1.0 PENDAHULUAN
Menurut
Hashim Awang (1985), sastera tradisional juga dapat dikenali sebagai sastera
rakyat yang lahir di kalangan masyarakat pada zaman lampau yang mengamalkan
gaya hidup tradisional. Sastera tradisional telah menjadi warisan kepada
generasi yang seterusnya. Sastera tradisional tidak mempunyai bentuk, plot,
ciri, gaya dan teknik yang tertentu dan sastera tradisional bersifat kolektik.
Sastera tradisional lahir sebagai bahan hiburan atau bahasa pertuturan untuk
kehidupan seharian masyarakat tradisi (Ismail Hussein, 1965). Antara contoh
sastera tradisional ialah pantun, syair, gurindam, cerita rakyat, teka-teki dan
seloka.
Sastera Rakyat ialah sastera yang sepenuhnya
telah dihasilkan oleh golongan rakyat jelata. Gubahannya adalah gubahan yang
begitu menarik sekali dan memang menjadi kebanggaan golongan rakyat bawahan.
Wujudnya Sastera Rakyat ini adalah semenjak sebelum masyarakat Melayu mengenali
akan sistem tulisan. Orang Melayu pada ketika itu banyak menitikberatkan
kelisanan dalam Sastera Rakyat. Kelisanan inilah yang akan menunjukkan
kehebatan dan keunikan Sastera Rakyat itu sendiri. Orang Melayu hebat berfikir,
menghafal, mentafsir, meluahkan dan mentafsirkan. Semuanya dalam lingkungan
alam terkembang menjadi guru.
Penakik pisai siraut
Ambil
galah batang lintabung
Selodang
jadikan nyiru
Nang
setitik jadikan laut
Nang
sekepal jadikan gunung
Alam
terkembang jadikan guru
Setiap bahan yang diperoleh disampaikan dari
mulut ke mulut dan menjadi tanggungjawab mereka untuk diturunkan dari satu
generasi ke satu generasi. Bila situasi ini berlaku maka terdapatlah tokok
tambah dalam bahan yang disampaikan.
Setiap tokok tambah sebenarnya adalah
menunjukkan kekreatifan orang-orang Melayu itu mengolah dan mentafsir sesuatu
bahan yang diperolehnya. Harus diingat bahawa Sastera Rakyat yang diamalkan
oleh masyarakat Melayu adalah bersifat kolektif dan kepunyaan bersama.
Masing-masing bertanggungjawab terhadap apa yang diceritakan. Setiap cerita
tidak sunyi dari pengaruh alam sekeliling. Malahan jika tidak terdapat pengaruh
alam sesuatu bahan Sastera Rakyat itu tidak menarik dan bersifat kering serta
longgar. Orang Melayu pada ketika ini juga begitu mempercayai akan animisme dan
masyarakat mereka bersifat tertutup. Tiada pengaruh dari luar. Orang Melayu
pada zaman ini lebih suka dengan apa yang mereka miliki.
Setiap karya sastera pada ketika ini adalah
milik bersama dan tiada tercatat nama pengarang, tarikh serta masanya. Tidak
wujud langsung milik perseorangan. Kebanyakan Sastera Rakyat ini mudah difahami
dan plotnya tidak berbelit-belit. Masyarakat ketika itu mementingkan akan mesej
yang hendak disampaikan. Segala unsur estetiknya lahir kemudian. Kebanyakan
Sastera Rakyat disampaikan oleh tukang-tukang cerita yang mahir serta
berkebolehan seperti Tok Selampit di Kelantan, Awang Batil di Kedah, Mir Hassan
dan Pawang Ana di Perak, Penglipur Lara di Pahang, Awang Kitang di Negeri
Sembilan dan Tukang Kenterung di Jawa. Penyampaian yang dibuat oleh tokoh-tokoh
ini begitu kreatif dan menarik sekali serta diiringi oleh alat-alat
bunyi-bunyian iaitu rebana, seruling dan sebagainya.
