PENGENALAN KEMAHIRAN MEMBACA
Kemahiran
membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam
proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca adalah lanjutan
daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui
pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat
diperolehi menerusi pengalaman-pengalaman biasa yang lain. Membaca dapat
membantu memperluaskan pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif
seseorang individu dalam pelbagai bidang.
Membaca ialah proses kebalikan daripada proses menulis. Proses membaca
memerlukan seseorang itu menterjemahkan kembali lambang-lambang
bertulis kepada lambang-lambang bunyi yang hendak disampaikan
oleh penulisnya. Membaca berbeza daripada mendengar kerana ia melibatkan
kedua-dua aktiviti verbal dan literasi secara serentak. Apabila kita membaca
kita akan menghuraikan bahan bercetak kepada pertuturan dan pada masa yang sama
kita akan menghuraikan pertuturan itu kepada pemikiran. Kebolehan membaca sangat penting dan ia merupakan satu ukuran
kejayaan pelajar-pelajar di sekolah. Ini kerana kebolehan membaca dianggap
sebagai asas bagi mencapai semua kejayaan dalam semua bidang, terutama dalam
bidang pendidikan. Kemahiran membaca ditekankan pada peringkat awal lagi
bersama kemahiran lain seperti mengira dan menulis. Kebolehan membaca bukan
sahaja dianggap sebagai asas utama bagi mencapai kejayaan dalam bidang ekonomi
dan sosial, malah sistem persekolahan itu sendiri menganggapnya sehingga ke
peringkat yang lebih tinggi.
Kegagalan menguasai kemahiran
asas membaca ini merupakan sesuatu yang amat merugikan bagi seseorang murid
bukan saja pada masa persekolahan bahkan pada masa kehidupan dewasa murid-murid
berkenaan. Menurut Isahak Harun (2004) terdapat dua mazhab besar tentang cara
kanak-kanak mula membaca; Beliau mendefinisikan bacaan sebagai tentang
bagaimana kanak-kanak mengenal dan mentafsir simbol-simbol tulisan dan memberi
makna kepadanya. Mazhab pertama merujuk kepada perspektif linguistik yang
berasaskan kepada anggapan bahawa bahasa terdiri daripada ‘bunyi’ dan adunan
bunyi yang menjadikan perkataan.
Mazhab ini mengajar kanak-kanak
membaca bermula dengan menghafal simbol-simbol yang mewakili bunyi asas ini
(fonem), iaitu huruf abjad dan bunyi-bunyi huruf tersebut. Kaedah ini juga
dikenali sebagai pendekatan fonik. Di Malaysia kaedah ini sinonim dengan kaedah
abjad iaitu kaedah mengenal nama-nama huruf yang digunakan dalam tulisan bahasa
Melayu. Kaedah ini menegaskan hafalan-hafalan yang agak kurang bermakna bagi
kanak-kanak. Mazhab kedua berasaskan kepada teori psikologi kognitif yang
beranggapan bahawa kanak-kanak belajar bahasa melalui ‘perkataan-perkataan’ dan
ayat yang bermakna kepadanya. Murid-murid membaca bermula dengan melihat
seluruh perkataan dan ayat yang bermakna.Kaedah ini dikenali sebagai kaedah
seluruh perkataan (whole word) atau kaedah pandang dan sebut. Variasi lanjutan
daripada kaedah ini adalah kaedah frasa, kaedah ayat dan kaedah cerita (Isahak
Harun, 1989).
Ada banyak huraian berkaitan takrif membaca. Membaca dimaksudkan sebagai
proses memperoleh tafsiran yang bermakna ke atas lambang-lambang bercetak dan
bertulis (Harris dan Sipay, 1980). Proses membaca juga dikatakan sebagai
keupayaan seseorang itu mengecam bentuk visual dan menghubungkan bentuk itu
dengan bunyi ataupun makna yang diketahui melalui pengalaman dan akhirnya berupaya
mentafsirkan maksudnya. Bagi Smith dan Johnson (1980) pula, membaca berteraskan
keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis denga tanggapan
yang dibuat oleh pembaca. Di samping itu, Goodman (1973) pula menyatakan
membaca adalah proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca mengamati
perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca sehinggalah terbentuknya makna
berdasarkan pengamatan yang dilakukan. Ini menunjukkan melalui proses itu wujud
interaksi antara bahasa dengan pemikiran kerana hubungan hubungan antara bahasa
dengan pemikiran sememangnya berlaku dalam dimensi yang lebih luas. Kita
menggunakan bahasa bagi melahirkan pemikiran yang wujud dalam minda.