Isnin, 21 Jun 2021

KONSEP 5P DENGAN PERANAN GURU ( Penggabungjalinan, Penyerapan, Pengayaan, Pemulihan dan Penerapan )

  Perkaitan Konsep 5P dengan Peranan Guru

Konsep 5P terdiri daripada lima perkara iaitu penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan dan penerapan. Lima perkara ini amat berkait rapat dengan peranan guru di dalam kelas. Jadi guru perlulah menguasai lima perkara ini depenuhnya agar dapat membantu guru dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Penggabungjalinan

Penggabungjalinan adalah perkara pertama di dalam konsep 5P. ianya adalah satu proses yang menggabungkan pelbagai kemahiran dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi mewujudkan pembelajaran secara menyeluruh. Hal ini amat penting kerana ianya dapat membantu murid menguasai pelbagai kemahiran secara serentak. Selain itu hal ini juga dapat menarik minat murid terhadapa sesuatu pelajaran yang di ajar lebih – lebih lagi jika matapelajaran tersebut digabungjalin dengan matapelajaran musik.

Terdapat 3 bentuk penggabungjalinan iaitu pelbagai kemahiran dalam satu subjek, kemahiran daripada subjek lain dan kemahiran merentas kurikulum. Bentuk yang pertama iaitu pelbagai kemahiran dalam satu subjek adalah apabila guru menggabungkan pelbagai kemahiran dalam satu subjek. Contohnya kemahiran berfikir, kemahiran lisan serta kemahiran melukis ketika menjalankan aktiviti PSV.

Penggabungjalinan daripada subjek lain pula, adalah apabila guru menggabungkan elemen subjek lain di dalam pengajaran sesuatu subjek. Sebagai contoh, ketika mengajar seni, guru menggabungkan dengan matapelajaran musik. Hal ini dapat menambahkan penguasaan kemahiran murid bukan sahaja dalam subjek yang diajar malah di dalam subjek yang digabungkan. Gabungan subjek PSV, musik dan PJ juga dapat menarik minat murid di dalam sesuatu subjek.

Bentuk ketiga pula adalah kemahiran merentas kurikulum. Kemahiran ini adalah gabungan matapelajaran dengan kemahiran – kemahiran lain seperti kemahiran generic, kemahiran belajar, serta kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Hal ini dapat membantu murid dalam pelbagai sudut. Jika guru menggabungkan sesuatu subjek dengan kemahiran belajar, maka murid tersebut akan dapat meningkatkan cara dia belajar seterusnya dapat membantunya meningkatkn prestasi di dalam subjek – subjek lain. 

Guru berperanan dalam memasukkan unsur penggabungjalinan ini di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran kerana ianya dapat membantu murid dalam pelbagai sudut.

Penyerapan

Penyerapan boleh didefinisikan sebagai proses penyebatian dan penyepaduan pengetahuan daripada suatu matapelajaran lain ke dalam isi matapelajaran yang diajar. Sebagai contohnya, sebagai contoh, menyerapkan matapelajaran matematik dalam matapelajaran sains. Hal ini boleh dilihat didalam proses kira – kira dalam matapelajaran sains. Apabila guru menggunakan konsep penyerapan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, perkara ini membolehkan murid melihat perkaitan antara suatu matapelajaran dengan matapelajaran yang lain. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan keupayaan murid dalam menguasai kedua – dua matapelajaran secara serentak.

Dengan menggunakan konsep ini, ia dapat membantu guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dari segi kefahaman murid. Melalui konsep ini, murid akan lebih mudah memahami apa yang telah dipelajari. Hal ini sangat baik untuk guru dan murid. Selain itu, aktiviti pelajaran juga akan menjadi lebih menarik apabila guru menggunakan konsep ini dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Pengayaan

Aktiviti pengayaan adalah aktiviti yang melibatkan murid – murid yang pencapaiannya melebihi sederhana atau murid – murid pintar cerdas. Aktiviti ini kebiasaannya dilakukan apabila murid – murid tersebut Berjaya menyempurnakan tugasan mereka dengan lebih cepat berbanding rakan – rakan yang lain. Hal ini akan mengelakkan murid tersebut daripada merasa bosan seterusnya mengganggu rakan – rakan mereka yang masih belum menyempurnakan aktiviti yang diberi. Selain itu, aktiviti pengayaan juga boleh diberikan sebagai latihan apabila murid – murid tersebut berada di rumah. Di dalam PSV aktiviti ini boleh dimasukkan oleh guru dengan mengarahkan murid menambah atau membuat kemasan pada hasil kerja mereka.

Pengayaan juga boleh dilaksanakan melalui aktiviti – aktiviti tambahan kepada aktiviti- aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan di dalam atau di luar bilik darjah. Hal ini membolehkan murid meningkatkan kefahaman mereka disamping meningkatkan ingatan mereka tentang apa yang dipelajari. Guru perlulah bersedia dengan aktiviti pengayaan untuk setiap kelas agar kumpulan murid yang pintar cerdas ini dapat menjalankan aktiviti pengayaan ini dengan sempurna. 

