaatannya terhadap agama Islam.

Kesimpulannya asal usul bangsa melayu ada tiga kumpulan iaitu orang Negrito,Melayu Proto dan Melayu Deutro, manakala terdapat dua teori iaitu Bangsa Melayu Berasal daripada Yunnan (Teori Yunnan) dan Bangsa Melayu Berasal daripada Nusantara (Teori Nusantara).




2.2       Justifikasi Asal Usul orang Melayu

Fantasi Yunnan masih menjadi pegangan mereka yang bertuankan teori bahawa Melayu itu asalnya daripada Yunnan. Mengikut perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu , Melayu ditakrifkan sebagai orang di Tanah Melayu yang mengamalkan kebudayaan Melayu dan beragama Islam. Takrif ini bukan sahaja kabur, tetapi juga menyempitkan makna Melayu yang asalnya bukan sahaja merujuk kepada orang Melayu di Tanah Melayu, tetapi juga orang Melayu serumpun di luar Tanah Melayu.

Orang yang serumpun dengan orang Melayu di tanah Melayu dan berada di tanah, tetapi bukan Islam dengan serta-merta menjadi orang bukan Melayu sehingga istilah Bumiputera diperkenalkan bagi merangkumi Melayu yang tidak Islam, seperti orang asli. Perlembagaan ini diperluaskan kepada Perlembagaan Malaysia apabila Sabah, Sarawak dan Singapura bercantum dengan tanah Melayu menjadi Malaysia pada 1963, dengan mengusutkan lagi makna Melayu. Mungkin ini yang menjadi punca kenapa suku kaum peribumi Sabah dan Sarawak hilang asal-usulnya.

Apa yang ingin ditekankan di sini ialah benarkah Melayu itu asalnya daripada Yunnan? Pendapat ini lahir kerana teori evolusi kononnya orang tertua di dunia ialah ‘Orang Peking’. Daripada orang Peking inilah, manusia mula berevolusi dari zaman ke zaman. Pandangan ini disangkal dan tidak sahih apabila terbukti fosil ‘Orang Peking’ itu adalah palsu.

Dari segi bahasa juga terdapat perbezaan ketara antara bahasa Melayu Purba dengan bahasa Yunnan sehingga teori ini tidak dapat dipertahankan lagi. Bahasa Melayu tidak ada kesamaan langsung dengan bahasa Yunnan tetapi lebih dekat dengan bahasa penduduk kepulauan Pasifik dan Peribumi Sabah dan Sarawak. Malah ada yang mendakwa bahawa Bahasa Melayu dekat dengan Bahasa Sanskrit, bahasa penduduk Aryan yang datang daripada Iran ke utara India untuk menyebarkan agama Hindu.

Sekiranya diperhalusi dengan lebih dalam, Ibnu Attir dengan beraninya mengangkat Melayu ini datangnya daripada keturunan Nabi Ibrahim, daripada isterinya Keturah. Daripada keturunan Keturah ini juga diketahui bahawa lahirnya bangsa pembina tamadun hebat seperti bangsa Median.

Cukuplah kita hayati petikan daripada kitab Ibnu Attir itu sendiri:

“Adapun Bangsa Melayu berasal dari isteri ketiga Nabi Ibrahim as yang bernama Siti Qanturah. Dari pernikahan ini dikurniakan 6 anak - Zimran, Jokshan, Medan, Midian, Ishbak dan Shuah. Dari keturunan inilah berkembang-biak Bani Jawi - Bani (Kaum/Kelompok) JiWi (Ji = satu ; Wi = Widhi atau Tuhan). Jadi makna Bani Jawi (JiWi) adalah kaum yang meyakini adanya satu Tuhan.”