Hasil daripada amalan animisme yang begitu
kuat di kalangan orang-orang Melayu pada ketika itu telah melahirkan beberapa
genre seperti mantera dan melalui mantera ini diwujudkan pula jampi, serapah,
sembur, cuca dan sebagainya yang bertindak untuk menjaga keselamatan,
kesejahteraan, maruah dan kehormatan orang-orang Melayu pada ketika itu.
Lahirnya genre lain seperti teromba yang lebih bersifat undang-undang
masyarakat yang begitu kuat diamalkan di Negeri Sembilan, Naning dan
Minangkabau.
Ramai yang tidak mengetahui bahawa teromba
ini adalah genre yang terawal wujud dan di dalamnya terdapat pantun, mantera,
syair, seloka, gurindam, peribahasa, terasul, pepatah-petitih, bidalan, ungkapan,
teka-teki dan banyak lagi. Semuanya adalah bersifat berkias, menyindir dan
menguji kefahaman khalayak Melayu pada ketika itu. Ramai yang tidak merasai
bahawa kehebatan Melayu adalah terletak kepada genre seperti ini.
Genre seperti ini juga terdapat di dalam
Prosa Melayu Klasik contohnya di dalam Hikayat Malim Deman, Sejarah Melayu dan
sebagainya. Teromba juga masih diamalkan dalam masyarakat seperti Adat Perpatih di Negeri Sembilan dan
sebahagian di Melaka. Akan tetapi ianya tersebar di kalangan orang-orang Melayu
di negeri-negeri lain di Malaysia ini.
2.0 SASTERA RAKYAT DALAM MASYARAKAT MELAYU
2.1 Definisi Masyarakat Melayu
Kamus Dewan mendefinisikan Melayu sebagai suatu bangsa dan bahasa. Kata Malaya atau Malayu merupakan kependekan daripada kata hima alaya, yang menurut
kebiasaan himalaya membawa pengertian tempat salju (hima: salju, alaya: tempat).Kata
Malaya dan Malayu bermaksud dataran tinggi, gunung atau pergu- nungan.
Penduduk dari dataran tinggi atau penduduk pergunungan yang
sering dikaitkan dengan kata Malaya yang bererti pergi ke mana-mana,
mengembara dan berkelana.
Dari segi etimologi, perkataan
"Melayu" itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit
"Malaya" yang bermaksud "bukit" ataupun tanah tinggi. Ada
juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan "Melayu" berasal
dari "Sungai Melayu" di Jambi.
Istilah "Melayu" ditakrifkan oleh
UNESCO pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia,
Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar. Bagaimanapun menurut
Perlembagaan Malaysia, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada
seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Dengan kata yang
lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang Melayu adalah
orang Melayu.
Istilah Malaya dvipa muncul dalam kitab
Purana, sebuah kitab Hindu purba, yang ditulis sebelum zaman Gautama Buddha
sehingga 500 Masihi. Dvipa bermaksud "tanah yang dikelilingi air" dan
berdasarkan maklumat-maklumat yang lain dalam kitab itu, para pengkaji
beranggapan bahawa Malaya dvipa ialah Pulau Sumatera.Istilah
"Mo-lo-yu" juga dicatat dalam buku catatan perjalanan pengembara Cina
pada sekitar tahun 644-645 Masihi semasa zaman Dinasti Tang. Para pengkaji
bersependapat bahawa perkataan "Mo-lo-yo" yang dimaksudkan itu ialah
kerajaan yang terletak di Jambi di Pulau Sumatera, serta juga Sriwijaya yang
terletak di daerah Palembang.
