Perkembangan Kurikulum
Pendidikan Seni Visual (PSV) di Malaysia
Perkembangan
kurikulum Pendidikan Seni Visual (PSV)
boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu sebelum merdeka dan selepas
merdeka. Seiring dengan perkembangan ini, nama subjek ini telah ditukar
bersesuaian dengan kehendak semasa. Pada awalnya subjek ini dikenali sebagai
subjek Lukisan dan pertukangan Tangan. Kemudian ianya ditukar pula kepada
Pendidikan Seni dan Pendidikan Seni Visual. Kini, setelah Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah (KBSR) ditukar kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR),
subjek ini dikenali sebagai Dunia Seni Visual.
Pendidikan Sebelum Merdeka
Pendidikan
di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah berbentuk tidak formal serta tidak
mementingkan perkembangan kognitif pelajar – pelajar. Kitab Pedoman Guru
Penggal Satu (1928) dan Kitab Pedoman Guru Penggal Kedua (1929) telah diguna
pakai oleh guru – guru pada ketika itu sebagai panduan untuk mengajar Lukisan
dan Pertukangan Tangan di sekolah – sekolah melayu pada masa tersebut. Buku ini
disusun oleh O.T Dussek dan Muhammad Hashim bin Haji Taib dan merupakan buku
pertama yang ditulis di Malaya mengenai kaedah mengajar mata pelajaran Lukisan
dan Pertukangan Tangan.
Di
dalam buku ini, kaedah mengajar Pendidikan Seni dirancang dari unsur yang
senang kepada unsur yang lebih sukar. Sebagai contoh, kaedah asas penggunaan
alat dan bahan diperkenalkan pada awal pembelajaran. Kemudian diikuti dengan
latihan asas membuat garisan dan latihan melakar bentuk – bentuk asas.
Bahantara yang digunakan pula adalah pensel dan pena dakwat. Bahantara ini
telah digunakan di sekolah Melayu sejak tahun 1900 – an. Penggunaan dua
bahantara ini telah berkembang secara meluas dalam kalangan pelajar Melayu yang
berminat dalam bidang artistik pada ketika itu. Hal ini telah menyebabkan
peningkatan dalam keinginan untuk menghasilkan karya – karya yang bersifat
lakaran. Perkara ini memperlihatkan kepentingan konsep visual dalam
pengilustrasian buku.
Pada
tahun 1905, Maktab Melayu Kuala Kangsar telah diasaskan mengikut model English
Grammar School. Hal ini adalah untuk menampung permintaan yang bertambah
terhadap pendidikan menengah. Namun sekolah ini hanyalah untuk golongan
bangsawan sahaja. Pada tahun 1922 pula, Maktab Perguruan Sultan Idris atau
lebih dikenali sebagai Sultan Idris Training College (STTI) telah ditubuhkan.
Perkara ini untuk memenuhi permintaan yang bertambah terhadap guru – guru
sekolah Melayu yang berkelayakan. Pendidikan Seni telah diajar di STTI di
samping subjek – subjek lain. Subjek ini diajar bersama dengan pertukangan
tangan. Membuat bakul menggunakan mengkuang adalah sukatan pelajaran bagi tahun
pertama. Selain itu mereka juga dikehendaki mencipta corak – corak baru dengan
menggunakan rotan dan buluh. Kemudian untuk tahun kedua, kerja –kerja tahun
pertama disambung manakala tahun ketiga pula, penggunaan rotan dan buluh yang
lebih meluas diajar. Buku yang digunakan adalah Kitab Rajah – Rajah Anyaman
oleh guru anyaman Mr. W. Olaguera.
Pendidikan Selepas Merdeka
Perkembangan
politik negeri China, India dan Negara jiran banyak berubah selepas perang
dunia kedua. Tanah Melayu dianggap tempat kediaman oleh masyarakat pendatang.
Masalah kerumitan kaum tentang pendidikan telah dilihat oleh kebangkitan
nasiolisme Melayu.
Jawatankuasa
Barnes telah ditubuhkan apabila orang Melayu mula mendesak agar kerajaan
membaiki mutu pendidikan di sekolah – sekolah Melayu serta menambahkan peluang
bagi melanjutkan pelajaran. Pada awal tahun 1951, laporan Barnes diterbitkan.
Di dalam Laporan ini terkandung cadangan agar sekolah – sekolah kebangsaan dari
bahasa berbilang kaum sama ada menggunkan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu
sebagai pengantar utamanya ditubuhkan. Sekolah Cina dan Tamil akan ditukar
beransur – ansur kepada sekolah kebangsaan dengan memperkenalkan aliran
kebangsaan. Namun, cadangan tersebut ditentang hebat oleh orang cina.
Laporan
Fen Wu, memperakukan untuk mengekalkan serta menambahbaik Sekolah Cina telah
memburukkan lagi pertikaian yang hangat tentang pendidikan di Tanah Melayu.
Laporan Jawatankuasa Fen Wu mengemukakan cadangan – cadangan yang pada asasnya
menyokong konsep penggunaan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris
dan bahasa CIna dijadikan bahasa penghantar.