(Ibnu Athir al-Jazari, Kitab al-Kamil fi at-Tarikh)

Melayu dan Austronesia

Berdasarkan buku kajian Walace, seorang pakar Antropologi dan Sejarah dunia daripada Universiti Oxford (1863), bukunya yang bertajuk The Malay Archipelago, beliau mentakrifkan penduduk gugusan Kepulauan Melayu sebagai rantau Asia Tenggara yang hampir-hampir berbentuk segi tiga, bermula di Pulau Nikobar di Timur Laut ke Pulau Solomon di Tenggara, dan dari Luzon di Utara ke Rotti dekat pulau Timor di Selatan. Kawasan yang luas itu dibahaginya kepada lima kumpulan: Kepulauan Indo-Malaya, Kepulauan Timor, Kepulauan Maluku dan Kepulauan Papua.

Pada tahun 1879, untuk pengetahuan semua, parlimen Haiwaii dengan bantuan Maharaja Abu Bakar, Sultan Johor pada ketika itu telah mengusulkan satu usul yang bertajuk, “Penyatuan Dunia Melayu.” King Kalākaua, seorang raja kerajaan Hawaii yang bebas pada ketika itu, merupakan antara orang yang mencadangkan penyatuan tersebut. Katanya. Bangsa Melayu yang meliputi daripada Kepulauan Pasifik sehinggalah ke Kepulauan Melayu di Asia Tenggara haruslah bersatu membentuk Pan-Malay Unity, dan kesatuan itu diharap mampu mengelak daripada penjajahan. Tambah mengagumkan, ketika itu Maharaja Abu Bakar sempat menghadiahkan senaskah Al-Quran kepada King Kalakua dan isterinya serta anak perempuannya, Queen Emma dan Princess Pauahi. Penyatuan bangsa Melayu ini turut dikuatkan dengan kebangkitan revolusi di Filipina yang diketuai oleh Jose Rizal. Ketika itu, orang Filipina belum disepanyolkan oleh bangsa Sepanyol. Mereka masih mengenali diri mereka sebagai Melayu. Jose Rizal diberi jolokan oleh orang Filipina sebagai “PRIDE OF MALAY RACE” dan “The Great Malayan”. Jose Rizal pernah menulis di dalam bukunya seharusnya bangsa Filipina di masukkan dalam kesatuan Nusantara dan Bangsa Melayu yang ketika itu kuat bertiup di Tanah Melayu dan Indonesia. Katanya, mereka bangsa Filipina adalah serumpun dan seharusnya dimasukkan ke dalam kategori tersebut.. Kemudian munculnya Apolinario Mabini di Manila mencadangkan “Federation Malaya.”  



Melayu sememangnya terkenal dengan pembinaan kerajaan-kerajaan agung mereka. Srivijaya misalnya telah berjaya menyatukan seluruh alam Melayu ini daripada Madagascar hingga ke selatan Taiwan berdasarkan catatan Nehru (1963) yang merupakan seorang sejarahwan India.


Hanya Majapahit yang diperintah oleh suku Jawa sahaja merupakan kerajaan Melayu yang terasing daripada empayar Sriwijaya. Namun, jatuh sahaja empayar Sriwijaya, Majaphit menuntut hampir 1/3 empayar Sriwijaya yang pernah terbentang luas.

Champa dan Funan di Indochina misalnya merupakan kerajaan Melayu yang pernah menguasai wilayah itu sebelum orang Viet, Khmer dan Thai yang merupakan pelarian daripada selatan China datang dan menghambat mereka ini hingga ke tanah Melayu. Oleh sebab itu, lahirlah teori bahawa orang Kelantan dan Jawa itu asalnya merupakan pendiri Kerajaan Champa. Oleh sebab itu juga, orang Kelantan dan Jawa berkongsi budaya Melayu yang sama seperti BATIK dan WAYANG KULIT.

Terdapat juga kerajaan Melayu Purba lain yang tercatat dalam catatan China seperti Langkasuka pada abad ke-2 Masehi, Pan Pan (utara Segenting Kera) pada abad ke-5 Masihi, Senggora (Tanah Merah, sekarang di Thailand Selatan) dan Zhu Bo (yang terletak Pulau Jawa sekarang. Kesemua catatan di atas membuktikan bahawa kerajaan orang Melayu sebenarnya telah lama bertapak di Tanah Melayu sejak sekian lamanya.

