Sabtu, 7 Mac 2015

APLIKASI SENI DALAM PENDIDIKAN

1.0       PENDAHULUAN
 Seni dalam pendidikan terdiri daripada mata pelajaran Pendidikan Seni Visual,Seni Muzik dan Seni Pergerakan. Mengikut Kamus Dewan Edisi baru, seni didefinisikan sebagai karya ( sajak, lukisan, muzik dan lain-lain ) yang diciptakan dengan bakat, kebolehan mencipta sesuatu yang indah. Secara tidak langsung mengakui bahawa untuk menghasilkan sesuatu produk seni, bakat, kebolehan dan penghayatan serta pemahaman yang jitu amat penting. Kebolehan adalah sesuatu yang mampu dipelajari dan dibentuk manakala bakat pula adalah sesuatu yang berdiri dengan sendiri hasil daripada kurniaan Ilahi. Kedua-dua ini saling berkait rapat di dalam menghasilkan sesuatu produk seni yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.
Dipandang daripada sudut agama, Imam Muslim melalui penulisan kitabnya, Kitab Al- Iman, menjelaskan tentang kesenangan estetik dan konsep keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui. Dalam erti kata lain, Muslim menjelaskan seni itu sebagai suatu bentuk ilmu ( pengetahuan ) di mana seseorang yang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan seni tersebut akan mencipta serta melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaannya terhadap sesuatu objek yang dihayatinya melalui karya-karya seni, ataupun setidak-tidaknya akan menghargai keindahan objek serta karya tersebut, sekiranya tidak mampu menghasilkan karya seni. Ini adalah kerana seni itu sendiri mempunyai pertalian erat di antara penggiat dan khalayak seni itu sendiri.
Menurut Herbert Read ( buku, The Meaning of Arts ) pula seni adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik ( Art is Expression ). Kesenangan estetik di sini adalah merujuk kepada konsep kesenangan yang terhasil kesan oleh penghayatan terhadap keindahan seni visual. Kepuasan, kenikmatan, kesukaan dan kegembiraan juga termasuk di dalam kesenangan ini.
Selain itu, seni dalam pendidikan juga memainkan peranan yang penting ke arah perkembangan kanak-kanak melalui peningkatan daya persepsi, estetika dan kreativitinya. Matlamatnya ialah untuk melahirkan individu yang berbudaya dengan mengamalkan pertimbangan kesenian, berjiwa kreatif, inovatif, inventif dan mempunyai jati diri yang tinggi. Penggabungan tiga jenis seni yang terdiri daripada seni visual, seni muzik dan seni pergerakan akan membantu pembentukan insan yang lebih bersifat holistik dan menyeluruh.

2.0        APLIKASI SENI DALAM PENDIDIKAN

Seni merupakan sesuatu yang subjektif untuk digambarkan. Seni itu indah dan halus. Seni dalam pendidikan merupakan sesuatu yang baru dan ianya menggabungkan tiga elemen penting. Elemen-elemen tersebut ialah seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik.
Dalam seni visual ianya lebih melibatkan lukisan, manakala seni pergerakan melibatkan penggunaan ruang dalam sesuatu aktiviti dan seni muzik pula lebih kepada interpretasi seseorang terhadap muzik yang didengari. Warna merupakan elemen yang penting dalam kehidupan. Tanpa warna kehidupan akan menjadi tidak bermakna. Semestinya, kehidupan akan menjadi bosan dan tidak menarik. Warna juga turut digunakan dalam seni dalam pendidikan iaitu dalam komponen Pendidikan Seni Visual. Warna memainkan peranan yang penting dalam menggambarkan sesebuah kebudayaan, emosi. dan maksud dalam karya seni visual.

Irama merupakan elemen yang terdapat dalam seni muzik. Irama dapat dinyatakan sebagai rentak yang berlaku secara berulang. Sesuatu irama itu boleh dinikmati sewaktu kita mendengar muzik. Irama yang menarik dalam sesuatu muzik akan mempengaruhi seseorang untuk mendengar muzik tersebut berulang kali. Dalam kehidupan kita seharian, kita semestinya akan menemui pelbagai irama. Sebagai contoh bunyi tapak kaki, bunyi degupan jantung, bunyi titisan air di singki dan sebagainya. Semua ini merupakan irama yang wujud di sekeliling kita tanpa kita sedari dan kebanyakan ianya berlaku setiap masa.. Dalam pendidikan seni, irama digambarkan sebagai sesuatu susunan corak yang berulang dan susunan sekata yang mewujudkan pergerakan.