Di Malaysia, orang Melayu didefinisikan menurut
perlembagaan dalam perkara 160(2). Menurut perkara ini, orang Melayu
ditakrifkan sebagai:
-
Seorang yang beragama
Islam
-
Bertutur bahasa Melayu
-
Mengamalkan adat
istiadat Melayu
2.2 Konsep
Masyarakat Melayu
Masyarakat menurut definisi kamus dewan
(2005) ialah kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan
aturan dan cara tertentu. Individu, keluarga dan kumpulan-kumpulan kecil
merupakan anggota sesebuah masyarakat. Jaringan erat wujud dalam kalangan
anggota tersebut, khususnya melalui hubungan bersemuka. Daripada pergaulan ini,
terbina pola hubungan sosial yang berulang sifatnya seperti kegiatan gotong
royong, bersama-sama merayakan sesuatu perayaan melalui rumah terbuka,
berkumpul menyambut pembesar yang datang berkunjung, menghadiri kenduri majlis
perkahwinan, membantu mereka yang ditimpa malapetaka atau menziarahi jiran yang
sakit tenat atau yang telah meninggal dunia. Begitu juga boleh ditafsirkan dengan
masyarakat Melayu .Kekerapan pergaulan ini membina satu kesepaduan dalam
masyarakat tersebut sebagai satu unit sosial. Dalam konteks Malaysia, hubungan
harmonis antara pelbagai kumpulan etnik dapat membina sebuah masyarakat
Malaysia yang teguh.
Masyarakat
Melayu pula mempunyai budayanya yang tersendiri yang terbentuk daripada
hubungan rapat sesama anggotanya semenjak masyarakat itu wujud. Sebagai contoh,
masyarakat Melayu kampung di kawasan luar bandar Malaysia telah wujud berpuluh
abad lamanya, semenjak sebelum kedatangan kebudayaan asing (sama ada dari
negara China, India, Tanah Arab atau Eropah). Masyarakat Melayu luar bandar
yang paling baru dibentuk pada tahun 1956 ialah perkampungan FELDA (Federal
Land Development Authority atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan).
Perkampungan FELDA adalah untuk mereka yang berpendapatan rendah.
Para sarjana sains sosial dan kajian
kemanusiaan telah menegaskan bahawa kebudayaan tidak wujud jika tidak ada
masyarakat. Pendapat ini berasaskan fakta sejagat bahawa manusia sebagai
anggota masyarakat telah bertanggungjawab mencipta, mengubah, menokok dan
melestarikan budaya, dan telah menurunkannya daripada generasi kepada generasi
untuk jutaan tahun dalam peradaban manusia sedunia. Proses mewariskan budaya
melibatkan interaksi dua generasi; pertama, generasi yang menurunkan budaya;
dan kedua, generasi yang menerima budaya.
Generasi yang menurunkannya ketika menerima budaya tersebut telah pun mengubahsuaikan nya secocok dengan keadaan persekitaran sosial dan fizikal semasa mereka. Begitu jugalah yang dilakukan oleh generasi yang menerima, iaitu anak-anak mereka pun turut mengubah suai budaya yang mereka terima berasaskan situasi sosial dan fizikal semasa. Dengan cara inilah, sesuatu budaya terus menerus diperturunkan, diubah suai dan dilestarikan sepanjang zaman, yang selanjutnya menjadi asas pembinaan sesebuah tamadun besar seperti di Mesir, negara China, India atau di wilayah yang lain.
Masyarakat yang berbudaya berkembang dengan
menurunkan dua bentuk budaya: budaya material seperti Tembok Besar China dan
Piramid di Mesir; dan budaya bukan material seperti sistem kepercayaan dan
agama, falsafah dan kesusasteraan, dan pemikiran sains serta kemampuan mencipta
teknologi. Paduan kedua-dua komponen budaya inilah yang menjadi pemacu kepada
perkembangan dan kemajuan sesebuah masyarakat. Penglibatan setiap anggota
masyarakat diperlukan bukan setakat untuk mengatur kehidupan berlandaskan
undang-undang, sistem politik, ekonomi dan pentadbiran tetapi juga dari segi
nilai, norma, emosi dan semangat mencintai masyarakat atau sesebuah negara,
yang seterusnya pula mengandungi pelbagai rupa bentuk masyarakat.
