Jumaat, 31 Julai 2015

PERANAN SASTERA RAKYAT

i.      Alat Pendidikan
Antara fungsi kesusasteraan Melayu menurut Siti Hajar Abdul Aziz ialah  sebagai alat pendidikan. Pengalaman-pengalaman para pengarang ini diterjemahkan melalui kisah-kisah yang ditulis oleh mereka yang terangkum didalamnya pelbagai bidang ilmu seperti ekonomi, politik, sosiologi dan agama. Pengalaman mereka ini dijadikan prosa atau puisi dan diadun dengan unsur-unsur pengajaran,moral atau ilmu pengetahuan yang tinggi nilainya yang mana akan dapat dikutip oleh para pembaca maka berlakulah pendidikan secara tidak langsung. Jadi dapat dilihat dengan jelas bahawa kesusasteraan mampu menjadi bahan untuk pendidikan buat masyarakat.
Di Negara kita Malaysia Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah diperkenalkan sejak tahun 1957. Matlamatnya untuk membolehkan pelajar atau rakyat Malaysia khususnya menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta akan tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai. Dengan adanya pendidikan Kesusasteraan Melayu dapat mencerminkan masyarakat kesenian yang kreatif, mampu mengkaji keindahan karya sastera dan menguasai kemahiran berbahasa bahasa Melayu.

Peranan sastera terutamanya sastera Melayu dapat membina insaniah dalam kehidupan manusia. Hal ini amat bertepatan dengan konsep membina ‘modal insan’ yang diharap-harapkan oleh pemimpin negara. Kita tidak mahu melahirkan satu bangsa seperti robot yang tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan ketika bertindak atau mengambil keputusan. Apa yang kita boleh lihat sekarang, ramai bijak pandai dalam bidang sains dan teknologi tetapi sayang mereka gagal dalam usaha melahirkan pemimpin yang bermoral, berjati diri dan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan. Pemimpin yang tidak berjiwa seperti di atas, merupakan manusia yang hilang pertimbangan ketika bertindak. Akibat daripada itu, masalah rasuah, keruntuhan moral sehingga membawa kepada kemusnahan alam dan manyusahkan masyarakat. Justeru mengembalikan nilai sejagat yang bersifat kemanusiaan sebenarnya terkandung dalam sastera.

Di peringkat sekolah Kesusasteran Melayu memainkan peranan sebagi satu cabang ilmu dan senjata yang dapat meresapi dan berkembang dalam pelbagai disiplin ilmu sejajar dengan konsep bahasa merentas kurikulum. Sementara itu di peringkat pengajian tinggi pelajar didedahkan dengan teknik penulisan ilmiah, rencana dan penulisan kreatif dan pelajar juga diberikan pengetahuan tentang dunia penerbitan dan penyiaran selaras dengan matlamat pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan.



ii.    Usaha Pengayaan Khazanh Ilmu Dan Persuratan Bahasa Melayu 

Selain itu, sastera juga berperanan dalam usaha pengayaan khazanah ilmu dan persuratan bahasa Melayu wajar dipertingkatkan kepada semua peringkat usia pembelajaran dan pengajaran. Dengan cara ini, proses pembentukan jati diri dan cinta akan khazanah negara dapat diatur, dilentur, dibentuk dengan sebaik-baik mungkin. Proses pengayaan ini merupakan proses yang berterusan dan menjadi agenda utama dasar pentadbiran negara.

Shahnon Ahmad (1997:25) menyatakan bahawa kesusasteraan berperanan sebagai satu cabang kesenian yang berteraskan cinta. Cinta di sini maksudnya cinta kepada keindahan dan cinta kepada kebenaran. Karya kesusasteraan dicipta oleh para sasterawan untuk membangunkan peribadi manusia supaya cinta akan keindahan dan cinta akan kebenaran. A. Samad Said (1997: 35) pula menyatakan bahawa peranan sastera sebagai rakman dan renungan interaksi insan seni dengan masyarakat dan masalah mereka. Setiap karya yang tercipta, sedikit sebanyak mendekatkan insan seni itu kepada sebahagian kecil cakerawala Tuhan yang luas, di samping menggarapkannya dengan sesam makhluk yang sama-sama mencari dan sama-sama menikmati dan sama-sama terhukum oleh getir-getar kehidupan. Oleh latar dan pengaruh itu, sastera mestilah berkhasiat untuk batiniah dan minda manusia. Manakala Usman Awang (1997:41) menjelaskan bahawa peranan sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara luas. Tiada sesiapapun yang boleh mendakwa bahawa dia mempunyai monopoli terhadap budaya Malaysia. Budaya bersama ini hanya akan lahir daripada penghidupan bersama semua rakyat bukan contoh angkuh daripada sebilangan kecil golongan kaya dan istimewa.