Kanak-kanak akan mula memahami sesuatu kemahiran yang berbentuk irama sewaktu mereka melakukan aktiviti seperti melompat, bergerak ke kiri dan ke kanan, menari, melukis corak dan sebagainya. Sebenarnya irama dapat merangsang minda kanak-kanak untuk memberikan tumpuan apa yang sedang dilakukan. Tanpa kehadiran muzik, sudah semestinya sesuatu aktiviti itu menjadi hambar dan murid akan merasa cepat bosan. Selain itu, kehadiran Irama dalam aktiviti yang dilakukan secara tidak langsung menarik minat kanak-kanak untuk menyertai sesuatu aktiviti dengan lebih seronok dan bersemangat. Kanak-kanak akan merasa lebih seronok melakukan aktiviti seperti melompat sambil mengikut irama muzik.

Irama yang diaplikasikan dalam pengajaran akan menjadikan pelajar banyak melakukan pergerakan dan secara tidak langsung, elemen yang ketiga dipenuhi. Elemen-elemen seni dalam pengajaran ini menjadi satu hubung kait yang kukuh dalam menjadikan pengajaran lebih efektif dan kreatif. Kanak-kanak akan menjadi lebih terdorong untuk memahami sesuatu perkara secara seronok. Kesimpulannya, guru perlu mengambil langkah dalam memanipulasikan elemen seni dalam pengajaran supaya pengajaran mereka akan menjadi lebih berkesan.

Menurut Kenneth M.Lansing ( 1973 ) dalam bukunya Art, Artist dan Art Education menyatakan bahawa aktiviti pendidikan seni yang wujud boleh berfungsi sebagai satu cabang komunikasi. Kebolehan guru dalam menyampaikan pengajaran dan menggunakan kaedah yang betul akan dapat memenuhi keperluan. Selain itu, guru perlulah memahami dan menghayati kurikulum dan menguasai Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kemahiran guru dalam mengolah sukatan pelajaran dengan menumpukan kepada perkembangan pengetahuan dan peningkatan kemahiran tertentu dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan teknik yang sesuai. Seni Dalam Pendidikan sebenarnya memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekeliling mereka, yakni apa yang mereka lihat, sentuh, bergerak dan berfikir dalam setiap aktiviti pembelajaran yang mereka lakukan. Melalui cara ini, secara tidak langsung, ia mengajar murid untuk menguruskan sumber imaginasi, kreativiti, pemikiran, serta emosi dengan lebih efektif dan proaktif.










3.0        Aktiviti Seni Dalam Pendidikan dapat meningkatkan perkembangan jasmani,
Emosi, rohani, intelek, sosial dan estetika kanak-kanak.