Aktiviti ini juga dapat membuka peluang kepada murid untuk mengambangkan minat, bakat kepimpinan, daya kreativiti, dan sifat ingin tahu. Hal ini adalah kerana aktiviti pengayaan adalah aktiviti yang tahap kesukarannya adalah lebih tinggi daripada aras kesukaran latihan asas. Secara tidak langsung, perkara ini juga dapat membantu murid untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajarinya.

Pemulihan

Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan masalah pembelajaran ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Antara faktor – faktor tersebut adalah kecacatan, perasaan tidak yakin, rendah diri serta sikap negatif yang ada dalam diri seperti malas untuk belajar, malu untuk bertanya dan tidak mengikut arahan guru. Maka peranan guru adalah untuk meningkatkan prestasi murid yang bermasalah melalui pemulihan. JIka pengayaan adalah untuk murid yang pencapaianya melebihi aras sederhana, pemulihan adalah aktiviti untuk membantu murid – murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran. Guru memainkan peranan yang penting dalam menangani serta membantu murid – murid yang menghadapi masalah.

Sebelum memulakan aktiviti pemulihan, guru haruslah mengenal pasti pengalaman, minat serta kebolehan murid. Hal ini penting untuk memudahkan guru mengenalpasti punca – punca yang menyebabkan murid bermasalah dalam pembelajaran. Guru perlu bijak dalam memilih aktiviti yang bersesuaian dengan minat, pengalaman serta kebolehan murid. Perkara ini untuk menarik minat murid untuk belajar seterusnya meningkatkan prestasi murid tersebut. Guru tidak seharusnya meletakkan aras yang terlalu sukar sehingga murid tidak dapat membuat aktiviti yang diberi. Perkara tersebut boleh menyebabkan murid merasa bosan dan seterusnya membantutkan minat murid tersebut untuk belajar.

Aktiviti pemulihan boleh dijalankan dengan beberapa cara. Antaranya ialah kolaboratif, bimbingan rakan sebaya, individu, kumpulan kecil, dan kumpulan besar. Kesemua aktiviti ini adalah lebih kurang sama kecuali aktiviti individu. Bagi aktiviti kolaboratif, bimbingan rakan sebaya, kumpulan kecil dan kumpulan besar, guru memainkan peranan sebagai pembimbing. Tetapi murid yang perlu berusaha untuk meningkatkan prestasi mereka. Bagi aktiviti individu pula, murid akan berurusan terus bersama guru. Kesemua aktiviti ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing – masing. Bagi aktiviti kolabratif, murid akan berinteraksi dengan rakan serta guru untuk belajar. Bimbingan rakan sebaya pula, setiap murid pemulihan mempunyai seorang rakan untuk membimbing mereka. Bagi kumpulan kecil, kebiasaanya mereka yang mempunyai masalah yang sama akan diletakkan dalam kumpulan yang sama agar mudah bagi guru untuk memantau. Kumpulan besar pula murid yang bermasalah akan dicampurkan dan dibimbing oleh guru dengan latihan yang berasingan.

Antara langkah yang perlu diambil oleh guru adalah membuat perancangan dan memilih teknik pengajaran yang sesuai dengan minat, pengalaman serta kebolehan murid. Hal ini penting dalam memastikan aktiviti pemulihan yang dijalankan berkesan dan dapat membantu murid yang bermasalah. Guru juga perlu prihatin dan peka serta memastikan masalah yang sama tidak berulang lagi. Hal ini kerana jika masalah yang sama berulang maka, aktiviti yang direncanakan oleh guru untuk murid pemulihan adalah gagal. Guru juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan murid. Perkara ini untuk melihat sama ada aktiviti yang dirancang berkesan atau tidak. Jika tiada perubahan berlaku, maka guru perlu mengubah strategi serta pendekatan yang digunakan. Guru juga perlulah membuat aktiviti pengukuhan yang sesuai. Hal ini penting untuk meningkatkan kefahaman murid dalam perkara yang diajar serta untuk memantapkan lagi penguasaan murid terhadap perkara yang diajar Perkara yang terakhir ialah penilaian. Penilaian penting untuk melihat perkembangan murid yang telah menjalani aktiviti pemulihan. Melalui penilaian guru akan dapat membuat tindakan susulan untuk murid berkenaan.

Penerapan

Penerapan yang dimaksudkan adalah penerapan nilai – nilai murni. Penerapan nilai – nilai ini boleh dilakukan dua cara iaitu eksplisit dan implisit. Secara implisit bermaksud guru menerapkan nilai murni di dalam diri murid secara langsung. Secara eksplisit pula boleh dilakukan guru dengan cara mengadakan sesuatu peraturan, arahan, pekeliling dan sebagainya dalam bentuk bertulis. Guru berperanan dalam menerapkan nilai murni ini ke dalam diri pelajar. Hal ini adalah penting untuk membentuk murid secara menyeluruh bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK)

  BAHASA DAN MASYARAKAT (KAJIAAN SOSIOLINGUISTIK) Sosiolinguistik mengkaji hubungan bahasa dan masyarakat, yang nengaitkan dua bidang yan...

klik