iii.   Nilai Pendidikan

Aripin Said dalam Prosa Warisan (1996:25) menyatakan fungsi Kesusasteraan Melayu yang penting dari aspek nilai pendidikan. Suasana kehidupan masyarakat dengan kepetahan serta kebijaksanaan seorang penglipur lara telah lama berakhir. Suasana itu bagaikan satu nostalgia. Apalagi apabila didapati sudah jarang atau sedikit benar daripada kalangan anggota masyarakat masa kini yang sempat menyaksikan suasana tersebut.
Jika kita menyorot ke belakang dalam aliran kehidupan masyarakat Melayu terutamanya di kampung-kampung, cerita-cerita rakyat dipertuturkan masih boleh didapati sekitar tahun 1950-an serta pada awal tahun 1960-an. Pada waktu itu, masih kedapatan seorang nenek atau seorang ibu yang sering bercerita atau menyanyikan lagu-lagu rakyat sewaktu hendak menidurkan cucu atau anaknya. Orang tua-tua masih mahu bercerita kepada anak cucunya tentang Batu Belah Batu Bertangkup, Bawang Putin Bawang Merah, Puteri Walinong Sari dan sebagainya.

Terdapat dua hal yang amat nyata dalam memperkatakan keistimewaan pencerita ini. Pertama, terdapat tokoh-tokoh intelektual bangsa sebagai orang yang mahir dalam bidang mereka. Tidak semua anggota masyarakat yang mendapat gelaran seorang penglipur lara. Tidak semua anggota masyarakat yang mampu menghafal puluhan malah ratusan puisi rakyat, dan kemudian dapat pula menyampaikan dengan cara yang menarik. Mungkin dengan iringan sebuah rebab, sebuah rebana atau sebiji batil, dia mampu memukau khalayaknya yang setia menunggu dari awal hingga akhir persembahan yang diadakan. Mereka ialah cendekiawan bangsa yang lahir asuhan alam semesta.

Cerita-cerita yang dipersembahkan pula bukan sahaja dapat mengasyikkan khalayak yang mendengar tetapi kepelbagaian cerita tersebut dengan watak-watak tertentu menggambarkan perwatakan manusia dalam masyarakat setempat. Lagu-lagu yang dinyanyikan merupakan puisi-puisi yang indah. Dalam puisi tergambar keindahan alam dan kehalusan budi yang diungkap dengan gaya yang menakjubkan.

Bertolak daripada perkara-perkara itulah, nilai pendidikan yang murni dapat digarap daripada cerita-cerita yang disebutkan itu. Dalam cerita Mat Jenin, misalnya, khalayak diasuh supaya tidak menjadi seperti Mat Jenin yang hanya hidup berangan angan. Falsafah yang tersembunyi di sebaliknya adalah untuk menjadi kaya-raya perlu berusaha, bukan sekadar berangan angan. Jika terus berangan-angan, bencana pula akan menimpa.

iv.   Instrument Perpaduan
Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia  Tan Sri Muhyiddin Yassin, sastera dijadikan instrumen penting bagi mewujudkan semangat kekitaan atau `esprit de corp’ di kalangan rakyat dalam usaha untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Sastera negara menitikberatkan nilai perpaduan dan penghargaan kepada satu bentuk budaya kebangsaan untuk dikongsi bersama sebagai pemangkin bagi menyatupadukan rakyat. Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan “Sastera kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dapat memartabat dan memperkasakan lagi fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan”

v.    Kepuasan Estetik
Seterusnya, kesusasteraan juga berfungsi untuk memberi kepuasan estetik. Penulis cerita akan merasa tenteram dan damai apabila mampu menghasilkan sesuatu cerita yang dapat menyentuh perasaannya. Bagi pembaca pula, dengan membaca karya yang mempamerkan keindahan akan merasa satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dalam dirinya.

vi.   Memberi Pengajaran
Selain itu, kesusasteraan Melayu turut berfungsi untuk memberi pengajaran. Para sasterawan melalui karya mereka akan memberi pengajaran melalui hasil karya kesusasteraan mereka yang mana banyak menyingkap tentang  nilai-nilai murni dalam kehidupan. Sebagai contoh Seloka Pak Pandir  dan Pantun Nasihat. Karya-karya ini banyak menjadi rujukan buat masyarakat dalam menjalani kehidupan harian.

vii.  Alat Kawalan Sosial Dalam Kehidupan Seharian
Menurut Aripin Said dalam Prosa Warisan, Sastera secara umumnya dapat dikatakan menjadi alat kawalan sosial dalam kehidupan seharian. Melalui cerita rakyat umpamanya, anggota masyarakat diberitahu tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Misalnya, jika derhaka kepada ibu bapa, seseorang itu akan mendapat malapetaka sebagaimana yang diterima oleh Si Tenggang. Jika berangan-angan tinggi tanpa berusaha akan menjadi seperti Mat Jenin. Malah, anak-anak harus bijak sebagaimana Sang Kancil dalam cerita-cerita binatang. Cerita rakyat juga dirujuk untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan. Perlakuan yang baik seperti yang terdapat dalam cerita rakyat dijadikan ikutan.