Sebagai kesimpulannya,boleh dikatakan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana tetapi telah lama wujud di Tanah Melayu ini. Kajian daripada UKM misalnya menunjukkan bahawa orang Melayu telah berada di Tanah Melayu ini sejak 40000 tahun lampau dan bukannya berhijrah daripada China menurut sesetengah teori. Dikatakan bahawa Melayu Kelantan dan Minang adalah keturunan Melayu yang paling asli.

















3.0       HUBUNGKAIT TASAWUR MASYARAKAT MELAYU BERDASARKAN 10
            RANGKAP PANTUN BUDI Melayu

3.1       Pengenalan

Pantun boleh dikonsepsikan sebagai satu pengucapan kemelayuan yang terkandung di dalamnya seluruh kebijaksanaan, jiwa, seni, budi bahasa dan pandangan Melayu.  Menurut Dr Mohd Taib Osman, 1978 pantun juga termasuk dalam puisi Melayu tradisional.  Sebagai puisi ia merupakan pernyataan melalui bahasa indah yang berperanan untuk berfalsafah terhadap hidup manusia, menyatakan isi hati, mengutarakan nasihat atau sekadar menyerikan majlis.  Pantun dianggap sesuatu yang konservatif kerana ia menggambarkan ketajaman keintelektualan dan nilai-nilai masyarakat Melayu tradisi.  Sebagai salah satu bentuk puisi yang wujud dalam situasi kelisanan, pantun memanifestasikan pemikiran, norma, dan puitika lisan.  Kesinambungan pantun telah mendorong masyarakat Melayu menelusuri pantun untuk menjadi wadah luahan rasa hati dalam menyampaikan sesuatu mesej.
Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan, "Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau umpama." Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu panuntun yang bermaksud pembimbing/penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam masyarakat tersebut.Manakala menurut Dr. Ghazali Dunia “erti pantun asalnya ialah umpama : sepantun maksudnya seumpama seperti dalam : sepantun ayam kehilangan induk, kami sepantun balam, mata terlepas badan terkurung”. Kamus Dewan pula menjelaskan pantun ialah sejenis puisi lama yang terdiri dari empat baris dalam tiap-tiap rangkap.
Pantun mempunyai pelbagai variasi seperti pantun budi, jenaka, dan nasihat. Dalam hal ini, saya hanya memfokuskan kepada pantun budi.  Persoalan yang timbul adalah apakah yang dimaksudkan dengan budi dan mengapa masyarakat Melayu menjadikan budi sebagai tradisi budayanya.  Pengertian budi kepada orang Melayu meliputi suatu ruang yang amat luas bagi menyatakan unsur-unsur kebaikan dan kehalusan mengikut nilai-nilai yang dipupuknya.  Nilai budi lahir dari akal pemikiran, hati dan perasaan yang mahukan sesuatu kebaikan dari seseorang. Manakala,  budi dalam perkataan Sanskrit, bererti asas-hikmah, dan di dalam ilmu kejawen, budi diibaratkan sebagai pelita atau obor, yang menyinari jalan yang ditempuh oleh manusia (R. Paryana Suryadipura; 1993 : 176-177 ).
 Masyarakat Melayu menganggap orang yang banyak berbudi akan dikenang sampai mati.  Budi tidak hanya tertumpu pada budi pekerti sahaja malahan mencakupi budi bicara atau bahasa dan hati budi atau akal budi.  Dalam pantun budi terkandung nasihat dan pengajaran kepada manusia agar hidup berbudi dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam hidup.