3.1  Seni Visual
Sememangnya tidak dapat disangkal lagi bahawa seni visual amat penting dalam perkembangan kanak-kanak seperti perkembangan dari segi jasmani, emosi, rohani ,intelek, nilai estetika dan sosial kanak- kanak . Pendidikan Seni Visual memainkan peranan yang besar sekali dalam menjayakan matlamat Falsafah Pendidikan Negara tersebut.
Dalam Pendidikan Seni Visual, perkembangan kognitif ini sebenarnya mempunyai hubungan dengan kemampuan seseorang murid itu berfikir termasuk kemampuan memahami, menghafal, mengaplikasi dan menganalisis. Menurut Taksonomi Bloom (Sax 1980), kemampuan kognitif adalah kemampuan berfikir secara hierarki yang terdiri dari pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan evaluasi.
 Penghasilan lukisan oleh murid- murid di sekolah rendah mempunyai interpretasi yang berbeza dengan yang dihasilkan oleh orang dewasa. Bagi mereka, hasil seni yang dihasilkan lebih berupa kepada hasil luahan dan expresif. Di sekolah rendah, hasil seni yang dihasilkan oleh kanak- kanak dapat digunakan untuk melihat bagaimana caranya mereka berfikir dan menyelami perasaan mereka selain melihat dan menguji keupayaan perkembangan kognitif mereka.
Jika kita lihat contoh aktiviti dalam membentuk dan membuat binaan iaitu aktiviti membina kad ucapan, jelas menunjukkan bahawa murid- murid dapat mengaplikasikan apa yang telah difahami dalam menghasilkan kad ucapan dengan mewarna kad tersebut. Murid mampu berfikir tentang proses kerja seterusnya sehinggalah terhasilnya sebuah kad ucapan yang indah dan kreatif berdasarkan kemampuan kognitif mereka sendiri. Ini menunjukkan bahawa, aktiviti- aktiviti seni yang tersusun dan terancang dapat melahirkan murid yang mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah. Selain daripada itu, mereka juga akan mampu untuk membuat penilaian dan bijak membuat keputusan.
Perkembangan kognitif dalam proses kerja murid dalam menghasilkan karya seni adalah selaras dengan matlamat membentuk generasi Malaysia yang imaginatif, inovatif dan inventif. Dengan penghasilan karya- karya seni, murid dapat menghargai keindahan alam sekitar, rasa kesyukuran kepada Tuhan di atas seni yang dihasilkan dan meningkatkan keindahan seni yang dapat menyumbang kepada pembangunan diri seperti yang dinyatakan dalam objektif kurikulum pendidikan seni visual sekolah rendah yang ketiga iaitu meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin serta kemahiran dalam bidang seni visual yang dapat diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya.
  Dalam mata pelajaran pendidikan seni visual, kanak- kanak diajar untuk mengawal dan melatih jasmani mereka dalam menghasilkan karya seni. Ini kita dapat lihat dalam aktiviti seni dalam bidang yang diajar seperti aktiviti melukis, menganyam, membentuk dan membuat binaan, membuat corak dan pelbagai lagi.
Aktiviti- aktiviti seni dalam ke empat- empat bidang banyak menggunakan kemahiran jasmani dalam penghasilan seni. Kita ambil contoh aktiviti membina kad ucapan. Melukis pada kad dengan teknik tulisan yang pelbagai dan dilukis berbunga adalah menunjukkan perkembangan Psikomotor yang positif. Menurut Ibrahim Hassan (2001) Pendidikan Seni Visual sekolah rendah memupuk pertumbuhan kemahiran dalam pergerakan atau gerak balas yang boleh terbentuk melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan meningkatkan kualiti koordinasi antara mata, tangan, otot dan mental.
  Kerohanian dan emosi yang baik  sangat penting dalam diri seseorang individu. Kerohanian merupakan sesuatu yang berkaitan dengan sikap dan nilai dalam diri . Dalam Pendidikan Seni Visual, aspek afektif ini mencakupi perasaan, minat, sikap, emosi dan nilai. Dalam penghasilan karya, murid di sekolah rendah tidak kira peringkat umur akan mempunyai perasaan terhadap sesuatu yang ingin dihasilkan. Minat akan menjadi fokus utama jenis karya yang bakal dihasilkan. Manakala emosi pula banyak mempengaruhi semasa proses kerja karya tersebut dan nilai yang dapat ditunjukkan adalah nilai menghargai warisan, sahsiah yang baik dan rasa kesyukuran. Ini jelas menunjukkan bahawa kerohanian  ini menekankan kepada kepentingan emosi dan perasaan.             
   Justeru itu, seseorang murid yang mempunyai nilai kerohanian dan kestabilan emosi yang tinggi dalam Pendidikan Seni Visual akan dapat dilihat menerusi berbagai tingkah laku. Antaranya adalah seperti, pemerhatian murid tersebut terhadap mata pelajaran Pendidikan Seni Visual, disiplinnya dalam menyediakan bahan seni yang diperlukan, mempunyai motivasi yang tinggi terhadap mata pelajaran seni  dan penghargaan terhadap alam sekitar dan kesyukuran ditunjukkan dalam karya yang dihasilkan.  Fokus utama murid-murid dalam aktiviti- aktiviti seni adalah meluahkan perasaan dalam karya dan memiliki motivasi yang sangat tinggi sehingga tumpuan diberikan seratus peratus terhadap karya yang ingin dihasilkan. Ini mempunyai perkaitan dengan matlamat Pendidikan Seni Visual iaitu menghargai keindahan seni dan objektif kurikulum Pendidikan Seni Visual menunjukkan penghargaan terhadap keindahan dan menjadikan bidang seni visual sebagai prospek kerjaya.