Pendidikan Malaysia
Beberapa
kajian telah dibuat untuk mendapatkan formula terbaik bagi sistem pendidikan di
Tanah Melayu pada masa itu. Walau bagaimanapun setelah mendapat kemerdekaan,
Akta Pelajaran 1961 telah dijadikan dasar kepada sistem pendidikan di negara
ini. Justeru itu Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) telah diperkenalkan. Mata
pelajaran yang diajar oleh guru-guru dana dipelajari oleh murid-murid dalam
KLSR antaranya ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains,
Tawarikh, Ilmu Alam, Hal Ehwal Tempatan, Tata Rakyat, Jawi,Pendidikan Agama
Islam, Lukisan dan Pertukangan Tangan, Pendidikan Jasmani dan lain-lain.
Persekolahan
peringkat rendah di negara ini berterusan mengikut kehendak KLSR sehinggalah
kajian dibuat pada tahun 1974 hingga 1979 oleh jawatankuasa diketuai
Dr.Mahathir Mohamad bagi melihat kesesuaian KLSR ini. Laporan kajian yang
dikeluarkan pada tahun 1979 mendapati bahawa KLSR sudah tidak relevan lagi dan
perlu diganti dengan kurikulum ynag baru. Implikasi daripada laporan ini ialah
pengenalan kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1982.Namun
begitu, pada tahun 1988 KBSR telah disemak semula bagi mengenal pasti kelemahan
dan kekuatannya. Lanjutan itu, KBSR yang dikenali pada asasnya sebagai
Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar menjadi Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah. Dari segi kurikulum, mata pelajaran-mata pelajaran yang telah sedia ada
mengalami perubahan bagi membantu murid menghadapi cabaran masa depan
termasuklah Pendidikan Seni Visual.
Kementerian
Pendidikan Malaysia telah memainkan peranan yang positif dalam membangunkan dan
memperkembangkan kurikulum Pendidikan Seni Visual. Hal ini dapat dilihat
berdasarkan semakan terhadap Kurikulum Pendidikan Seni Visual itu sendiri yang
telah beberapa kali melalui proses perubahan. Perubahan-perubahan tersebut
meliputi aspek falsafah, matlamat, objektif, pendekatan, kaedah dan isi
kandungan mata pelajaran tersebut.Retrospektif perkembangan kurikulum ini dapat
dilihat seawal pertengahan abad ke-19 apabila kurikulum seni mula diperkenalkan
di Penang Free School dengan memberikan penekanan kepada penglahiran pelajar
yang mahir dalam kraf (Carline, (1968) dalam Ibrahim Hassan melalui karya Md
Nasir bin Hj. Ibrahim-Isu dan Permasalahan Kurikulum Pendidikan Seni Visual).
Selepas
merdeka, bermula dari tahun 1965 Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggubal
dasar baru pendidikan. Melalui dasar baru ini, murid-murid daripada darjah 1
hingga tingkatan 3 akan belajar dua kumpulan mata pelajaran yang dikenali
sebagai mata pelajaran wajib dan mata pelajaran elektif.
Kini,
sekali lagi kurikulum Pendidikan Seni berubah dengan penekanan kepada
melengkapkan perkembangan diri seseorang individu melalui nilai peribadi
individu dan pemupukan kesedaran terhadap seni dalam kehidupan sehari-hari
serta sikap dalam menghargai hasilan seni sebagai sumbangan kepada warisan
budaya dan identiti bangsa. Perubahan-perubahan ini melibatkan falsafah,
matlamat, objektif, pendekatan, kaedah dan isi kandungan yang lebih mantap dan
akan dapat menarik minat lebih ramai pelajar.
Dalam
KBSR, Pendidikan Seni Visual merupakan mata pelajaran wajib yang mesti
dipelajari oleh semua murid. Mata pelajaran Pendidikan Seni Visual digubal
selaras dengan perkembangan terkini ke arah mencapai hasrat FPK. Matlamat mata pelajaran
Pendidikan Seni Visual sekolah rendah sebagaimana yang digariskan oleh PPK
padaa tahun 2000 adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif
dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya
membnatu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai
keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat
menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan Negara, selaras
dengan hasrat FPK.Terdapat empat bidang yang terkandung di dalam mata pelajaran
Pendidikan Seni Visual seperti berikut :
1. Menggambar
2. Membuat
Corak dan Rekaan
3. Membentuk
dan Membuat Binaan
4. Mengenal
Kraf Tradisional
Fokus
yang diberikan kepada setiap bidang pula ialah pemerhatian aktif, interaksi
yang kreatif dengan alat dan bahan, serta aprisiasi aspek seni.Pendidikan Seni
Visual memainkan peranan sebagai pengimbang kepada mata pelajaran lain yang
ditawarkan di sekolah-sekolah kerajaan. Mata pelajaran ini menyumbangkan ke
arah perkembangan murid-murid melalui peningkatan daya persepsi, estetika dan
kraetiviti. Manakala aktiviti seni yang dijalankan semasa pengajaran dan
pembelajaran dilakukan dalam konteks peranan seni sebagai media komunikasi,
seni dalam kehidupan dan persekitaran, dan seni sebagai warisan budaya dan
identiti bangsa.