Rabu, 23 Jun 2021

BENTUK DAN JENIS-JENIS PANTUN

        BENTUK DAN JENIS-JENIS PANTUN

Pantun terdiri dari banyak jenis dan bentuk. Jenis-jenisnya ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun sepuluh kerat. Pantun yang lebih daripada empat kerat disebut juga talibun. Selain lima jenis bentuk ini, terdapat sejenis bentuk lagi yang dinamakan pantun berkait. Bentuk-bentuk pantun pula bermacam-macam. Ada pantun yang berbentuk "nasihat", "adat", "agama", "teka-teki", "jenaka" dan juga ada sesetengahnya berbentuk "peribahasa".

Di samping itu, pantun juga turut mempunyai kedudukan yang istimewa dalam pertumbuhan serta perkembangan puisi Melayu lama. Pantun sebagai jenis puisi Melayu lama yang tertua dan asli amat diminati. Ini terbukti, pantun digunakan secara meluas dalam kegiatan-kegiatan hidup harian dan seni budaya masyarakat Melayu lama, seperti dalam acara permainan, hiburan, majlis keramaian, adat istiadat atau upacara.

Justeru itu, pantun pantun dari segi isi atau temanya terdapat beberapa jenis. Antaranya yang penting tentang teka-teki, jenaka, kasih sayang, nasihat, budi, nasib, perantau, adat, kepahlawanan, peribahasa, kias ibarat dan agama. Meskipun begitu, penentuan jenis-jenis isi atau tema tersebut bukanlah mutlak. Ini kerana dalam setiap jenis isi pantun itu, lazimnya terdapat juga isi atau persoalan lain. Penentuannya lebih dilihat pada isi yang menjadi latar dan dasar perkembangannya dengan isi atau persoalan lain yang berhubungan.

Pantun yang isinya mengemukakan tentang "nasihat", "adat" dan "agama" pada umumnya adalah mudah dikenali serta difahami. Pantun "nasihat" misalnya, lebih jelas bersifat mengajar atau memberi nasihat ke arah melakukan sesuatu yang baik dan meninggalkan yang buruk.Walaupun demikian, isi tentang "adat" dan "agama" tidak kurang pula yang lebih serius serta mendalam persoalan isinya. Umapamanya, persoalan adat yang berkaitan dengan norma-norma adat, peraturan atau undang-undang dan persoalan agama yang berkaitan dengan Keesaan Allah dan balasan hari kemudian.

Pantun jenis "peribahasa" juga mudah dikenali, iaitu melalui penyampaian isinya menggunakan peribahasa-peribahasa yang begitu jelas bentuk serta susunannya. Bagi pantun "kias dan ibarat" pula, sesuai dengan namanya maka setiap isi yang disampaikan atau dikemukakan itu adalah bersifat kiasan, ibarat atau perbandingan. Dengan demikian, pernyataan isinya selalu ditemui dalam bentuk peribahasa; tetapi gambaran pernyataannya lebih halus, luas dan mendalam. Pada pantun "teka-teki" yang memerlukan jawapan adalah merupakan satu daripada alat untuk menggerakkan cara berfikir secara spontan dam membina kemahiran berfikir dengan tepat.

Pantun "jenaka" yang unsur kejenakaan atau kelucuannya terhasil daripada gambaran keanehan dan keganjilan perlakuan itu, terdapat unsur-unsur pengajaran, nasihat dan sindirannya di dalamnya.

Di bawah adalah contoh bentuk dan jenis-jenis pantun empat kerat seperti dikemukakan di atas :-

 

Jenis Pantun          : Dua Kerat

  

Buah beluluk buah kepayang,

       Dimakan mabuk dibuang sayang.

Jenis Pantun          : Empat Kerat - Teka-teki

Fungsi                    : Untuk berseronok dan menduga kebolehan dalam berfikir

 

 Kelip-kelip disangka api,

       Kalau api di mana puntungnya;

   Hilang ghaib disangka mati,

       Kalau mati di mana kuburnya?

Jenis Pantun          : Empat Kerat - Jenaka

Fungsi                    : Semata-mata untuk hiburan

  

Orang Rengat menanam betik,

       Betik disiram air berlinang;

   Hilang semangat penghulu itik,

       Melihat ayam lumba berenang

Jenis Pantun          : Empat Kerat - Kasih Sayang

 

 Burung merbuk membuat sarang,

       Anak enggang meniti di paya;

   Tembaga buruk di mata orang,

       Intan berkarang di hati saya.

Jenis Pantun          : Empat Kerat - Nasihat

  

Air melurut ke tepian mandi,

       Kembang berseri bunga senduduk;

   Elok diturut resmi padi,

       Semakin berisi semakin tunduk.

Jenis Pantun          : Empat Kerat - Budi

  

Tingkap papan kayu bersegi,

       Sampan sakat di Pulau Angsa;

   Indah tampan kerana budi,

       Tinggi darjat kerana bahasa.