3.2       Analisis Hubung kait Tasawur Masyarakat Melayu Berdasarkan 10 Rangkap Pantun Budi Melayu
           

Apakah yang dimaksudkan dengan budi dan mengapa budi begitu dijunjung tinggi dalam masyarakat Melayu.  Manusia mempunyai perspektif yang tersendiri dalam memperlihatkan nilai budi dalam hidup.  Budi mempunyai pengertian falsafah yang tersendiri iaitu kebaikan manakala dari sudut epistemologi, budi disingkap daripada perkataan Sanskrit yang bermaksud asas hikmah.  Konsep budi sebagai ‘alam jiwa’ terdapat dalam lingkungan budaya.  Budi adalah alam jiwa dan daya adalah gerak laku fizikal. Masyarakat Melayu tradisional menganggap konsep budi bukan sekadar sebagai struktur dalaman bahkan juga dapat digunakan di dalam hubungan social mereka. Menurut Zainal Kling (1995), beliau berpendapat bahawa manusia Melayu melihat rupa berbentuk budi iaitu sifat peribadi yang mengandungi pemikiran dan rasa.

Budi mengandungi rangkaian yang bersiratan iaitu akal budi, hati budi, budi bicara, budi bahasa, dan budi pekerti.  Keseluruhan rumpun budi dapat dikesan di dalam konteks kehadiran dan kewujudan manusia serta masyarakat dan budaya.  Gugusan budi meliputi hubungan sosio-budaya dan spiritual.  Manusia berbudi kepada Tuhan, bangsa dan tanah air, alam, masyarakat, keluarga dan diri sendiri. Manusia mengukur keperibadian seseorang berdasarkan budinya sehinggakan mengenang orang yang berbudi sampai mati.  Persoalan budi dibawa mati pada rangkap pertama pantun Melayu Sastera Rakyat bukan sekadar membawa maksud budi bahasa dan budi pekerti sahaja tetapi keseluruhan konsep budi yang berpaksikan ketuhanan kerana budi merupakan pancaran dalaman(batiniah).  Orang Melayu sering diingatkan agar melakukan kebaikan sama ada menerusi amal ibadat, amal jariah, doa dan pembacaan talkin.

Dalam tradisi masyarakat Melayu, budi dilihat sebagai sesuatu yang amat tinggi nilainya sehingga tidak mampu ditandingi dengan kemewahan material semata-mata. Penerapan nilai budi untuk melahirkan masyarakat Melayu yang berhati mulia, beradab, bijaksana dan tahu membalas budi adalah satu aspek yang amat penting.  Budi dan budiman merupakan teras humanisme, moraliti dan etika Melayu yang bertunjangkan akidah yang mampu meletakkan manusia ke darjat tertinggi.  Manusia yang berbudi akan menjaga segala adab dalam pertuturan dan percakapan. Seperi yang dilihat dalam Pantun Mastika halaman 8-9 rangkap pertama iaitu yang baik hanya budi, yang indah hanya bahasa.  Di sini budi bahasa ialah di antara aspek peribadi sesorang yang dinilai tinggi oleh masyarakat. Kehalusan peribadi tersebut dapat di lihat dalam pertuturan dan pemilihan kata-kata yang digunakan.  Orang yang berbudi bahasa akan menggunakan ganti nama yang sesuai apabila berbicara dan bahasa yang diucapkan penuh dengan keindahan, benar dan baik.

Yang kurik hanya kundi,
Yang merah hanya saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah hanya bahasa.
                                                            (Mastika, halaman 8-9)


Selain itu,  budi juga menjadi struktur yang menjadi penghubung dan pembimbing kepada masyarakat, bangsa dan negara.  Seperti yang dipaparkan dalam pantun budi Kumpulan Pantun Melayu (1983) iaitu tegak bangsa kerana budi, runtuh budi hilanglah bangsa. Menerusi baris pantun ini, budi ialah orientasi nilai yang mengukuhkan setiap bangsa.  Budi dan bangsa sering dikaitkan bersama ibarat isi dengan kuku. Hal ini disebabkan manusia menilai kekuatan sesuatu bangsa berdasarkan budi anggota masyarakatnya.  Tanpa orientasi nilai ini, keseluruhan batas-batas kehidupan akan runtuh. Aspek kehidupan berbudi begitu penting di dalam kehidupan seperti yang diungkapkan dalam pantun ini dan jelas menunjukkan bahawa budi adalah antara aspek utama dalam mewujudkan interaksi serta hubungan sesama manusia di dalam masyarakat.
                       