Berdasarkan pemahaman mengenai masyarakat
yang dihuraikan tadi ternyata bahawa Malaysia ialah sebuah masyarakat yang
mengandungi pelbagai kumpulan etnik dan budaya. Dari segi sejarahnya, masyarakat
Malaysia juga telah terbukti mempunyai asas kukuh untuk mewujudkan masyarakat
berilmu, bermoral dan mendukung cita-cita murni bangsa Malaysia berteraskan
konsep negara bangsa. Hal ini telah dimanifestasikan oleh pemimpin dan rakyat melalui
pemikiran, nilai sosiobudaya, perlambangan dan jiwa kemanusiaan serta kerohanian
tinggi yang mereka amalkan sehingga hubungan etnik yang harmonis terus bertahan
dengan baik.
2.3 Ciri-Ciri Sastera Rakyat
Menurut Hashim Awang (1985), sastera
tradisional juga dapat dikenali sebagai sastera rakyat yang lahir di kalangan
masyarakat pada zaman lampau yang mengamalkan gaya hidup tradisional. Sastera
tradisional telah menjadi warisan kepada generasi yang seterusnya. Sastera
tradisional tidak mempunyai bentuk, plot, cirri, gaya dan teknik yang tertentu
dan sastera tradisional bersifat kolektik. Sastera tradisional atau rakyat lahir
sebagai bahan hiburan atau bahasa pertuturan untuk kehidupan seharian
masyarakat tradisi (Ismail Hussein, 1965). Antara contoh sastera tradisional
ialah pantun, syair, gurindam, cerita rakyat, teka-teki dan seloka.
Ciri
– ciri sastera rakyat
1)
Penyebaran dan perwarisan lazimnya dilakukan secara lisan
Lisan berasal daripada perkataan Arab yang
bermaksud lidah mahu pun kata-kata. Dalam erti kata lain, diwariskan secara
lisan bermaksud tidak menggunakan sebarang bahan atau sumber bercetak dengan
system tulisan yang sistematik. Hal ini demikian kerana, pada ketika itu
masyarakat belum lagi terdedah kepada system tulisan, hanya golongan bangsawan
dan golongan yang terdekat dengan istana yang mampu mempelajari system tulisan
dan mampu membaca. Secara umumnya, masyarakat terdahulu hanya bercerita,
bergurindam mahu pun berpantun secara lisan dan diperturunkan daripada satu
generasi ke generasi berikutnya secara lisan tanpa direkodkan dalam bentuk bertulis.
Hikayat Awang Sulung Merah Muda.
2)
Bersifat tradisional; iaitu hidup dalam sesuatu kebudayaan dalam waktu
tidak kurang daripada dua generasi , dalam bentuk yang relative tetap.
Ianya bersifat tradisional kerana dinukilkan
oleh golongan masyarakat yang mengamalkan cara hidup tradisional. Selanjutnya,
sastera tradisional hidup dalam sesuatu kebudayaan dalam waktu tidak kurang
daripada dua generasi pula membuktikan bahawa, generasi sebelumnya akan
mewariskan sastera tradisional kepada generasi berikutnya. Hal ini juga
berkaitan dengan cerita-cerita rakyat yang diceritakan kepada kanak-kanak
sebelum mereka tidur. Maksudnya di sini, perwarisan secara lisan membolehkan
sastera tradisional hidup selama tidak kurang dua generasi.
3)
Pelbagai Versi
Sastera rakyat wujud dalam pelbagai-bagai
versi dan berlakunya tokok tambah kerana penyebarannya yang dilakukan secara
lisan. Kebiasaannya ia berlaku beberapa perubahan atau penyesuaian setempat
menyebabkan lahir pelbagai versi. Namun perbezaan itu hanya pada aspek luaran
sahaja, sedangkan bentuk dasarnya adalah sama dan dapat bertahan. Sebagai
contoh, cerita rakyat seperti Bawang Putih Bawang Merah telah dilakonkan semula
untuk tatapan masyarakat sekarang mengikut peredaran masa.