Jenis Pantun          : Empat Kerat - Nasib

  

Payang retak tali bersimpul,

       Kendi lokan airnya tumpah;

   Hidup tidak kerana kaul,

       Mati bukan kerana sumpah.

Jenis Pantun          : Empat Kerat - Perantau

  

Pungut teritip di tiang batu,

       Batu pecah dilanda karang;

   Beginilah nasib dagang piatu,

       Kain basah kering di pinggang.

Jenis Pantun          : Empat Kerat - Adat

 

 Buah berangan di rumpun pinang,

       Limau kasturi berdaun muda;

   Kalau berkenan masuklah meminang,

       Tanda diri beradat budaya.

Jenis Pantun          : Empat Kerat - Kepahlawanan

  

Patah rotan tali bersilang,

       Batang meranti rimbun berjejal;

Langkah pahlawan di tengah gelanggang,

       Berpantang mati sebelum ajal.

Jenis Pantun          : Empat Kerat - Peribahasa

  

Punggur rebah puyuh mendengut,

       Dengut melata di tengah padang;

   Sedangkan bah kapal tak hanyut,

       Inikan pula kemarau panjang.

Jenis Pantun          : Empat Kerat - Kias dan Ibarat

  

Gesek biola tiup serunai,

       Sayu dara berhati walang;

   Putih mata si burung punai,

       Kayu ara ditunggu helang.

Jenis Pantun          : Empat Kerat - Agama

 

 Letak bunga di atas dulang,

      Sisipkan daun hiasan tepinya;

   Banyak berdoa selepas sembahyang,

      Mohon diampun dosa di dunia.

Jenis Pantun          : Empat Kerat - Kanak-kanak

Fungsi                    : Lagu sedih dan bersuka-ria

  

Anak rusa nani,

      Baru kembang ekor;

   Apa dosa kami,

      Lalu tidak tegur.

 

Jenis-jenis pantun lain;

Jenis Pantun          : Pantun Enam Kerat

  

Belayar perahu membawa kuini,

   Ke tanjung Jati mengadap Paduka,

   Bunga kemboja sembah berkarang;

   Kalaulah tahu jadi begini,

   Tidaklah hati dibawa berduka,

   Ku pilih saja orang lain.

Jenis Pantun          : Lapan Kerat 

  

Dini hari melawat pusara,

   Bawa merbah bersama emas,

   Nenas terletak tepi belana,

   Belanga China bersalut arang;

   Benihku cari disemai mesra,

   Semaian bercambah menjelma tunas,

   Kemudian subur indah berbunga,

   Malangnya bunga di getu orang.

Jenis Pantun          : Sepuluh Kerat

  

Baju dastar kesumba,

   Seluar gunting petani,

   Jahitan nyonya kampung Erah,

   Di hilir pasar Kampung Melaka,

   Singgah di rumah nahkodanya;

   Batang emas dahan suasa,

   Buahnya intan dengan padi,

   Bunga diisap burung merak,

   Pipit hendak hinggap di rantingnya,

   Adakah boleh oleh yang punya.

Jenis Pantun          : Dua Belas Kerat

  

Rotan sepatah dua patah,

   Tarik kerakap batang padi,

   Dibawa sultan dari Judah,

   Padi yang jangan digemparkan,

   Kalau gempar antara gugur,

   Bila gugur masuk perigi;

   Tuan di Mekah di Madinah,

   Naik akhirat batu haji,

   Tegak berdiri Rasululah,

   Kami yang jangan dilupakan,

   Kalau lupa antara tidur,

   Dalam tidur menjadi mimpi.

 

Di bawah merupakan contoh pantun berkait;

Jenis Pantun          : Pantun Berkait

 

- Kebiasaannya terdiri dari empat kerat juga, tetapi antara satu pantun dengan satu pantun berkait-kait pembayang dan  maksudnya. Pembayang kedua pada pantun pertama dijadikan pembayang pertama pada pantun kedua dan maksud kedua dalam pantun pertama dijadikan maksud pertama

bagi pantun kedua.

  

Pergi kehulu menjala ikan,

     Belayar sampan ke Tanjung Jati;

   Masa lalu jangan ditangiskan,

     Masa depan jangan ditakuti.

  

   Belayar sampan ke Tanjung Jati,

     Cuaca redup di tepi muara;

   Masa depan jangan ditakuti,

     Bahtera hidup kemudinya usaha.

 

   Cuaca redup di tepi muara,

     Angin Barat bertiup nyaman;

   Bahtera hidup kemudinya usaha,

     Tanamkan kudrat pada keazaman.

 

   Angin Barat bertiup nyaman,

     Burung gagak terbang ke rimba;

   Tanamkan kudrat pada keazaman,

     Bulan tidak jatuh ke riba.

 

 

BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK)

  BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK) Sosiolinguistik mengkaji hubungan bahasa dan masyarakat, yang nengaitkan dua bidang yan...

klik