Dalam cerita-cerita legenda pula, terdapat tokoh yang menjadi sanjungan satu-satu masyarakat. Tokoh-tokoh tersebut mungkin sahaja tokoh agama, pahlawan, peneroka satu-satu tempat atau seumpamanya. Melalui gambaran keistimewaan, tokoh dipaparkan mempunyai semangat perjuangan yang gigih, mempunyai kekuatan yang luar biasa, berjasa dan sebagainya. Kesemua ini dapat menanam semangat tidak putus asa dikalangan pendengar selain menanamkan semangat cinta akan tanah air yang tidak berbelah bahagi. Segala sikap, cara berfikir, pengorbanan watak dalam cerita legenda itu cepat meresap di hati para pendengarnya.

Cerita legenda dapat memberi sumbangan yang amat besar dalam kehidupan masyarakat dalam membentuk anggota masyarakat menjadi manusia yang mempunyai wawasan dalam hidupnya. Dalam hal ini juga, kita melihat setiap bangsa memang ada tokoh tokoh tertentu yang mereka agungkan serta kagumi. Baik cerita mitos, cerita binatang, cerita lipur lara, cerita legenda dan sebagainya itu kadangkala terlalu kental berbaur dengan dongeng-dongeng tertentu. Namun yang harus diperhatikan, ada segala nasihat dan teladan yang terdapat dalam cerita cerita tersebut. Tukang-tukang cerita, selain bertindak untuk menyeronokkan hati khalayak yang mendengar, juga menekankan nasihat. Ungkapan yang sering diulang atau dinyatakan oleh tukang-tukang cerita, seperti "Jangan jadi seperti Si Tenggang" atau "Sang Kancil itu cerdik dan bijak" atau "Kalau-rajin bekerja mesti hidup senang" dan sebagainya.

Demikian cerita rakyat dapat menentukan arah tindak tanduk masyarakat pada masa itu. Kesan yang terlekat di hati mereka dengan mendengar cerita-cerita rakyat kekal dari mereka masih kanak-kanak hingga kehidupan mereka pada hari tua. Kemudian cerita-cerita tersebut bersambungan lagi kepada khalayak yang seterusnya.

Walaupun perkembangan masyarakat dipengaruhi oleh segala macam perubahan namun nilai moral yang terdapat dalam cerita-cerita rakyat tetap sesuai dengan anggota masyarakat itu baik dalam era mana sekalipun. Pengalaman individu dalam masyarakat tersebut cepat sahaja diasosiasikan dengan gambaran yang terdapat dalam cerita-cerita yang mereka dengar.

viii.Mengisi Masa Lapang
Malah, kesusasteraan Melayu juga berfungsi bagi memberi hiburan. Kesusasteraan digunakan bagi mengisi masa lapang dan dijadikan hobi. Karya-karya sastera seperti Seloka Pak Pandir bukan saja memberi pengajaran tetapi juga menyeronokkan untuk dibaca. Malah jika pada zaman dahulu, cerita-cerita rakyat akan diceritakan pada waktu-waktu lapang bagi menghilangkan kebosanan dan anggota masyarakat dapat berkumpul pada malam hari setelah sibuk mencari nafkah pada siangnya. Pada waktu malam itulah, mereka berkumpul untuk berhibur sambil belajar melalui cerita rakyat.

Kesimpulan

Kesusasteraan Melayu dalam masyarakat Melayu lama wujud bersama-sama bangsa Melayu itu sendiri. Kewujudan sastera Melayu itu juga memperlihatkan segala-galanya itu digambarkan dengan cukup menarik. Keindahan itu juga terlihat pada gaya bahasa. Melalui cerita-cerita sedemikian, kita melihat kesinambungan budaya masa lalu dengan masa kini. Perkembangan budaya tahap demi tahap dapat membentuk peradaban atau tamadun manusia dari satu zaman ke satu zaman yang lainnya. Perkembangan budaya masa kini sebenarnya diasaskan oleh budaya silam. Manusia sentiasa mencari kemajuan. Fungsi sastera Melayu mewujudkan pemikiran yang bijaksana sentiasa memimpin manusia untuk mencapai kemajuan yang sesuai untuk kesempurnaan hidup. Sehubungan ini, pemikiran dahulunya dapat membentuk sosialisasi masyarakat dengan jelas. Pemikiran yang dimaksudkan itu masih utuh dan murni walaupun diletakkan dalam mana mana zaman yang sentiasa berubah.


BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK)

  BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK) Sosiolinguistik mengkaji hubungan bahasa dan masyarakat, yang nengaitkan dua bidang yan...

klik