4)
Milik Bersama
Sastera rakyat merupakan hasil karya yang
menjadi milik bersama masyarakat iaitu sastera merupakan hak masyarakat dan
bukannya milik individu tertentu. Oleh itu ianya tidak diketahui siapa
penciptanya dan bila ianya dicipta atau dihasilkan. Merupakan kepunyaan
bersama, soal siapa hak ciptanya tidak wujud pada sastera traditional. Tiada
siapa-siapa yang akan mengaku bahawa dialah pengarang bagi cerita rakyat yang
tertentu. Bagi tok cerita ataupun tukang cerita yang kerjanya bercerita, beliau
juga tidak mengakui dirinya sebagai pengarang cerita berkenaan.
5)
Mempunyai Fungsi tertentu dalam masyarakat atau kebudayaan
Antara fungsi sastera tradisional adalah;
alat didikan, alat pengajaran moral, hiburan, protes sosial, dan sebagainya.
Sastera tradisional merupakan alat didikan tidak formal yang mudah
dilaksanakan. Cerita Bawang putih Bawang Merah misalnya memperlihatkan sifat
dan keperibadian Bawang Merah yang baik dan tulus. Bawang Merah tidak
mendendami bahkan memaafkan Bawang Putih dan ibu tirinya walaupun mereka berdua
telah melakukan khilaf yang sangat besar kesannya kepada bawang Merah. Cerita
teladan seperti ini merupakan alat pengajaran dan didikan moral selaras dengan
peraturan kehidupan social pada ketika itu, berlandaskan budaya dan ajaran
agama. Antara lain fungsi sastera tradisional ialah sebagai wahana masyarakat
mengekspresikan protes sosial. Contohnya, masyarakat biasa tidak boleh
sewenang-wenangnya melakukan apa-apa bantahan terhadap golongan diraja, maka,
sastera tradisional dinukilkan demi mengekspresikan perasaan tidak puas hati
kepada golongan atasan.
6)
Mempunyai logika tersendiri yang tidak sesuai dengan logika umum.
Masyarakat pada zaman dahulu berfikiran
terlampau lebih-lebih lagi berkaitan dengan kepercayaan. Sebelum kedatangan
agama seperti Hindu, Buddha dan Islam mereka percaya terhadap sesuatu yang
berkuasa di alam ini. Mereka percaya apa yang mereka lakukan akan memberi
semangat atau kebaikan kepada mereka. Ini kerana pada zaman dahulu, mereka
tidak ada seseorang yang dapat membimbing mereka. Maka, apabila berlaku sesuatu
bencana atau kejadian yang pelik di mata mereka, secara langsungnya mereka akan
membuat andaian atau kesimpulan sendiri terhadap sesuatu perkara tersebut.
Secara amnya, mereka berfikir menggunakan logika sendiri tanpa mempedulikan
logika umum contohnya, mereka berfikir manusia boleh bertukar atau berubah
bentuk menjadi seekor buaya. Secara logiknya, mana mungkin manusia boleh
berubah menjadi seekor buaya.
7)
Bersifat sederhana, terlalu spontan dan kadang kala kelihatan kasar
seperti yang terlihat pada
anekdot dan sebahagian cerita jenaka.
Sastera tradisional Melayu juga bersifat
sederhana. Ini dapat dilihat melalui cerita-cerita jenaka yang disampaikan.
Cerita ini disampaikan secara santai. Kebanyakan cerita dimulai dengan
pengenalan watak utama secara bersahaja, diikuti peristiwa lucu yang dilakukan
oleh watak utama itu tadi. Sering kali, watak utama adalah penyambung cerita
kerana setiap peristiwa melibatkan watak utama. Contoh cerita jenaka yang dapat
kita lihat ialah cerita Pak Pandir. Ini kerana tidak ada gaya bahasa tertentu
yang digunakan dalam penyampaian cerita dan dapat dituturkan oleh sesiapa
sahaja kerana penyampaiannya dalam bentuk pertuturan seharian. Selain itu,
terdapat juga bahasa yang digunakan kelihatan kasar seperti cerita Pak kadok.
Contohnya, bertelanjang bulat, kelihatan sedikit kasar. Walaupun untuk
menerangkan kejadian yang menimpa Pak Kadok.