 Dalam Pendidikan Seni Visual, nilai estetika  pula merujuk kepada proses yang berterusan dalam menghasilkan sesuatu yang baru dan asli. Murid- murid sekolah rendah mempunyai nilai imaginatif yang tinggi tidak kiralah murid tersebut di tahap satu mahupun di tahap dua. Masing- masing akan mempunyai kreativiti yang berbeza dalam meluahkan penghasilan seni. Ini bermakna dalam pendidikan seni visual, murid- murid mampu berfikir dengan kreatif dan kritis dalam memperkembangkan hasil seni mereka.
 Dalam Pendidikan Seni Visual, murid- murid di sekolah dapat melibatkan diri dengan pelbagai proses kerja seni yang banyak melibatkan aktiviti kreatif dan proses mengembangkan idea dalam diri mereka. Projek seperti membuat kad ucapan dari bidang membentuk dan membuat binaan dalam mata pelajaran pendidikan seni visual ini telah membantu murid ini mengembangkan domain kreativitinya.
Aktiviti menghasilkan kad ucapan seperti ini di dalam Pendidikan Seni Visual mengutamakan proses dan hasilan akhir. Oleh yang demikian, proses kerja ini menyuburkan budaya pemikiran kritikal murid di dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Selain itu, aktiviti pendidikan seni visual ini menggalakkan eksplorasi dan eksperimentasi agar murid mempunyai pengalaman luas dalam bidang penghasilan karya.  Pendidikan Seni Visual ini berupaya mengembangkan naluri ingin tahu secara eksplorasi menerusi deria. Pemikiran kreatif dan kritis akan terus dijana melalui ekspresi diri mereka.
Semua yang telah dibincangkan di atas dalam domain kreativiti adalah sejajar dengan matlamat Pendidikan Seni Visual dalam melahirkan generasi Malaysia yang imaginatif, kritis, kreatif, inovatif dan inventif. Melalui karya seni mereka, murid dapat berimaginasi, berfikir secara kreatif dan kritis, berdaya inovatif dalam menghasilkan karya yang bermutu dan inventif. 
 Dalam pendidikan seni visual, murid diberi peluang berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial. Interaksi dan keupayaan bersosial ini dapat meningkatkan keyakinan diri murid-murid.  Aktiviti pendidikan seni visual seperti ini memberikan peluang kepada murid untuk saling hormat- menghormati dan menjadi landasan untuk memupuk perasaan bertoleransi. Dalam domain sosial pendidikan seni visual, semangat bekerjasama di dalam aktiviti berkumpulan dapat dibentuk.
Perkembangan sosial murid- murid secara positif dapat dibentuk dengan perkongsian ilmu melalui gerak kerja berkumpulan dan apresiasi seni. Murid- murid bukan sahaja berkongsi idea malah dapat menambah baik penghasilan seni mereka. Hubungan sosial yang dibentuk di antara rakan sebaya semasa proses kerja seni yang dijalankan secara tidak langsung dapat menyemai nilai menghormati, kerjasama dan saling bantu-membantu. Perkembangan sosial yang berlaku adalah selaras dengan matlamat dan objektif pendidikan visual  melahirkan social yang seimbang dan harmonis yang mempunyai nilai social yang tinggi sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara.




Rumusan
Konklusinya, seni dalam pendidikan banyak meninggalkan kesan terhadap pendidikan dan mempunyai cabaran dalam merealisasikannya. Walaupun begitu, seni dalam pendidikan jelas menunjukkan ciri-ciri pendekatan yang efektif yang mampu meningkatkan keberkesanan prestasi murid-murid di dalam bilik darjah. Sehubungan dengan itu, guru perlu menjayakan seni dalam pendidikan dengan mengaplikasikannya dalam setiap kali pengajaran dan pembelajaran.
Selain itu, perkembangan pendidikan di Malaysia yang semakin pesat ini adalah hasil daripada minat ibu bapa yang tinggi terhadap perkembangan pendidikan dan persekolahan anak-anak mereka baik di peringkat prasekolah, pendidikan rendah, menengah dan juga di institusi pengajian tinggi. Kesedaran tersebut adalah implikasi daripada kesedaran mengenai kepentingan pendidikan bagi memajukan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan yang semakin sengit. Oleh itu, peranan daripada pihak pendidik, ibu bapa, dan pelajar itu sendiri amatlah penting bagi menghadapi liku kehidupan. Dalam erti kata yang lain, penggunaan seni dalam pendidikan mungkin mampu mengurangkan kerisauan pihak tertentu terhadap pendidikan negara Malaysia.

Akhir sekali, pihak perancang pendidikan perlu melihat isu-isu dan cabaran yang berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif. Menyelesaikan masalah secara runcitan dan memberi tumpuan kepada aspek tertentu dan mengurangkan tumpuan kepada aspek lain yang akan menghalang pelaksanaan pendidikan kita seperti pengaplikasian seni dalam pendidikan terutama bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri. Sehubungan itu, semua pihak perlulah terbuka dalam menerima seni dalam pendidikan melalui pembelajaran hari ini. Dalam erti kata yang lain, pendidik perlu bersatu padu dalam menggembleng tenaga serta berusaha mengambil inisiatif dan langkah drastik bagi memenuhi keperluan pendidikan sejagat selaras kehendak negara dalam memacu wawasan 2020.

BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK)

  BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK) Sosiolinguistik mengkaji hubungan bahasa dan masyarakat, yang nengaitkan dua bidang yan...

klik