           
Tegak rumah kerana sendi,
                        Runtuh sendi rumah binasa;
Tegak bangsa kerana budi,
Runtuh budi hilanglah bangsa.
                                                                                    ( Kumpulan Pantun Melayu, 1983)


Pantun budi Melayu dipetik daripada Kumpulan Pantun Melayu memaparkan kepada kita bahawa di dalam kehidupan ini manusia yang tidak mempunyai nilai budi bahasa atau budi pekerti yang tinggi ibarat pokok yang tidak berbuah.  Dalam konteks ini berbudi dalam kehidupan umpama pokok kerana pokok yang berguna adalah pokok yang berbuah.  Manusia yang berbudi akan disanjung tinggi oleh masyarakat sekelilingnya dan mereka yang tidak berbudi dianggap sebagai satu penghinaan.  Hal ini disebabkan hidup berbudi sudah menjadi suatu yang fitrah atau semula jadi yang tidak dapat dielakkan dan perlu dilaksanakan.  R.O Winstedt menamakan ini sebagai intelligent common sense dan merupakan satu-satunya asas yang harus dimiliki oleh setiap orang.  Perasaan kasih, cinta dan sayang akan terbit daripada ketulusan hati manusia yang berbudi.  Di sini, keperibadian seseorang dapat diukur melalui kehalusan budi yang dimiliki.

Cahaya redup menyegar pagi,
                        Ayam berkokoh mengikut tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
                        Umpama pokok tidak berbuah.
                                                                                    (Kumpulan Pantun Melayu, 1983)

Walaupun nilai budi tidak kelihatan namun perkara yang nyata ialah budi tidak lagi ditempatkan pada tahap tertinggi di dalam hierarki nilai orang Melayu pada masa kini. Apabila jasa dan tenaga telah dijual beli, konsep budi masyarakat Melayu turut mengalami banyak perubahan.  Status seseorang itu kini dinilai dari segi harta, wang ringgit dan pangkat.  Mereka yang berharta itulah dianggap tinggi martabatnya dan budi pekerti akan ditolak ke tepi.  Lambang perubahan itu ditunjukkan dalam baris Pantun Melayu Sastera Rakyat halaman 13 iaitu sebab emas budi terbuang.   Dalam konteks perbincangan ini, penjelasan diberikan bahawa sungguhpun masyarakat Melayu mementingkan kolektisme dalam kehidupan, namun terserlah jua bahawa materialisme begitu penting sehingga mampu mengatasi nilai-nilai murni.  Walaupun harta itu perlu di dalam kehidupan, tetapi jika kesemua ini diberikan perhatian yang lebih hingga mengabaikan budi juga boleh merosakkan kehidupan manusia.

Bunga Cina di atas batu,
                        Jatuh daunnya ke dalam ruang;
Adat dunia memang begitu,
                        Sebab emas budi terbuang.
                                                                        (Pantun Melayu Sastera Rakyat, halaman 13)

Persoalan kebudian juga dinyatakan dalam pantun budi dalam rangkap enam yang dipetik daripada Kumpulan Pantun Melayu (1983).  Peribadi yang terpancar daripada gugusan budi tidak hanya menuntut manusia untuk berbudi dan berjasa bahkan juga memiliki satu sifat merendah diri.  Sikap merendah diri dalam masyarakat Melayu haruslah menunjukkan kehalusan peribadi yang telah diterapkan oleh adab dan adat. Persoalan jikalau tidak bahasa dan budi, apa guna kaya berdaulat ini menyatakan mengenai orang yang kaya dan berkuasa turut tidak terlepas daripada memiliki budi. Mereka yang berkuasa juga perlu memiliki sikap merendah diri sesuai dengan kedudukan mereka sebagai orang yang berkuasa dan kaya-raya.

Buah cempedak di hutan duri,
                        Jatuh sebiji dimakan ulat;
Jikalau tidak bahasa dan budi,
                        Apa guna kaya berdaulat.
                                                                        (Kumpulan Pantun Melayu,1983)      

  Berbelok di Tanjung Beringin,
Kemudi patah dilentar;
Elok orang hati tak ingin,
Budi bahasa haitiku hancur.

Rangkap pantun di atas berkaitan dengan perasaan manusia atau hakikat manusia secara psikologi yang meneliti perlakuan manusia secara eksistensialisme.  Pandangan ini menekankan keperibadian sebenar manusia dalam masyarakat.  Pencernaan peribadi manusia dapat dilihat dalam pertuturan pemilihan kata-kata yang digunakan.  Orang yang berbudi-bahasa misalnya menggunakan gantinama yang sesuai apabila berbicara dengan sesiapa.  Bahasa yang diucapkan penuh keindahan, bahasa tepat, baik, dan betul.


Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Budi pekerti ialah perlakuan atau tingkah laku seseorang, yang dinilai dari sudut baik dan buruk, dan lazimnya perlakuan yang baik ialah yang tertib dan sopan.  Orang yang berbudi boleh ditanggapi sebagai orang yang berepistemologi.  Perlakuan yang baik boleh diperoleh melalui ilmu tentang insan, iaitu mengetahui dan mengerti makna seorang insan tentang kedudukan dan tugasnya dalam masyarakat.  Keindahan bahasa itu datangnya daripada akal manusia yang mempunyai logos yang tinggi.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Hidup berbudi merupakan suatu yang fitrah, semulajadi, satu hukum atau peraturan alam atau sunnatullah yang perlu dilaksanakan.  Tindakan ini dinamakan budi-bicara, Winstedt juga menamakannya sebagai intelligent common sense.  Rangkap keempat pantun menerangkan bahawa manusia yang tidak berbudi adalah sehina-hina manusia.  Amalan ini seharusnya dilaksanakan secara holistik supaya mahiyyah dalam alam semesta terus kekal.




Kalau berladang menanam keladi,
Keladi dibawa ke tanah seberang;
Kalau dagang pandai berbudi,
Sampai mati dikenang orang.
Pantun ini menerangkan bahawa hidup berbudi akan terus digunakan walaupun semasa merantau atau berdagang di tempat orang, mulut juga harus sentiasa dijaga supaya diri akan tetap dikenang sehingga mati.  Mulut sebagai salah satu pancaindera adalah begitu penting, yang hanya dapat diperolehi secara imbasan atau impression yang terbentuk di dalam fikiran secara sepintas lalu dan bersifat sementara.

Baju bercorak tiada benia,
Pakaian anak Panglima Garang;
Emas dan perak pengaruh dunia,
Budi yang baik dijunjung orang.
           
Pantun di atas menerangkan tentang sifat manusia yang material.  Dari rangkap ’emas dan perak pengaruh dunia’, menjelaskan bahawa manusia melihat emas dan perak sebagai salah satu index materialisme, dan budi sebagai index non-materialisme.  Material dan materialisme itu perlu ada tetapi janganlah ia melalaikan kita.  Amalan ini seharusnya seimbang dan tidak berlebihan dalam diri untuk melahirkan manusia yang sentiasa tawaddu’ dan kasyaf.

KESIMPULAN
           
Secara tuntasnya, pantun budi yang dicipta oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu mempunyai keunikan di mana ia mempunyai maksud yang tersirat untuk difahami di sebalik baik-baik pantun yang terhasil. Pantun ini juga mengandungi nilai-nilai seperti pengajaran, nasihat dan adab berbudi mengikut cara Melayu.  Masyarakat Melayu tradisional menganggap orang yang memiliki nilai etika dan moral yang tinggi akan digelar sebagai orang yang budiman. Dalam erti kata ini, manusia yang budiman ialah manusia yang sebenarnya yang tahu mengenali dirinya, tahu menjaga harga diri dan memiliki kekuatan diri sehingga menjadi role model yang selalu diidamkan.  Sehingga kini, pantun budi masih lagi digunakan untuk mengapresiasi mereka yang banyak berbudi kepada masyarakat.





























           


BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK)

  BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK) Sosiolinguistik mengkaji hubungan bahasa dan masyarakat, yang nengaitkan dua bidang yan...

klik